Semenjak kita mengenal apa itu kebaikan dan apa itu keburukan, adakah kita lebih kerap membuat penilaian pada perbuatan orang lain daripada perbuatan diri kita sendiri? Lazimnya, apabila kita melihat orang lain membuat kemungkaran kita terus menghukumkan orang itu sebagai orang jahat, ahli maksiat dan orang yang terlaknat.
Kita lupa memandang pada diri sendiri, seolah-olah kita merasakan bahawa diri kitalah yang lebih baik daripada orang yang kita pandang. Sedangkan hakikatnya, kalau kita mengatakan orang lain itu lebih jahat dari diri kita, sebenarnya kitalah lebih jahat lagi. Kalau pun perbuatan kita tidak sejahat yang mereka lakukan, tapi yang jahat itu adalah hati kita. Kejahatan hati adalah lebih dahsyat daripada kejahatan perbuatan.
Memandang orang lain jahat, ahli maksiat, dan golongan terlaknat, hanya akan menutup hati kita daripada membungakan harapan agar orang tersebut berubah menjadi baik. Seolah-olah yang bagi kita tidak tahu apa-apa ini merasakan bahawa Tuhan itu sudah pun mengunci mati hati mereka daripada menerima hidayahNya. Apakah kita yang menjaga Lauh Mahfudzh sehingga kita sudah tahu kehendakNya? Mengapa kita harus mendahului Tuhan dalam menghukum manusia?
Siapakah kita untuk menjadi penghukum? Apakah kita ini sebaik Nabi Musa a.s, Nabi pilihan dan mereka itu sejahat Firaun musuh Tuhan? Sebaik-baik Nabi Musa dan sejahat-jahat Firaun pun, Allah masih mahukan rasulNya itu terus berdakwah kepada Firaun dengan cara yang lemah lembut. Allah masih mahukan sunnah alam terus berlaku, walaupun Dia Maha Tahu bahawa Firaun akhirnya tetap mati dalam kekufuran..
Akan selesailah tugas kita sebagai hamba Allah, hanya apabila kita menghukum seseorang itu sebagai orang yang keras hati dan tak boleh lagi dinasihatkan. Kalau benar kita ingin membuat teguran kepada mereka yang kita hukumkan sebagai ahli maksiat, teruskanlah usaha dakwah sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W terhadap bapa saudaranya Abu Talib. Biar pun Abu Talib mati dalam kekufuran, namun Baginda tetap memujuk sehingga nafas terakhir dihembuskan oleh bapa saudaranya yang paling disayangi itu.
Kalau selama ini kita tegur dengan kekerasan, apalah salahnya kita cuba dengan cara yang lembut. Siapa tahu, dengan cara itu maka Allah berkenan memberinya petunjuk. Pernahkah kita berdoa sesuatu yang baik untuk mereka yang kita namakan sebagai ahli maksiat? Atau selama ini dek kerana saratnya hati kita dengan perasaan benci, kita sanggup menadah tangan memohon kehancuran untuk mereka? Siapa yang lebih jahat kalau bukan orang yang selalu mengharapkan kehancuran untuk orang lain?
Berkata Imam Hassan Al Banna “Jadilah umpama pohon kayu, orang membaling kita dengan batu tapi kita membalasnya dengan buah”. Terlalu banyak teladan yang Rasul SAW tunjukkan dalam menghadapi kekerasan. Sejauh mana kita mencontohi baginda? Allah sendiri mengingatkan Rasulullah SAW supaya jangan bersikap keras kerana ia hanya akan menyebabkan manusia manusia lari daripada kita.
Siapa untung, bila mereka ini menjauhi kita sebelum sempat kebenaran Islam itu kita sampaikan. Bagaimana manusia ingin sudi mendengar kebenaran kalau ia kita sampaikan semuanya dalam bentuk kekerasan. Makanan yang lazat pun kalau kita campak atau balingkan ke hadapan orang, akan terbantut selera mereka untuk menjamahnya.
Cuba renungkan kembali kehidupan kita ini. sememangnya tiada seorang pun mahukan hujung hayat mereka diakhiri dengan cara yang terburuk. Tapi tanyakanlah pada hati kita ini, siapa boleh jamin bahawa kita yang kononnya merasa diri sentiasa beramal ibadat ini, akan mati dalam keadaan yang baik? Siapa pula yang boleh jamin bahawa orang yang kita katakan jahat kerana selama hidupnya membuat maksiat itu, hujung hayatnya adalah buruk?
Siapa tahu, orang yang kita lihat kaki maksiat dan sentiasa buat dosa selama hidupnya, tiba-tiba mati sebagai kekasih Allah? Siapa tahu, kita yang hidup dengan segala macam perbuatan yang baik, tiba-tiba kita mati dalam kekufuran. Wal’iyazubillah! Tidak cukup kah kisah-kisah teladan yang kita dengar selama ini untuk menjadi peringatan buat diri kita sendiri.
Usahlah diri kita sibuk melihat keburukan orang lain. Pandanglah kepada keburukan diri sendiri. Hukumlah diri sendiri, jangan suka menghukum orang lain. Hidupkan cahaya iman dalam diri agar kegelapan hati dapat kita sinari. Letakkanlah cermin wara’ di hadapan kita supaya dapat kita melihat kesilapan diri kita sendiri. Labuhkanlah tirai Taqwa di sekeliling kita agar kita terlindung daripada memandang keburukan orang lain. Kemudian muhasabahlah diri sendiri. Risaukanlah tentang diri, kerana kita tidak tahu apakah hujung hayat kita nanti akan kekal sebagai husnul khotimah.
Wallahu ‘aklam.