Wednesday, March 9, 2011

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup yang kekal abadi.
Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.
Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari. Ketujuh-tujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
Ketiga: Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah ke mana pun, langkahkan kaki ke masjid dahulu, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: Jaga Solat Sunat Dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada Solat Sunat Dhuha.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
Keenam: Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Tuesday, March 8, 2011

BAGAIMANA MENGHADAPI UJIAN ALLAH DAN APAKAH SEHARUSNYA SIKAP KITA

     Hidup ini penuh dengan ujian. Memang perit dan pedih untuk menghadapinya. Tapi kita kena faham konsep "ujian" di dalam perspektif Islam. Kerana sekiranya kita tidak faham dengan jelas, kita akan cepat putus asa, kecewa dan lebih membahayakan apabila kita buruk sangka terhadap Allah SWT. Jadi, bagaimana ingin memujuk hati yang sedang berduka lara itu??? Pujuklah dengan berzikir dan mengingati Allah....dan bacalah Al Quran... sesungguhnya, banyaklah sudah isi-isi yang tersingkap di dalamnya...... segala jawapan ada di dalamnya....
Begitu juga terdapat pelbagai hadith yang menerangkan konsep ujian dari Allah seperti berikut:


KENAPA SAYA DIUJI?
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


KENAPA SAYA TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM-IDAMKAN?

Firman Allah SWT yang bermaksud "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
-Surah Al-Baqarah ayat 216


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Firman Allah SWT lagi mahfumnya "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
-Surah Al-Baqarah ayat 286


PATUTKAH SAYA RASA SEDIH DAN KECEWA?



Perasaan kecewa adalah perkara biasa namun insan yang lemah dan kerdil ini perlulah  mengetahui nasihat Allah SWT melalui ayat Al-Quran yang bermaksud "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman".
- Surah Al-Imran ayat 139


 
BAGAIMANA CARA MENGHADAPINYA?

Terdapat pelabagai kaedah rawatan hati namun secara pokoknya Allah SWT mahukan hambanya:

1. "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya mencapai kemenangan)".
- Surah Al-Imran ayat 200


2. "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".
- Surah Al-Baqarah ayat 45


3. Berzikir

 
INGATLAH BALASAN SYURGA DARI ALLAH

Berapa bayaran kegagalan untuk enjin kereta berfungsi. Paling berat 'overhaul'. Berapakah bayaran membina semula Highland Towers? Mungkin jutaan ringgit. Berapakah harga kelaparan rakyat Palestin yang dibunuh dan disisih oleh Israel setiap hari? Berapakah pula bayaran dari Allah untuk seorang insan yang sabar dan taat akan perintah-perintahNya? Maka sudah tentulah teramat tinggi nilainya, tidak dapat dibandingkan dengan keselesaan sebuah kenderaan, sebuah rumah dan sesuap makanan. Allah menjelaskan di dalam KitabNya yang bermaksud:
 "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...."
-Surah At-Taubah ayat 111


PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH

Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya.
Hanya kepadaNya aku bertawakkal. 

-Surah At-Taubah ayat 129
Ingatlah Firman Allah yang bermaksud:
"......dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
- Surah Yusuf ayat 12

Sunday, March 6, 2011

PETUA SAKIT GIGI DAN RAWATAN MENURUT AL-QURAN

Anda pernah sakit gigi? Bagaimana rasanya? Kepada yang tidak pernah mengalami masalah tersebut kemungkinan mereka tidak akan menghargai nikmat kesihatan (gigi). Berbagai petua boleh diamalkan untuk merawat gigi yang sakit melalui nasihat dan petua orang-orang tua seperti:

1) Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Gunakan air ini untuk berkumur. Amalkan tiga kali sehari sehingga rasa sakit hilang.
2) Kunyah sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit sehingga lumat. Amalkan sehingga rasa sakit gigi hilang.
  
3) Gigit 3 kuntum bunga cengkih pada gigi yang sakit. Jika  gigi  berlubang, tumbuk bunga cengkih dan isikan ke dalam lubanggigi dan tutup dengan kapas.
4) Untuk gigi geraham berlubang, tumbuk seulas bawang putih hingga lumat dan masukkan sedikit cuka. Masukkan bahan tadi ke dalam lubang gigi.

5) Campurkan sedikit garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi. Jika ini diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut, malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri, dan 1001 lagi petua.

Namun begitu ruangan ini mengajak sidang pembaca dan pencinta Al-Quran sekelian agar memanfaatkan ayat-ayat suci Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai syifa' dalam rawatan pelbagai penyakit. Tulisan kali ini adalah khusus untuk menghilangkan dan meredakan kesakitan yang dialami disebabkan gigi berlubang. Setelah hilang kesakitan, sebaik-baiknya jumpalah doktor gigi untuk rawatan selanjutnya. Cara rawatannya begini:

Ayat pertama Surah Maryam, Kaf...Ha...Ya...Ain...Sod...Tuliskan ayat itu di atas satu   kertas atau di mana-mana dengan tertib menggunakan hujung kunci. Titik pada huruf 'Ya..'dituliskan terakhir setelah menulis semua huruf tadi (Kaf...Ha...Ya...Ain...Sod...). Semasa membuat titik kedua 'Ya..' maka teruskan menekan titik kedua itu dan niatkan nama pesakit dan hajat agar sembuh. Tekan hingga sakit itu berhenti atau berkurangan. Sebenarnya setiap huruf tunggal (hijayyah) ada rahsia dan fungsi tersendiri sehingga pada tahap mengubat sekalipun apatah lagi jika bergabung huruf- huruf itu. Itulah mukjizat Al-Quran. Insyaallah kini anda mampu tersenyum  setelah sakit gigi hilang

      


Mudah-mudahan kita dapat mempelajari Al-Quran, bukan sekadar untuk tujuan pengubatan tetapi yang lebih penting dan besar ialah untuk mengamal, menegakkan hukum-hukumNya dan menyebarluaskan ajaran-ajaranNya sesuai dengan fungsi Kitabullah, petunjuk sepanjang zaman.

Tuesday, March 1, 2011

Bersikap Terbuka

Selain para nabi dan rasul, tidak ada manusia yang sempurna. Semua manusia cenderung kepada perbuatan dan sifat baik, juga kepada perbuatan dan sifat buruk. Namun sering kali manusia tidak mampu melihat keburukannya sendiri sehingga diberitahu oleh orang lain. Oleh karena itu, Allah SWT menjadikan fitrah semulajadi manusia selalu terbuka untuk informasi dan idea baru agar dapat menyempurnakan dirinya. Jadi sikap terbuka dan tunduk kepada kebenaran (al-ruju’ ila al-haq) merupakan akhlak mulia yang hanya dimiliki oleh orang-orang yang masih terjaga fitrahnya dan bersih dari sifat-sifat yang dapat menolak kebenaran seperti sombong, ego dan ujub. Mereka segera menghampiri kebenaran setiap kali berjumpa dengannya (tak peduli  dari mana ia berasal) lalu meninggalkan kepercayaan, tradisi dan pendapat kelirunya demi kebenaran itu. Sikap ini dapat kita lihat dengan jelas pada diri Abu Bakr Al-Siddiq dan sahabat-sahabat Nabi SAW lainnya. Segera setelah meyakini kebenaran dakwah yang dibawa Rasulullah SAW, mereka menyatakan keislaman dan meninggalkan berhala yang menjadi sembahan kaum mereka selama bergenerasi.

Sikap terbuka (open minded) terhadap kebenaran merupakan perhiasan yang mempercantik setiap jiwa yang memilikinya. Allah SWT menjamin orang-orang yang memiliki keluasan jiwa untuk mendengar dan menerima nasihat akan terselamat dari kerugian di dunia ini. Allah berfirman, Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.[1]

Sementara sikap tertutup dan sempit pikiran (narrow minded) adalah sifat buruk yang mengundang kebencian bagi sesiapa yang memilikinya tak peduli setinggi apa darjatnya. Sikap ini merupakan sifat yang paling jelas dimiliki oleh orang-orang kafir sehingga Allah berfirman, “Dan jika dikatakan kepada mereka: ikutilah (wahyu kebenaran) yang telah Allah turunkan, mereka (menolak dan) berkata: kami hanya mengikuti apa yang dilakukan oleh bapa-bapa kami. Katakanlah: apakah meskipun bapa-bapa kamu orang yang tak berakal dan tidak mendapat petunjuk?” Juga sifat ini dimiliki oleh orang-orang munafik sebagaimana firman Allah, Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah", bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahannam. dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.[2]

Akhlak Rasulullah SAW dan Para Sahabat

Meskipun Rasulullah SAW adalah manusia yang sempurna fizikal, jiwa dan akal fikirannya, beliau tidak tampil sebagai pemimpin kukubesi yang memaksakan kehendak dan pendapatnya. Sebaliknya beliau sangat terbuka untuk setiap saranan dan nasihat dari semua orang, oleh karena itu beliau selalu bermusyawarah dengan para sahabatnya sebelum memutuskan suatu perkara. Abu Hurairah berkata, “Aku belum pernah melihat seseorang yang sangat sering bermusyawarah dengan para sahabatnya seperti Rasulullah SAW.”[3]
Rasulullah SAW mendengarkan setiap saranan dan usulan yang diajukan, dan saranan yang terbaik pasti dilaksanakan. Sesaat sebelum terjadi pertempuran di Badar, Rasulullah SAW bersama pasukan Islam telah tiba di tempat itu sebelum kaum kafir. Beliau lalu memerintahkan pasukannya untuk mengambil posisi tertentu yang berjauhan dengan tempat persediaan air (perigi). Khabbab bin Al-Munzir lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, pemilihan tempat ini wahyu dari Allah ataukah taktik perang anda?” Beliau menjawab, “Ini taktik perang saya.” Khabbab lalu memberikan saranannya, “Wahai Rasulullah, posisi ini tidak bagus. Perintahkanlah pasukan untuk mengambil posisi dekat dengan air, lalu kita keringkan tempat-tempat air yang lain. Sehingga kita boleh berperang tanpa kehausan sementara musuh kita tak memiliki air minum.” Rasulullah menerima saranan ini sehingga menjadi salah satu sebab kemenangan kaum muslimin di perang Badar.

Sikap ini berulang kembali pada perang Ahzab (khandaq), ketika 10,000 pasukan musyrikin mengepung kota Madinah. Salman Al-Farisi mengusulkan kepada Rasulullah SAW untuk menggali parit (khandaq) di sekeliling kota agar pasukan musuh terhalang dari memasuki Madinah. Rasulullah SAW mendengarkan usulan tersebut dan melaksanakannya sehingga pasukan musuh benar-benar tak mampu melewati parit itu dan kembali dengan tangan kosong.

Sikap terbuka terhadap usulan dan kritik ini kemudian diwarisi oleh semua sahabat Nabi SAW. Mereka semuanya menyedari kekurangan dirinya dan berkeinginan kuat untuk memperbaikinya, sehingga mereka sangat berterima kasih jika seseorang menunjukkan kekurangan dirinya agar ia boleh perbaiki. Umar bin Al-Khattab berkata, “Orang yang paling saya cintai adalah seseorang yang menunjukkan kesalahan-kesalahan saya.”[4]  Pada suatu hari,Umar berniat melarang mempermahal mas kahwin demi meringankan biaya pernikahan dan memudahkan proses perkahwinan. Ia lalu menyampaikan niat itu di mimbar khutbah Jumaat dan mengemukakan berbagai alasan yang mendukung  pendapatnya. Tiba-tiba, seorang wanita berdiri dan memotong khutbahnya dengan berkata, “Kamu tidak berhak melakukan hal itu, wahai Umar. Sebab Allah SWT berfirman, “Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya barang sedikitpun.”[5] Mendengar ucapan itu, Umar segera berkata, “Wanita ini benar, Umar keliru.”

Strategi menerima kritikan dan nasihat

Menerima nasihat dan kritikan bukanlah sesuatu yang mudah. Seringkali ego kita tersinggung sehingga lahirlah reaksi negatif yang berakhir dengan permusuhan dan perpecahan. Untuk itu, di sini ada beberapa cara yang dapat kita terapkan dalam menerima nasihat atau kritikan agar dapat menjadi saranan pembangunan kemuliaan.[6]

Pertama: sedari kekurangan diri dan selalu bersedia memperbaikinya. Ketika mendengar nasihat atau kritikan, kita harus memposisikan diri seperti orang yang sedang melihat cermin agar penampilannya selalu bagus. Walaupun wajah yang ada dalam cermin adalah wajah yang sama juga, namun kita tidak pernah keberatan untuk merapikan rambut, manakala cermin memperlihatkan gambar rambut yang kusut masai. Kita pun tidak pernah marah kepada cermin bila di cermin kita melihat di mata kita ada kotoran. Reaksi kita adalah membuang kotoran itu dan bukan memecahkan cermin.

Ketahuilah, orang-orang di sekitar kita adalah cermin yang memberitahu apa kekurangan kita. Sepatutnyalah kita bergembira ketika ada yang memperlihatkan kekurangan kita, karena dengan demikian kita menjadi tahu dan dapat segera memperbaiki diri.

Kedua: cari dan tanya. Belajarlah bertanya kepada orang tentang kekurangan-kekurangan kita dan belajar pula untuk mendengar dan menerima kritikan. Milikilah teman yang mahu secara jujur memperbetulkan, tanya pula kepada isteri, suami, anak-anak dan lain-lain.

Orang-orang besar adalah orang-orang yang tidak merasa besar. Umar bin Al-Khattab sering kali bertanya kepada orang lain tentang keburukan dirinya. Ia bertanya kepada Huzaifah bin Al-Yaman, “Kamu adalah orang yang paling mengatahui sifat-sifat munafik. Adakah sifat-sifat itu di diri saya?” Ketika mengetahui bahwa Rasulullah SAW bersabda kepada Ummu Salamah tentang sebagian sahabatnya yang akan berpisah dengan beliau di akhirat, Umar segera mendatangi Ummu Salamah dan bertanya, “Adakah saya orang yang dimaksud oleh Nabi SAW?” Ummu Salamah menjawab, “Kamu bukan orang itu.”[7] Umar juga bertanya tentang keburukan dirinya kepada Salman, Ibn ‘Abbas dan sahabat-sahabat Nabi SAW lainnya.

Ketiga: syukuri. Adanya orang yang peduli dengan memberikan kritikan kepada kita merupakan kurnia yang patut disyukuri. Jangan lupa mengucapkan terima kasih. Bila kita berubah menjadi lebih baik melalui nasihat seseorang, jangan lupakan ia dalam doa kita dan sebutlah namanya ketika kita menyampaikan nasihat yang sama kepada orang lain. Nikmati kritikan itu sebagai kurnia Allah, karena seseorang tidak akan mati karena dikritik.

Bilal bin Sa’ad berkata, “Seorang saudara yang setiap kali berjumpa memberitahukan keburukanmu lebih baik daripada seorang saudara yang setiap kali berjumpa memberimu wang.”[8] Al-Ghazali berkata, “Akhlak tercela adalah ular dan kalajengking (scorpion) beracun. Andai seseorang memberitahu adanya kalajengking di dalam baju kita, kita akan berterima kasih kepadanya, dan sibuk menyingkirkan dan membunuh kalajengking itu.”[9]

Keempat: ubat memang pahit. Namun sabar sesaat merasakan kepahitan itu akan membuahkan kesembuhan bertahun-tahun. Persiapkan diri menghadapi kenyataan bahwa kritikan dan nasihat kadangkala menyakitkan hati karena kata-katanya yang kasar atau caranya yang tidak sopan. Namun semua ini tidak akan merugikan kita sedikitpun selama kita tahu bagaimana menerimanya dengan benar. Dengarkan kritikan dan nasihat itu dengan baik dan jangan memotong apalagi membantah.

Kelima: perbaiki diri. Lihatlah apakah benar ada kekurangan pada diri kita. Jawaban terbaik ketika diperbetul bukanlah membela diri tetapi memperbaiki diri. Sibukkan diri dengan mendengar kritikan dan iringi dengan memperbaiki diri. Memang orang yang lemah, orang yang sombong, orang-orang yang penuh kebencian, tidak pernah tahan terhadap kritikan. Jika ada yang menegur maka dirinya sibuk untuk membela diri, sibuk untuk berfikir dan sibuk untuk membalas, ketahuilah bahawa orang yang demikian itu tidak akan maju. Lalu bagaimana jika kita terus dihina? Jangan risau! Karena semua orang yang berjaya dan mulia itu pasti ada yang menghina. Tidak akan pernah didengki kecuali orang yang berprestasi.

Keenam: balas budi. Sebagai orang yang tahu terima kasih dan menghargai sebuah pemberian, sudah selayaknya kita membalas pemberian kritik itu sebagai pemberian hadiah pula. Kalau tidak mampu memberikan sesuatu yang berharga, paling tidak sebuah ucapan terima kasih yang tulus dan doa yang ikhlas.

Adab Memberi Nasihat

Selain harus mahir menerima nasihat, kita juga harus tahu adab kesopanan dalam memberi nasihat. Sebab nasihat yang baik jika tidak disampaikan dengan cara yang baik seringkali menghasilkan buah yang tidak baik. Adab memberi nasihat itu adalah:

Pertama: niat yang baik. Kalau sebuah nasihat didasari niat ingin menjatuhkan, ucapan itu hanya akan menjadi pisau atau panah beracun di hati pendengarnya. Sebuah nasihat, sesuai makna asalnya, seharusnya wujud dari kasih sayang dan ketulusan hati yang menghendaki kebaikan untuk orang yang dinasihati. Ibarat seseorang yang melihat saudaranya hampir jatuh ke lubang, ia mengambil tangannya agar tidak jatuh terperosok. Rasulullah bersabda, “Agama ini adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “(Nasihat) untuk siapa?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin orang-orang beriman dan masyarakat awam.”[10]

Jarir bin Abdillah berkata, “Aku berbaiat (berjanji) kepada Rasulullah SAW untuk selalu mendirikan solat, membayar zakat dan menasihati setiap muslim.”[11] Suatu hari seseorang menjual kudanya kepada Jarir. Ia bertanya, “Berapa harganya?” Orang itu menjawab, “Lima dirham.” Jarir berkata, “Harga kuda ini lebih mahal dari itu.” Jarir terus menambahkan harga kuda itu lalu memberikan wangnya kepada orang tersebut. Ketika ditanya mengapa ia melakukan hal tersebut, Jarir menjawab, “Saya berjanji kepada Rasulullah SAW untuk selalu menasihati kaum muslimin.”

Kedua: cara yang baik. Kalau niat sudah baik caranya juga harus benar. Nasihat yang disampaikan harus dihiasi dengan kata-kata terpilih yang tidak melukai diiringi dengan sikap yang tidak meragui, tidak mempermalukan, tidak memaksa, sehingga orang berubah bukan kerana ditekan oleh kata-kata kita melainkan tersentuh oleh kata-kata kita. Allah berfirman, Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”[12]

Para ulama berkata bahwa seorang da’i disyaratkan menguasai teknik-tehnik dakwah sebelum berdakwah agar dapat mengajak orang lain ke jalan Allah dengan mudah. Teknik itu bermacam-macam, misalnya dengan memberi hadiah, mengajak makan bersama, atau cara-cara lain yang dapat melembutkan hati orang yang hendak didakwahi.[13] Ini semua adalah hikmah yang Allah perintahkan.

Termasuk hikmah adalah tidak menyampaikan nasihat di hadapan orang ramai sehingga mempermalukan orang yang dinasihati. Imam Al-Syafii berkata, “Barang siapa yang menegurmu dengan sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihatimu. Dan barangsiapa yang menegurmu di depan umum, maka ia sedang menghinamu.”[14]

Ketiga: suri tauladan yang baik. Sebaik-baik nasihat adalah dengan suri tauladan, hancurnya orang-orang yang sibuk memberi nasihat adalah ketika apa yang dia katakan tidak sesuai dengan apa yang dia lakukan.

Keempat: jangan marah ketika nasihat itu tidak didengar atau tidak dilaksanakan. Barangsiapa yang menasihati ikhlas karena Allah tidak akan marah jika kata-katanya tidak diikuti. Sebaliknya ia akan memeriksa dirinya yang penuh dosa dan mengakui bahawa ucapannya memang tak layak didengari.

Seseorang bertanya kepada Syeikh Abdul Halim, “Seorang tetanggaku melakukan sesuatu yang haram, bolehkah aku menasihatinya?” Ia menjawab, “Bolehkah najis membersihkan najis?”

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku telah melanggar salah satu perintah Allah, aku boleh ketahui itu dari prilaku keldaiku, pelayanku dan isteriku. Maka keldaiku sulit dikendalikan, isteri dan pelayanku tidak lagi mentaati perintahku. Setelah aku memeriksa diri lalu bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubatku, mereka semua kembali mentaatiku.”

Syeikh Abu Naja Salim Marw selalu berkata kepada muridnya, “Ketahuilah, alam semesta memperlakukan kita sesuai amal ibadah yang kita lakukan. Maka perhatikanlah dirimu. Sebab lurus atau bengkok sebuah bayangan tergantung bendanya.”[15]


[1] Qs. Al-Ashr: 1-3.
[2] Qs. Al-Baqarah: 206.
[3] Hadits riwayat Al-Syafii.
[4] “Uyun al-Akhbar” Ibn Qutaibah 2/13. Juga di “Ihya Ulum al-Din” 3/62.
[5] Qs. Al-Nisa: 20.
[6]  Tulisan ini berhutang kepada tulisan KH. Abdullah Gymnastiar (Aa Gym).
[7] Hadits riwayat Al-Thabarani.
[8] “Uyun Al-Akhbar” 2/13.
[9] “Ihya Ulum al-Din” 3/63.
[10] Riwayat Muslim.
[11] Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[12] Qs. Al-Nahl: 125.
[13] Lihat “Lathaif al-Minan Wa Al-Akhlaq” hal.241.
[14] “Akhlaquna al-Ijtima’iyyah” hal. 48.
[15] “Lathaif Al-Minan” hal. 331-332.


Monday, February 28, 2011

MUSLIM TERHEBAT DAN MENAKJUBKAN


                    Allah SWT berfirman dalam Surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad SAW) adalah sebaik-baik  umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”.
          Begitulah keistimewaan dan kemuliaan yang dijanjikan dan telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW selagi kita tetap setia melaksanakan tiga dasar Islam yang utama iaitu 1. Menyuruh berbuat kebaikan, 2. Melarang daripada kejahatan serta 3. Beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.
          Umat Islam juga adalah umat pilihan lagi adil sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai Muhammad SAW) satu umat yang pilihan dan adil (Ummatan Wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah, dan Rasulullah (Muhammad SAW) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. ……”
          ‘Ummatan Wasata’ juga bermakna umat yang pertengahan iaitu pertengahan ‘approach’nya, tidak melampau dan tidak keterlaluan. Semuanya berkeadaan di tengah-tengah dari sudut pandangannya, apa yang dipelajarinya dan yang diusahakannya baik mengenai urusan dunia mahupun soal akhirat. Dengan cara berada di pertengahan, seseorang muslim dapat melihat, mendalami, mempelajari dan mengambil berat keadaan sekelilingnya, maka pertimbangannya adalah adil, benar dan sah.
          Dalam sebuah hadith pula Rasulullah SAW menegaskan yang bermaksud “Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan berlaku melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan maka dia bersyukur dan itu baik baginya dan apabila ia mendapat kesusahan dia bersabar dan hal itu baik baginya”.

          Ringkasnya, wahai  anak-anak pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) sekelian khususnya dan para pembaca budiman secara amnya, marilah, tidak kira senang ataupun susah, kita berpegang kepada prinsip dan asas ajaran Islam, mentaati Allah SWT dan RasulNya SAW, setia mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, sentiasa berbangga dengan Islam, menghindari diri dari terbabas dan akhir sekali mampu mengambil ruang dan peluang dari setiap keadaan agar melonjakkan diri, keimanan dan amalan menjadi muslim, mukmin professional yang terhebat dan menakjubkan.   Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Wednesday, February 23, 2011

BERSIKAP ADIL

           Setiap manusia adalah pemimpin dan akan diminta pertanggung-jawaban atas kepemimpinannya. Salah satu sikap yang wajib dimiliki oleh setiap pemimpin adalah bersikap adil kepada semua orang yang dipimpinnya. Bersikap adil kepada semua orang merupakan prilaku yang sangat disukai oleh Allah SWT sehingga Allah memasukkan pemimpin sedemikian itu ke dalam tujuh kelompok manusia yang akan dinaungi di bawah naungan-Nya kelak di Padang Mahsyar. Bahkan Allah SWT telah menyiapkan untuk mereka mimbar dari cahaya agar semua manusia menyaksikan ketinggian darjat mereka. Nabi SAW bersabda:

إن المقسطين عند الله منابر من نور: الذين يعدلون في حكمهم وأهليهم وما ولوا

“Orang-orang yang bersikap adil memiliki mimbar-mimbar dari cahaya di sisi Allah, iaitu orang-orang yang bersikap adil dalam memutuskan hukum, dalam keluarga, dan orang-orang yang menjadi bawahannya.”[1]

Mereka juga merupakan ahli-ahli syurga yang telah dipastikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

أهل الجنة ثلاثة: ذو سلطان مقسط موفق، ورجل رحيم رقيق القلب لكل ذي قربى ومسلم، وعفيف متعفف ذو عيال

“Penduduk syurga (terbahagi kepada) tiga kelompok: penguasa yang adil dan mendapat taufik, laki-laki yang penyayang dan lembut hatinya kepada kerabat dan setiap muslim, dan orang miskin yang menjaga diri dan kehormatannya.”[2]

Pengertian Adil
Syeikh Abdurahman Habannakah mendefinisikan adil sebagai berikut: “Memberikan setiap pemilik hak sesuatu yang sama atau mirip dengan haknya tanpa kurang atau lebih.” Atau dapat juga kita definisikan dengan “menyamakan antara perilaku dengan tuntutan hak tanpa kurang atau lebih.”[3] Beliau juga menegaskan bahawa keadilan tidak selalu bermakna memberikan dengan sama rata sebab perbuatan seperti itu dapat melahirkan sikap zalim atas nama keadilan. Perbuatan ini sama sahaja dengan memberikan nilai yang sama antara emas dan batu biasa padahal keduanya sangat berbeda harganya.[4]
Adil dapat terwujud hanya ketika seseorang menempatkan hak pada tempat yang seharusnya sehingga kadar hak itu dapat berbeda sesuai dengan keadaan pemiliknya. Sebagai contoh, seorang bapa yang adil pasti akan membedakan kadar wang yang akan ia berikan kepada anaknya yang telah berusia remaja dengan kadar yang ia berikan kepada anaknya yang masih di tadika atau di sekolah rendah. Ini kerana keperluan hidup kedua-dua anaknya ini berbeza antara satu sama lain.
Berlaku adil dituntut dalam semua bidang kehidupan seperti di dalam keluarga, sekolah, masyarakat, tempat bekerja, bahkan kita dituntut menerapkan keadilan kepada diri kita sendiri. Perincian praktikal dari semua sudut ini dapat kita temui dalam akhlak Rasulullah SAW berikut ini:

Keadilan Rasulullah Saw
Rasulullah Saw adalah makhluk Allah yang paling mampu mendirikan kebenaran dan menegakkan keadilan kepada dirinya, keluarganya dan masyarakat. Keadilan kepada dirinya terlihat ketika beliau memberikan hak-hak tubuhnya yang memerlukan makanan, minuman dan istirehat. Beliau juga menikah dan menganjurkan umatnya untuk menikah. Ketika beliau mendengar seorang sahabatnya bersumpah untuk selalu berpuasa dan tak pernah berbuka selama-lamanya, seseorang yang lain bersumpah untuk bertahajjud dan tidak tidur selama-lamanya, seorang yang lain berjanji tidak akan menikah selama-lamanya, Rasulullah SAW segera melarang mereka dan menasihati, “Saya adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah. Tapi saya tetap berpuasa dan berbuka, bertahajjud dan tidur, dan saya juga menikah. Barangsiapa yang tidak mengikuti sunnahku maka ia bukan dari kalanganku.”[5]
Rasulullah SAW juga sangat membenci ketidak-adilan yang berlaku dalam keluarga. Oleh karena itu, beliau mewajibkan kepada setiap suami yang beristerikan lebih dari satu agar berlaku adil dengan isteri-isterinya. Suami itu diharamkan mengkhususkan salah satu isterinya dengan satu pemberian –harta atau keramahan- yang tidak diberikan kepada isteri-isterinya yang lain. Beliau bersabda:

من كانت له امرأتان فمال إلى إحداهما جاء يوم القيامة وشقه مائل

“Barangsiapa yang memiliki dua isteri lalu lebih cenderung kepada salah satunya, ia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan miring salah satu sisi tubuhnya.”[6]

Ketika Basyir memberitahu Nabi SAW bahwa ia memberi anaknya Nu’man sebuah harta, baginda bertanya, “Semua anakmu kamu berikan juga?” Basyir menjawab, “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.”[7] Anas bin Malik bercerita: suatu hari ketika seorang lelaki duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba anak laki-lakinya datang. Orang itu segera mengambil anak itu, menciumnya lalu mendudukkannya di pangkuan. Tidak lama kemudian datang anak perempuannya, orang itu segera mengambilnya lalu mendudukkannya di samping tempat duduknya. Rasulullah SAW lalu bersabda, “Kamu tidak adil kepada kedua anakmu ini.”[8]
Keadilan dalam masyarakat pula terlihat dalam ketegasan Rasulullah SAW menegakkan keadilan tanpa memandang identiti dan status pelakunya. Beliau bahkan pernah bersabda, “Andai Fatimah binti Muhammad mencuri, aku akan memotong tangannya.”[9] Pada perang Badar, Rasulullah SAW melihat Sawad bin Ghaziah keluar dari barisan. Beliau lalu menusuk perutnya dengan kayu dan bersabda, “Kembali ke barisanmu.” Sawad berkata, “Engkau telah menyakitiku wahai Rasulullah. Allah telah mengutusmu dengan kebenaran dan keadilan, maka berikanlah hakku untuk membalasmu.” Rasulullah SAW segera membuka perutnya dan berkata, “Ambillah hakmu.” Sawad lalu memeluk dan mencium perut Nabi SAW. Ternyata ia hanya menginginkan mendapat kesempatan mencium kulit Nabi SAW dan mendapatkan doanya.[10]

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita semua kekuatan untuk melakukan kesemua sifat dan sikap mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, khususnya anak-anak pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Profesional, dan bersama kita berusaha membimbing orang-orang yang di bawah jagaan kita ke arah keredhaan Allah SWT insyaallah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.



[1] Hadits riwayat Muslim.
[2] Hadits riwayat Muslim.
[3] “Al-Akhlaq Al-Islamiah wa Ususuha” 1/622.
[4] “Al-Akhlaq Al-Islamiah wa Ususuha” 1/625.
[5] Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[6] Hadits riwayat Ahmad.
[7] Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[8] Hadits riwayat Al-Baihaqi.
[9] Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[10] “Al-Sirah Al-Nabawiyah” Dr Muhamad Abu Syahbah 2/139.