Saturday, June 3, 2017

SAYANGILAH UNTUK DISAYANGI

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi."(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keterangan
Hidup ini perlukan kasih sayang. Seorang suami perlukan kasih sayang daripada isterinya. Begitulah sebaliknya. Seorang anak perlukan kasih sayang daripada ibubapanya. Begitulah sebaliknya. Sebut apa sahaja hubungan dua hala antara sesama manusia, sudah pasti ia memerlukan hubungan kasih sayang antara satu sama lain. Untuk diri kita disayangi, jangan minta untuk disayangi, tetapi mulakan lah dengan kita menyayangi orang lain terlebih dahulu: suami, isteri, anak-anak, guru, pelajar, pekerja, majikan dan sebagainya. Di antara banyak-banyak kasih sayang, kasih sayang Allah adalah paling berharga dan kekal abadi. Oleh itu berusahalah mentaati semua perintahNya. Bukan sekadar melaksanakan suruhanNya tetapi dilakukan dengan sepenuh keikhlasan dengan keilmuan dan cara yang terbaik sekali. Kasih sayang Allah juga tidak boleh kita perolehi sekiranya kita terus menerus melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti judi, arak, ramalan bomoh, nombor ekor, mengumpat dan seumpamanya. Amalan keji hanya akan mengundang kemurkaan Allah. Oleh yang demikian kita dituntut untuk meninggalkan semua perkara yang ditegah oleh Allah Subhanahuwataala. Limpah rahmat dan kasih sayang Allah pasti bersama hambaNya yang berkasih sayang. Wallahuaklam.