Wednesday, August 3, 2011

hmm.. Saya kagum dengan salah satu dari naluri manusia yang diciptakan Allah swt untuk manusia iaitu perasaan cinta dan sayang. Cinta ini boleh ke tahap seseorang boleh melupai dirinya demi untuk apa atau siapa yang dicintainya. Demikianlah potensi cinta. Ia boleh mencetuskan keajaiban-keajaiban yang tidak tergambar oleh manusia. Allah swt menciptakan musuh-musuh Agama dan segala bentuk kemampuan mereka merencana dan bertindak. Tetapi Allah juga mencipta Rasul-rasulNya, para Mujaddid dan Du’at seperti kita sehingga ke Hari Kiamat. Dia Yang Maha Berkuasa membekali dalam naluri kita potensi Cinta, agar kita bermatian berjuang melupai keselesaan diri, demi Dia, Rasul dan AgamaNya.
“Ihbib man syi’ta, fa innaka mufarriquhu” (Cintailah siapa yang engkau kehendaki, sesungguhnya engkau adalah orang yang akan berpisah dengannya) (Syair Arab).Oleh sebab itu, Cinta banyak diulang-ulangi di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. “Katakan (kepada mereka ya Muhammad) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah (perjuangan) aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran:31). Rasul saw bersabda bermaksud, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ALlah dan RasulNya lebih dia cintai melebihi dari selain kedua-duanya” (Hadis).

Bagi pecinta-pecinta Islam yang hakiki, tiada yang lebih besar cara membuktikan di depan Allah akan cinta mereka ini selain bekerja keras untuk memenangkannya berdepan dengan musuh-musuhnya, melupai keselesaan diri di rumah atau di pejabat, atau perniagaan yang menggoda dengan peluang-peluang keuntungan yang banyak. Duat lebih rela mengorbankan jiwa, duit, masa dan nyawa demi mencapai cita-cita Islam yang telah dia fahami dan pusakai dari Seerah Rasulullah saw, kekasih yang dicintainya.

Yang aku mahu dengan Ukhuwwah itu ialah hati-hati dan ruh-ruh diikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Ukhuwwah adalah adik beradik kepada Iman, sedang perpecahan adalah adik kepada Kekufuran. Kekuatan pertama ialah kekuatan Kesatuan. Tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Minina kasih sayang ialah berlapang dada. Maksima kasih sayang ialah Ithar (mengutamakan seseorang melebihi diri sendiri). “Sesiapa yang selamat dari kebakhilan diri sendiri, mereka orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr). Seorang akh yang jujur (dalam Ukhuwwahnya) melihat ikhwahnya lebih utama pada dirinya dari dirinya. Ini adalah kerana sekiranya dia tidak bersama mereka, dia tidak akan dapat bersama selain mereka. Sedang mereka pula, jika tidak bersama dia, mereka bersama selain dia. Hanyasanya serigala memakan kambing yang bersendirian. “Orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kuat menguat antara satu sama lain” (Hadis). “Orang-orang beriman lelaki dan perempuan adalah wali (penolong) diantara satu sama lain” (Al-Quran). Beginilah kita sepatutnya. [Imam Hasan Al-BannaOleh itu, satu hakikat penting yang harus kita sama-sama insafi dan hidupkan didalam perjuangan ini ialah Dakwah kita ini menyeru kepada Cinta. Cinta Allah, Rasul dan balasan di Akhirat sebagai asas. Begitu juga Dakwah kita mengajar agar cinta kepada teman-teman seperjuangan dan masyarakat Islam disekeliling kita. Dari asas dan titik tolak perasaan Iman dan Cinta inilah kita menyeru manusia. Ke arah Cinta juga kita mendidik mereka sehingga mereka pula menjadi pejuang-pejuang Agama dan Kebenaran yang kuat kecintaannya kepada Allah, Rasul dan oranag-orang beriman.

"Kita mahu masyarakat kita mengetahui bahawa mereka adalah lebih kita sayangi dari diri kita sendiri. Mereka adalah kekasih jiwa-jiwa kita ini, hingga jiwa dan nyawa kita rela terkorban menjadi tebusan demi mencapai keagungan untuk mereka, sekiranya perjuangan menuntut tebusan sedemikian. Jiwa-jiwa kita rela bersusah payah membayar harga yang mahal demi mendapatkan kemuliaan bagi agama dan cita-cita mereka. Kita tidak mengambil pendirian sedemikian melainkan kerana perasaan cinta ini yang telah memenuhi segenap hati-hati kita, melupakan kita tentang tempat tidur dan mengalirkan airmata kita. Amat berat kita rasakan terhadap apa yang sedang dialami oleh masyarakat kita. Kita bekerja di jalan Allah untuk orang ramai lebih banyak dari kita bekerja untuk diri kita sendiri. Kami adalah untuk anda semua wahai kekasih-kekasih kami, bukan untuk selain kamu. Tidak akan datang hari dimana kami berjuang untuk selain kamu” (Imam Hasan Al-Banna).

Sebaliknya sebarang perjuangan lebih-lebih lagi perjuangan Islam yang tidak didasari dan diwarnai dengan Ukhuwwah dan kasih sayang adalah perjuangan yang pasti akan gagal. Ini adalah kerana tanpa kasih sayang, organisasi tersebut telah hilang salah satu ciri keimanan yang terpenting seperti yang dianjurkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat. Kita sendiri dapat gambarkan sekiranya perjuangan yang tidak mempunyai gaji dan upah seperti Dakwah ini tidak mampu menyirami anggota-anggotanya dengan Iman dan Ukhuwwah, lambat laun mereka akan lebih tertarik dengan dunia dengan segala perhiasan dan godaannya. Contoh dan pengalaman yang berlaku di depan mata kita terlalu banyak berlaku. Kata mengata, jatuh menjatuh, cantas mencantas sebenarnya membakar hangus isi dan intipati ruh perjuangan sesebuah jemaah seperti api di dalam sekam.

“Orang yang merdeka hatinya adalah orang yang meraikan saat-saat manis walau sesaat dan bergabung dengan orang yang memberinyanya menfaat walau melalui sepatah perkataan” (Imam Syafie). Jika asas perjuangan hanya semangat dan isu-isu semasa, ianya bermusim dan pasti menyejuk dalam masa terdekat. Jika asas perjuangan adalah aqidah, faham dan kasih sayang, ia berkekalan untuk masa yang panjang. 

Ya Allah, kurniakan kami kecintaan kepadaMu, rasulMu dan kekasih-kekasihMu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan AgamaMu. Kasihkan kami kepada ahli keluarga kami. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin.

TEGURAN


Dalam meniti kehidupan ini kita semua tidak boleh lari dari membuat kesilapan samada secara sedar ataupun tidak. Itu adalah hikmah yang hanya Allah mengetahui kebaikannya. Sebab itu diadakan saranan untuk sentiasa beristighfar moga dengan itu dosa-dosa yang kita lakukan dapat diampunkan oleh Allah swt.

Apabila bercakap pasal kesilapan ini, ada kesilapan yang besar dan ada kesilapan yang kecil. Selagi kesilapan itu tidak menjejaskan aqidah maka sebagai mukmin kita harus berlapang dada dan berusaha untuk membaiki dengan segala kemampuan yang ada. Punca kesilapan ini juga pelbagai, ada kerana desakan ekonomi rumahtangga, ada disebabkan dorongan merebut kekuasaan, ada disebabkan desakan kawan-kawan sekelililng, ada disebabkan dorongan nafsu serakah, ada juga disebabkan faktor suasana sekeliling.

Tidak ada seorang pun boleh mendabik dada mengatakan bahawa beliau tidak pernah membuat dosa. Kita bukan malaikat.  Cuma dalam banyak keadaa kita melihat dosa itu hanya pada apa yang kita lihat dengan mata kasar saja seperti rasuah, menipu, mencuri, membunuh, berzina dan yang seumpamanya. Namun sedikit dari kita yang mengetahui bahawa dosa-dosa “tersembunyi” yang ada dalam diri kita itu tidak kurang bahayanya seperti takabbur, riak, ujub, bakhil dan seumpamanya. Boleh saja amalan kita terhapus dengan dosa-dosa ini dan di campakkan ke dalam neraka, nauzubillah. Selagi dosa itu tidak membawa kepada terkeluar dari islam maka sikap kita ialah cuba untuk membaikinya sedaya yang mampu.

Di Malaysia, secara umumnya umat Islam, tidak kira golongan mana, walau sebanyak mana pun dosa yang mereka lakukan, namun mereka masih bangga dengan agama Islam. Malah mereka akan sama-sama bersatu tanpa mengira dari parti atau kumpulan mana menentang mana-mana pihak yang menghina Islam. Inilah prinsip yang mesti dipegang dan dijaga oleh semua umat Islam.

Rasulullah saw pernah menegur Khalid Al Walid kerana membunuh tentera musuh yang mengucap 2 kalimah syahadah dalam satu peperangan walaupun Khalid berhujah bahawa tentera itu hanya berhelah.

Berbaik dengan pelaku dosa bukan bermakna kita redha dengan perbuatan mereka ataupun mahu bersekongkol dengan dosa yang mereka lakukan. Tetapi ke arah mengislah mereka. Ini kadangkala sukar untuk difahami oleh masyarakat... Allahuakhbar!

BAB 2 - JENIS-JENIS BERSUCI

JENIS-JENIS BERSUCI

            Bersuci terbahagi kepada dua jenis:

i)                    Bersuci daripada najis
ii)                  Bersuci daripada hadas

BERSUCI DARIPADA NAJIS

            Erti najis pada bahasa ialah semua benda yang kotor
            Erti najis pada syara’ ialah benda yang kotor yang menghalang daripada sembahyang seperti darah dan air kencing.

Benda-benda najis

            Benda-benda najis terlalu banyak. Kita akan nyatakan tujuh perkara yang paling penting:

1.      Arak dan semua cecair yang memabukkan. Firman Allah Ta’ala:


إِنَّمّا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ والْأَنْصَابُ وَالْأَزْلاَمُ رِجْسٌ
“sesungguhnya arak, judi (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah najis
(al Maidah: 90)
            Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّ مُسْكَرٍ خّمْرٌ وَكُلُّ خّمْرٍ حَرَامٌ
“setiap yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram”

2.      Anjing dan babi. Sabda Rasulullah s.a.w:

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يغْسِلهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَوَّلاً عَنْ بِالتُّرَابِ
“Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing (seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak 7 kali; basuhan pertama hendaklah dengan tanah (air yang dicampurkan dengan tanah) –Muslim (279).

3.      Bangkai. Iaitu semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan cara yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah Ta’alaa”

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

“Diharamkan ke atas kamu bangkai”
           
            Pengharamannya adalah disebabkan ia najis.

            Termasuk juga dalam hukum bangkai, semua yang di sembelih untuk berhala dan yang disebut dengan nama selain dari Allah s.w.t. firman Allah yang bermaksud:
“dan apa yang disembelih untuk lain daripada Allah (tidak dengan nama Allah”
(al Maedah: 3)

4.      Darah yang mengalir dan nanah. Firman Allah Ta’alaa”

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرِ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“…atau darah yang mengalir, daging babi, maka ia adalah najis.”
(Al An’am: 145)

Hati dan limpa dikecualikan daripada darah yang dihukum najis berdasarkan kepada hadith yang lalu.

5.      Air kencing manusia dan binatang serta tahi kedua-duanya. Al Bukhari (217) dan Muslim (284) meriwayatkan bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

صُبُّوا عَلَيْهِ ذَنُبًا مِنْ مَاءٍ

“Tuangkan ke atasnya satu timba yang penuh airnya”

            Perintah supaya dituangkan air ke atasnya menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

6.      Setiap bahagian tercerai daripada binatang semasa hidup adalah najis. Sabda Rasulullah s.a.w

مَا قُطِعَ مِنْ بَهِيمَةٍ فَهُوَ مَيْتَةٌ

“Apa yang dipotong daripada binatang (ketika ia masih hidup), adalah bangkai (Al Hakim, dia mensahihkannya)

            Rambut dan bulu haiwan yang dimakan dagingnya dikecualikan daripada hukum tersebut. Ia adalah suci. Firman Allah yang bermaksud:

“dan dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumahtangga dan perhiasan mata benda (yang kamu pakai) sampai waktu tertentu”.
(An Nahl:80)

7.      Susu haiwan yan tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan seumpamanya. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya, dan dagingnya adalah najis.


            BANGKAI YANG TIDAK NAJIS

            Terdapat tiga jenis bangkai yang tidak dihukumkan sebagai najis:

1.      Bangkai (mayat) manusia. Firman Allah Ta’alaa:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىْ ءَادَمَ

“sesungguhnya telah Kami muiakan anak Adam.”
(Al Isra’: 70)

      Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah ia adalah suci samada ketika hidup atau mati. (Al Bukhari (279)) diriwayatkan sabda RAsulullah s.a.w:

سُبْحَانَ الله إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ

“Maha suci Allah, sesungguhnya orang Islam itu tidak najis”

      Ibnu Abbas r.a menyatakan: orang Islam tidak najis sama ada semasa hidup atau mati (riwayat Al Bukhari ketika melakukan komentar dalamkitab jenazah, bab memandikan mayat dan mengambil wudhu’ untknya.

2,3.            Ikan dan belalang. Sabda Rasulullah s.a.w:

أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ ودَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمّانِ فَالكَبِدُ وَالطَّحَالُ

“Di halalkan kepada kamu dua jenis jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang. Dua darah pula ialah hati dan limpa (ibnu Majah)


NAJIS ‘AINI DAN NAJIS HUKMI

            Najis ‘Aini ialah semua najis yang mempunyai jirim (bentuk) yang dapat dilihat atau mempunyai sifat yang zahir seperti warna atau bau seperti tahi, air kencing atau darah.

            Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesan-kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi. Contohnya: baju yang terkena air kencing kemudian ia kering dan tidak zahir bagi kesannya.

NAJIS MUGHALLAZAH, NAJIS MUTAWASSITHAH DAN NAJIS MUKHAFFAFAH

1.      Najis Mughallazhah (berat) ialah najis anjing dan babi.

Dalil menunjukkan bahawa najis anjing dan babi adakah najis berat ialah kerana tidak memadai membasuhnya sebanyak satu kali air seperti mana najis-najis yang lain. Bahkan mestilah dibasuh dengan tujuh kali. Salah satu basuhannya ialah dengan air tanah. Sebagaimana dalam hadith yang lalu iaitu hadis berkenaan dengan anjing menjilat bekas air.

      Babi di qiaskan kepada anjing (dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.

2.      Najis Mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan kecuali susu sahaja.

Dalil menunjukkan bahawa air kencing tersebut adalah najis ringan ialah memadai untuik membersihkannya dengan hanya merenjiskan air ke atasnya. Renjisan air tersebut hendaklah meratai semua tempat najis walaupun tanpa mengalirkannya.

            Al Bukhari (2021) dan Muslim (287) serta lainnya meriwayatkan daripada Ummu Qis binti Mihsan r.a:

Beliau menemui Rasulullah S.A.W dengan membawa anak lelaki kecil yang tidak makan apa-apa makanan. Lalu anak tersebut kencing di atas baju Baginda s.a.w.. Baginda menyuruh supaya didatangkan air lalu merenjis-renjiskannya tanpa membasuhnya (mengalirkan airnya).

3.   Najis Mutawassitah (pertengahan) iaitu najis selain anjing dan babi serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan kecuali susu manusia.

      Contoh : air kencing manusia, muntah haiwan dan darah. Dinamakan najis pertengahan kerana ia tidak suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya dan tidak wajib dibasuh berulang-ulang kali sekiranya najis tersebut boleh dihilangkan hanya dengan sekali basuhan.

      Al Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. katanya:

“Apabila Nabi S.A.W keluar ke kawasan lapang untuk menunaikan hajatnya (membuang air), aku datangkan kepadanya air. Lalu Baginda membasuh dengannya”

      Al Bukhari (176) dan Muslim (303) meriwayatkan daripada Ali r.a katanya:

“Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi dan aku merasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Aku menyuruh Miqdad bin Al Aswad menanyakannya lalu ia bertanya. Baginda s.a.w menjawab: padanya (dikenakan) wudhuk”

      Menurut riwayat Muslim:

“Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwudhk”

      Air mazi adalah cecair berwarna kuning kejernihan. Biasanya ia keluar ketika syahwat sedang memuncak.

      Al Bukhari (155) meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:

“Nabi s.a.w pergi ke tanah yang rendah untuk membuang air. Kemudian Baginda  menyuruh aku memberinya 3 biji batu. Aku mendapati dua bji batu sahaja dan aku mencari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil tahi binatang yang kering dan aku bawakan kepada baginda. Baginda telah mengambil dua batu tersebut dan mencampakkan tahi binatang itu seraya berkata: ini adalah najis.

CARA MENYUCIKAN NAJIS

      Cara mensucikan najis Mughallazah (najis anjing dan babi) ialah dibasuh dengan air sebanyak 7 kali dan salah satu daripadanya (dicampur) dengan tanah, samada najis tersebut najis ‘aini atau hukmi, dan sama ada ia terkena pada pakaian,badan atau tempat.

      Dalilnya ialah sebagaimana hadith yang lalu berkenaan dengan anjing menjilat air dalam bekas.

      Cara mensucikan najis Mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu manusia) ialah dengan direnjiskan air secara rata ke tempat najis tersebut samada dalam keadaan najis ‘aini ataupun hukmi dan sama ada ia terkena pada badan, pakaian atau tempat.

      Cara mesucikan najis Mutawassitah (najis selain daripada babi dan anjing serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain susu) ialah dengan dialirkan air ke atas nya dan dihilangkan kesan-kesannya sehingga hilang ‘ain najis tersebut dan juga sifat-sifatnya; warna, rasa atau bau samada najis aini atau hukmi dan samada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat. Tetapi tidak mengapa jika warna masih kekal disebabkan susah untuk dihilangkan seperti darah.

MENYUCIKAN KULIT BANGKAI SELAIN ANJING DAN BABI

      Cara menyucikannya ialah dengan disamak

      Erti samak ialah membuang segala lendir-lendir yang boleh merosakkannya yang ada pada kulit jika ia terus kekal padanya, dengan benda/bahan yang panas dan tajam,di mana sekiranya kita meletakkan kulit tersebut ke dalam air ia tidak lagi akan berbau busuk dan rosak. Sabda Rasulullah s.a.w:


“apabila kulit disamak maka sesungguhnya ia telah suci”
(Muslim 336)

      Kulit yang telah disamak wajib di basuh semula dengan air disebabkan ubat-ubat yang najis yang digunakan untuk menyamaknya. Atau disebabkan ubat-ubat yang menjadi najis disebabkan terkena kulit sebelum ia menjadi suci.

NAJIS YANG DI MAAFKAN

      Islam adalah agama kebersihan. Oleh itu Islam mewajibkan supaya menghilangkan najis di mana sahaja ia berada dan menyuruh supaya memelihara diri daripadanya. Islam juga telah menjadikan bersuci daripada najis sebagai syarat sah sembahyang sama ada suci pada pakaian, tubuh badan atau tempat.

      Walaubagaimanapun (pada waktu yang sama) Islam adalah agama yang memudahkan dan tidak menyusahkan. Oleh itu Islam memaafkan sesetengah najis yang susah untuk dihilangkan dan juga sukar untuk dipelihara diri daripada terkena padanya bagi memudahkan manusia dan mengelak sebarang kesulitan daripada mereka. Diantara najis-najis dimaafkan ialah:

1. percikan air kencing yang terlau sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sihat penglihatannya (apabila ia mengenai pakaian atau badan), sama ada najis tersebut mughallazah, mukhaffafah atau mutawasitah.

2. darah, nanah, darah kutu anjing dan najis sedikit yang dibawa oleh lalat, selagi ia bukan perbuatan manusia dan bukan dengan sengaja.

3.  darah atau nanah luka walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada diri manusia itu sendiri, bukan hasil daripada perbuatannya dan bukan dengan sengaja. Disyaratkan supaya darah atau nanah tersebut tidak mengalir ke tempat lain.

4. tahi binatang yang mengenai bijian-bijian ketika ia memijaknya. Begitu juga tahi binatang ternakan yang mengenai susu ketika diperah dengan syarat najis tersebut tidak banyak hingga mengubah keadaan susu tersebut.

5. tahi ikan di dalam air selagi air tersebut tidak berubah. Begitu juga tahi burung pada tempat-tempat yang selalu ia berulang alik padanya seperti kawasan tanah suci Makkah, kawasan suci Madinah dan Jamek Umawi. Ini adalah disebabkan ‘umum al balwa (musibah yang umum) dan sukar untuk di pelihara daripadanya.

6. darah yang mengenai baju tukang daging sekiranya tidak banyak

7. darah yang ada pada daging

8. mulut kanak-kanak yang terdapat najis muntah padanya apabila ia menghisap susu ibunya.

9. tanah jalan yang mengenai manusia


10. bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam sesuatu cecair seperti lalat, lebah dan semut dengan syarat ia terjatuh dengan sendirinya (bukan dicampak) dan ia tidak mengubah keadaan cecair tersebut.

      Al Bukhari (5445) dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“apabila lalat terjatuh ke dalam bekas seseorang kamu, maka hendaklah diselamkan semuanya, kemudian dibuangkannya kerana sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada penawar dan satu lagi mempunyai (kuman) penyakit.”

      Begitulah juga hukum bangkai binatang lain yang darahnya tidak mengalir. Ia di qiaskan kepada hukum lalat sebagaimana yang jelas nasnya dalam hadis di atas.

Wallahua’lam