Showing posts with label FARDHU AIN. Show all posts
Showing posts with label FARDHU AIN. Show all posts

Wednesday, August 3, 2011

BAB 2 - JENIS-JENIS BERSUCI

JENIS-JENIS BERSUCI

            Bersuci terbahagi kepada dua jenis:

i)                    Bersuci daripada najis
ii)                  Bersuci daripada hadas

BERSUCI DARIPADA NAJIS

            Erti najis pada bahasa ialah semua benda yang kotor
            Erti najis pada syara’ ialah benda yang kotor yang menghalang daripada sembahyang seperti darah dan air kencing.

Benda-benda najis

            Benda-benda najis terlalu banyak. Kita akan nyatakan tujuh perkara yang paling penting:

1.      Arak dan semua cecair yang memabukkan. Firman Allah Ta’ala:


إِنَّمّا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ والْأَنْصَابُ وَالْأَزْلاَمُ رِجْسٌ
“sesungguhnya arak, judi (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah najis
(al Maidah: 90)
            Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّ مُسْكَرٍ خّمْرٌ وَكُلُّ خّمْرٍ حَرَامٌ
“setiap yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram”

2.      Anjing dan babi. Sabda Rasulullah s.a.w:

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يغْسِلهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَوَّلاً عَنْ بِالتُّرَابِ
“Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing (seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak 7 kali; basuhan pertama hendaklah dengan tanah (air yang dicampurkan dengan tanah) –Muslim (279).

3.      Bangkai. Iaitu semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan cara yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah Ta’alaa”

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

“Diharamkan ke atas kamu bangkai”
           
            Pengharamannya adalah disebabkan ia najis.

            Termasuk juga dalam hukum bangkai, semua yang di sembelih untuk berhala dan yang disebut dengan nama selain dari Allah s.w.t. firman Allah yang bermaksud:
“dan apa yang disembelih untuk lain daripada Allah (tidak dengan nama Allah”
(al Maedah: 3)

4.      Darah yang mengalir dan nanah. Firman Allah Ta’alaa”

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرِ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“…atau darah yang mengalir, daging babi, maka ia adalah najis.”
(Al An’am: 145)

Hati dan limpa dikecualikan daripada darah yang dihukum najis berdasarkan kepada hadith yang lalu.

5.      Air kencing manusia dan binatang serta tahi kedua-duanya. Al Bukhari (217) dan Muslim (284) meriwayatkan bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

صُبُّوا عَلَيْهِ ذَنُبًا مِنْ مَاءٍ

“Tuangkan ke atasnya satu timba yang penuh airnya”

            Perintah supaya dituangkan air ke atasnya menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

6.      Setiap bahagian tercerai daripada binatang semasa hidup adalah najis. Sabda Rasulullah s.a.w

مَا قُطِعَ مِنْ بَهِيمَةٍ فَهُوَ مَيْتَةٌ

“Apa yang dipotong daripada binatang (ketika ia masih hidup), adalah bangkai (Al Hakim, dia mensahihkannya)

            Rambut dan bulu haiwan yang dimakan dagingnya dikecualikan daripada hukum tersebut. Ia adalah suci. Firman Allah yang bermaksud:

“dan dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumahtangga dan perhiasan mata benda (yang kamu pakai) sampai waktu tertentu”.
(An Nahl:80)

7.      Susu haiwan yan tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan seumpamanya. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya, dan dagingnya adalah najis.


            BANGKAI YANG TIDAK NAJIS

            Terdapat tiga jenis bangkai yang tidak dihukumkan sebagai najis:

1.      Bangkai (mayat) manusia. Firman Allah Ta’alaa:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىْ ءَادَمَ

“sesungguhnya telah Kami muiakan anak Adam.”
(Al Isra’: 70)

      Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah ia adalah suci samada ketika hidup atau mati. (Al Bukhari (279)) diriwayatkan sabda RAsulullah s.a.w:

سُبْحَانَ الله إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ

“Maha suci Allah, sesungguhnya orang Islam itu tidak najis”

      Ibnu Abbas r.a menyatakan: orang Islam tidak najis sama ada semasa hidup atau mati (riwayat Al Bukhari ketika melakukan komentar dalamkitab jenazah, bab memandikan mayat dan mengambil wudhu’ untknya.

2,3.            Ikan dan belalang. Sabda Rasulullah s.a.w:

أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ ودَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمّانِ فَالكَبِدُ وَالطَّحَالُ

“Di halalkan kepada kamu dua jenis jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang. Dua darah pula ialah hati dan limpa (ibnu Majah)


NAJIS ‘AINI DAN NAJIS HUKMI

            Najis ‘Aini ialah semua najis yang mempunyai jirim (bentuk) yang dapat dilihat atau mempunyai sifat yang zahir seperti warna atau bau seperti tahi, air kencing atau darah.

            Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesan-kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi. Contohnya: baju yang terkena air kencing kemudian ia kering dan tidak zahir bagi kesannya.

NAJIS MUGHALLAZAH, NAJIS MUTAWASSITHAH DAN NAJIS MUKHAFFAFAH

1.      Najis Mughallazhah (berat) ialah najis anjing dan babi.

Dalil menunjukkan bahawa najis anjing dan babi adakah najis berat ialah kerana tidak memadai membasuhnya sebanyak satu kali air seperti mana najis-najis yang lain. Bahkan mestilah dibasuh dengan tujuh kali. Salah satu basuhannya ialah dengan air tanah. Sebagaimana dalam hadith yang lalu iaitu hadis berkenaan dengan anjing menjilat bekas air.

      Babi di qiaskan kepada anjing (dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.

2.      Najis Mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan kecuali susu sahaja.

Dalil menunjukkan bahawa air kencing tersebut adalah najis ringan ialah memadai untuik membersihkannya dengan hanya merenjiskan air ke atasnya. Renjisan air tersebut hendaklah meratai semua tempat najis walaupun tanpa mengalirkannya.

            Al Bukhari (2021) dan Muslim (287) serta lainnya meriwayatkan daripada Ummu Qis binti Mihsan r.a:

Beliau menemui Rasulullah S.A.W dengan membawa anak lelaki kecil yang tidak makan apa-apa makanan. Lalu anak tersebut kencing di atas baju Baginda s.a.w.. Baginda menyuruh supaya didatangkan air lalu merenjis-renjiskannya tanpa membasuhnya (mengalirkan airnya).

3.   Najis Mutawassitah (pertengahan) iaitu najis selain anjing dan babi serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan kecuali susu manusia.

      Contoh : air kencing manusia, muntah haiwan dan darah. Dinamakan najis pertengahan kerana ia tidak suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya dan tidak wajib dibasuh berulang-ulang kali sekiranya najis tersebut boleh dihilangkan hanya dengan sekali basuhan.

      Al Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. katanya:

“Apabila Nabi S.A.W keluar ke kawasan lapang untuk menunaikan hajatnya (membuang air), aku datangkan kepadanya air. Lalu Baginda membasuh dengannya”

      Al Bukhari (176) dan Muslim (303) meriwayatkan daripada Ali r.a katanya:

“Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi dan aku merasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Aku menyuruh Miqdad bin Al Aswad menanyakannya lalu ia bertanya. Baginda s.a.w menjawab: padanya (dikenakan) wudhuk”

      Menurut riwayat Muslim:

“Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwudhk”

      Air mazi adalah cecair berwarna kuning kejernihan. Biasanya ia keluar ketika syahwat sedang memuncak.

      Al Bukhari (155) meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:

“Nabi s.a.w pergi ke tanah yang rendah untuk membuang air. Kemudian Baginda  menyuruh aku memberinya 3 biji batu. Aku mendapati dua bji batu sahaja dan aku mencari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil tahi binatang yang kering dan aku bawakan kepada baginda. Baginda telah mengambil dua batu tersebut dan mencampakkan tahi binatang itu seraya berkata: ini adalah najis.

CARA MENYUCIKAN NAJIS

      Cara mensucikan najis Mughallazah (najis anjing dan babi) ialah dibasuh dengan air sebanyak 7 kali dan salah satu daripadanya (dicampur) dengan tanah, samada najis tersebut najis ‘aini atau hukmi, dan sama ada ia terkena pada pakaian,badan atau tempat.

      Dalilnya ialah sebagaimana hadith yang lalu berkenaan dengan anjing menjilat air dalam bekas.

      Cara mensucikan najis Mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu manusia) ialah dengan direnjiskan air secara rata ke tempat najis tersebut samada dalam keadaan najis ‘aini ataupun hukmi dan sama ada ia terkena pada badan, pakaian atau tempat.

      Cara mesucikan najis Mutawassitah (najis selain daripada babi dan anjing serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain susu) ialah dengan dialirkan air ke atas nya dan dihilangkan kesan-kesannya sehingga hilang ‘ain najis tersebut dan juga sifat-sifatnya; warna, rasa atau bau samada najis aini atau hukmi dan samada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat. Tetapi tidak mengapa jika warna masih kekal disebabkan susah untuk dihilangkan seperti darah.

MENYUCIKAN KULIT BANGKAI SELAIN ANJING DAN BABI

      Cara menyucikannya ialah dengan disamak

      Erti samak ialah membuang segala lendir-lendir yang boleh merosakkannya yang ada pada kulit jika ia terus kekal padanya, dengan benda/bahan yang panas dan tajam,di mana sekiranya kita meletakkan kulit tersebut ke dalam air ia tidak lagi akan berbau busuk dan rosak. Sabda Rasulullah s.a.w:


“apabila kulit disamak maka sesungguhnya ia telah suci”
(Muslim 336)

      Kulit yang telah disamak wajib di basuh semula dengan air disebabkan ubat-ubat yang najis yang digunakan untuk menyamaknya. Atau disebabkan ubat-ubat yang menjadi najis disebabkan terkena kulit sebelum ia menjadi suci.

NAJIS YANG DI MAAFKAN

      Islam adalah agama kebersihan. Oleh itu Islam mewajibkan supaya menghilangkan najis di mana sahaja ia berada dan menyuruh supaya memelihara diri daripadanya. Islam juga telah menjadikan bersuci daripada najis sebagai syarat sah sembahyang sama ada suci pada pakaian, tubuh badan atau tempat.

      Walaubagaimanapun (pada waktu yang sama) Islam adalah agama yang memudahkan dan tidak menyusahkan. Oleh itu Islam memaafkan sesetengah najis yang susah untuk dihilangkan dan juga sukar untuk dipelihara diri daripada terkena padanya bagi memudahkan manusia dan mengelak sebarang kesulitan daripada mereka. Diantara najis-najis dimaafkan ialah:

1. percikan air kencing yang terlau sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sihat penglihatannya (apabila ia mengenai pakaian atau badan), sama ada najis tersebut mughallazah, mukhaffafah atau mutawasitah.

2. darah, nanah, darah kutu anjing dan najis sedikit yang dibawa oleh lalat, selagi ia bukan perbuatan manusia dan bukan dengan sengaja.

3.  darah atau nanah luka walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada diri manusia itu sendiri, bukan hasil daripada perbuatannya dan bukan dengan sengaja. Disyaratkan supaya darah atau nanah tersebut tidak mengalir ke tempat lain.

4. tahi binatang yang mengenai bijian-bijian ketika ia memijaknya. Begitu juga tahi binatang ternakan yang mengenai susu ketika diperah dengan syarat najis tersebut tidak banyak hingga mengubah keadaan susu tersebut.

5. tahi ikan di dalam air selagi air tersebut tidak berubah. Begitu juga tahi burung pada tempat-tempat yang selalu ia berulang alik padanya seperti kawasan tanah suci Makkah, kawasan suci Madinah dan Jamek Umawi. Ini adalah disebabkan ‘umum al balwa (musibah yang umum) dan sukar untuk di pelihara daripadanya.

6. darah yang mengenai baju tukang daging sekiranya tidak banyak

7. darah yang ada pada daging

8. mulut kanak-kanak yang terdapat najis muntah padanya apabila ia menghisap susu ibunya.

9. tanah jalan yang mengenai manusia


10. bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam sesuatu cecair seperti lalat, lebah dan semut dengan syarat ia terjatuh dengan sendirinya (bukan dicampak) dan ia tidak mengubah keadaan cecair tersebut.

      Al Bukhari (5445) dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“apabila lalat terjatuh ke dalam bekas seseorang kamu, maka hendaklah diselamkan semuanya, kemudian dibuangkannya kerana sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada penawar dan satu lagi mempunyai (kuman) penyakit.”

      Begitulah juga hukum bangkai binatang lain yang darahnya tidak mengalir. Ia di qiaskan kepada hukum lalat sebagaimana yang jelas nasnya dalam hadis di atas.

Wallahua’lam

Tuesday, March 15, 2011

BAB 1 - BERSUCI

Salam,

Berikut adalah merupakan nota kelas Fardhu Ain untuk kaum Muslimat yang diadakan di Surau al-Razi Bandar Pinggiran Subang. Semoga anak-anak murid ustazah dapat mengambil manfaat darinya:

SIRI 1:

Erti Bersuci

   Bersuci pada bahasa ialah bersih dan terhindar daripada segala kekotoran samada dalam bentuk hissiah iaitu yang boleh dirasa sseperti najis atau ma’nawiyyah seperti perkara yang menghaibkan, atau sifat-sifat terkeji.

Bersuci mengikut istilah syara’

                Bersuci mengikut istilah syarak ialah perbuatan yang apabila dilakukan akan mengharuskan sembahyang didirikan atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hukum sembahyang, seperti berwudhuk kepada sesiapa yang tidak berada dalam keadaan berwudhuk, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, badan dan tempat.

Islam Mengambil Berat Kebersihan dan Bersuci

                Islam ssngat mengambil berat terhadap bersuci dan kebersihan. Ia dapat dilihat sebagaimana berikut:

1.       Perintah berwudhuk beberapa kali setiap hari untuk mendirikan sembahyang. Firman Allah Ta’ala:

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu ingin mendirikan sembahyang, maka basuhlah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga ke siku, dan sapulah kepala-kepala kamu hingga kedua buku laki
 (al-Maidah:6)

2.       Dorongan atau gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Firman Allah Ta’ala:

 Jika kamu dalam keadaan berjunub maka bersucilah
(al-Maidah:6)

                Al-bukhari (856) dan Muslim (849) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W:

لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلُ فِىْ كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَوْمًا يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah ialah mandi satu hari dalam seminggu dengan membasuh kepala  dan badannya sekali

3.       Perintah supaya memotong kuku, membersih gigi dan pakaian.

Al-Bukhari (5550) dan muslim (257) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W:

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ : الخِتَانُ وَالاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الإِبْطِ  وَتَقْلِيمُ الأَظَافِرِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

Lima perkara daripada fitrah : berkhatan (bersunat), mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.

Al-Bukhari (847) dan muslim(252) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W

لَوْ لاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَىْ أُمَّتِيْ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةِ

Sekiranya tidak membebankan ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi setiap kali sembahyang.

                Menurut riwayat Imam Ahmad (6/325) di akhir hadith tersebut: ketika setiap kali berwudhuk.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Dan pakaian kamu, maka bersihkanlah (Muddathir:4)

                Abu Daud (4089) meriwayatkan sabda Nabi S.A.W kepada para sahabatnya:

Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara-saudara kamu, maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian-pakaian kamu sehingga kamu menjadi tahi lalat di kalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.

                Maksud bekalan (rihal) iaalah semua barang yang diperlukan untuk perjalanan seperti bekas-bekas dan lain-lain yang diletakkan di atas belakang unta atau binatang tunggangan.

                Maksud menjadi tahi lalat dikalangan manusia ialah menonjol dan berbeza dengan orang lain.

                Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah kasih kepada orang suka bertaubat dan kasih kepada orang yang suka bersuci.
(al-Baqarah:222)

                Sesungguhnya Islam juga telah menjadikan berssuci itu separuh daripada iman. Sabda Rasulullah S.A.W:

Bersuci adalah separuh daripada iman (Muslim (223)

HIKMAT DISYARIATKAN BERSUCI

            Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmat yang banyak, antaranya:

1.       Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Firah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran. Oleh kerana Islam agama fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

2.       Menjaga kemuliaan dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung kepada seseorang yang bersih, suka berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama, mereka bencikan kepada seorang yang pengotor, menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk bersamanya.

Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan seseorang yang beriman (mu’min) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mu’min itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudar-saudaranya.

3.       Menjaga kesihatan. Kebersihan adalah antara faktor yang amat penting untuk menjaga manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakkan penyakit yang merebak/menular dikalangan manusia adalah disebabkan kekotoran.

Oleh itu membershkan badan, membasuh muka, dua tangan, hidung, dan dua kaki (anggota-anggota yang sentiasa terdedah kepada kekotorab) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada penyakit.

4.       Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam sembahyang, manusia bercakap dengan Tuhannya dan bermunajat kepadaNya. Oleh itu selayak mana sepatutnya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Ta’ala kasih kepada orang yang suka bertaubat dan sentiasa bersih.

AIR YANG BOLEH DIBUAT BERSUCI

                Air yang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air, air salji dan air embun.

                Semua air ini tergolong dalam dua kategori : iaitu Air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Ta’ala:

Dan Kami turunkan dari langit air yang suci. (al-Furqaan:48)

Firman allah Ta’ala yang bermaksud:

Dan Dia (Allah) menurunkan ke atas kamu dari langit, air (hujan) supaya kamu bersuci dengannya.
 (al-Anfaal:11)

                Abu Daud, At-Tarmidzi, An-Nasa’ei, Ibnu majah dan Imam Ahmad bin Hanbal (At-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan sahih) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullsh S.A.W katanya: Wahai Rasulullah, kami telah belayar di lautan, dan kami membawa bersama-sama kami air yang sedikit, sekiranya kami berwudhuk dengannya, kami akan dahaga,apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut? Rasulullah s.a.w menjawab: Airnya suci dan halal bangkai di dalamnya.

                Maksud halal bangkai di dalamnya ialah semua yang mati di dalamnya seperti ikan dan seumpamanya boleh dimakan tanpa disembelih.
BAHAGIAN-BAHAGIAN AIR

Air terbahagi kepada empat bahagian:

1.       Suci lagi menyucikan
2.       Suci lagi menyucikan tetapi makruh.
3.       Suci tetapi tidak menyucikan
4.       Bernajis

1.       Air yang Suci lagi Menyucikan

                Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikan Allah Taala. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia sudah berubah dengan sebab lama di tinggal, atau disebabkan tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan lama tinggal didalamnya-kiambang),atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalir di atas tanah tersebut, semuanya ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.

                Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak ialah hadits riwayat Al-Bukhari (217) dan lainnya daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

قَام أَعْرَبِيُّ قَبَالَ فِى الْمَسْجِدِ فَقَامَ إِلَيْهِ النَّاسُ لِيَقَعُوا بِهِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: دَعُوهُ وَهَرِيْقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاٌ مِنْ مَاءٍ – أَوْ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ – فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثوا مُعَسِّرِينَ

Seorang Badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu  Rasulullah S.A.W bersabda : biarkan dia dan tuangkan di atas air kencing nya sebaldi air. Sesungguhnya kamu di bangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan.

                Perintah Rasulullah S.A.W supaya menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai cirri atau sifat menyucikan.

2.       Air yang Suci dan Menyucikan tetapi Hukumnya Makuh

                Air yang suci dan menyucikan tetapi hukumnya makruh ialah air Musyammas. Ia adalah air panas di sebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila memenuhi tiga syarat:

i)                     Ia berlaku di negeri yang panas
ii)                   Ia diletakkan didalam bekas yang di tempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh di tempa (berkarat)
iii)                  Ia digunakan pada badan manusia walaupun badan mayat, atau pada haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.

Imam As Syafiei r.a meriwayatkan daripada Umar r.a :
               
                “Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan ia berkata: Aku tidak suka mandi dengan air tersebut di sebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi’e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak”.

                Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas air. Sekianya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).

3.       Air yang suci tetapi tidak menyucikan

Air yang suci tetapi tidak menyucikan terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama : air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib. Seperti mandi wajib dan wudhuk. Dalil ia suci adalah hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari (191) dan Muslim (1616) daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya:


جَاءَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُنِى وَأَنَا مَرِيضٌ لَا أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ مِنْ وُضُوئِهِ عَلَيَّ

Rasulullah S.A.W datang menziarahiku, untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu baginda berwudhu’ dan mencurahkan air wudhu’nya ke atas aku.

                Sekiranya air wudhuk itu tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkannya ke atas Jabir. Maka dalil yang tidak menyucikan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (283) daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لاَ يَغْتَسِلْ أحَدُكُمْ فِى الْمَاءِ الدَّائِمِ – اَىْ الرَّكِدِ – وَهُوَ جُنُبٌ. فَقَالُوا: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ كَيْفَ يَفْعِلُ؟ قَالَ : يَتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلاً

“Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air tenang yang tida bergerak, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya kepada Abi Huraitah: wahai Abu Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut?). jawab Abu Hurairah: ia mencedoknya”.
                                                              
                Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi makna mengangkat hadas.

                Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak member makna tersebut, nescaya Rasulullah S.A.W tidak melarang daripada berbuatdemikian. Hadith ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.

                Kedua : Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur. Kemudian ia berubah dengan sesuatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak, seperti air the dan air ‘arqasus.

                Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai air pada sifat-sifatnya (rasa, bau, dan warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu, air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana iaitu digunakan perahan delimauntuk menentukan perubahan warna dan al lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan sebagai air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.

4.       Air Mutanajjis

Air Mutanajjis ialah air yang terjatuh najis ke dalamnya. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama : Air yang sedikit iaitu kurang dua kolah.

        Air ini menjadi najis dengan hanya terjatuh najis kedalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

        Ukurannya, dua kolah : 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.827 kg. ia juga menyamai 1 ¼ hasta persegi tinggi, lebar dan dalam.

        Abu Daud, At-Tirmidzi, An Nasaei, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang dan haiwan melata. Baginda s.a.w menjawab:



إذَا كَانَ المَاءُ قُلَّتَينِ لَمْ يَحْمَلِ الْخَبَثَ

Jika air itu sebanyak dua kolah, ia tidak menanggung kotoran

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maka air itu tidak menjadi najis

                Di fahami daripada hadith ini, sekiranya air kurang dari dua kolah, maka ia menjadi  najis sekalipun tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (278) daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia menyelam (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali, sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan)”

                Dalam hadith tersebut, Rasulullah s.a.w melarang orang yang bangun dari tidurnya mencelupkan tangan nya kedalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah (keadaan) air itu. Oleh itu sekiranya tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasululah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian.

Kedua: Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tesentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau.

Dalilnya ialah ijma’ para ulama’.

                Imam Nawawi r.a menyebut dalam kitabnya Al Majmuk (1/160):

                Ibnu Munzir berkata: Ulama’ telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan berunah rasa atau warna atau bau, maka air menjadi najis.

AIR YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK BERSUCI

                Bukan kesemua jenis air ini boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas (kecil atau besar) dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah dari jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.

                Manakala air yang jenis ketiga, ia tidak boleh digunakan untik bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperi minum, memasak dan lain-lain.

                Air yang jenis keempat pula adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaan pun.

BERSAMBUNG...