Wednesday, December 8, 2010


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Pengertian HIJRAH adalah amat luas. Ia bukan sekadar bermakna perpindahan secara fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain tetapi ianya boleh melambangkan perpindahan dari suatu keadaan kepada keadaan yang lebih baik lagi.

Mengambil pendekatan ini, Hijrah dalam konteks kita di Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) boleh digunapakai di dalam matlamat kita sebagai sebuah institusi tahfiz yang berprestasi cemerlang serta berdaya saing tinggi.

1 Muharram merupakan tarikh yang sesuai untuk kita mengabadikan proses Hijrah yang dimaksudkan. Sempena sambutan Ma’al Hijrah 1432 ini, marilah kita lebih berazam sebagai warga kerja yang bertekad dan bersemangat untuk berHijrah minda dan cara kerja untuk mencapai keunggulan dan kejayaan yang berterusan.

Kepada para pelajar tingkatkan usaha dengan rajin mengulang-ulang hafazan, mentelaah pelajaran serta menunaikan solat-solat sunat manakala kepada para pendidik agar memastikan sasaran hafalan pelajar tercapai setiap hari, minggu dan bulan. Begitu juga dengan pencapaian akademik, agama dan akhlak pelajar agar selari dengan ajaran al-Quran dan Al-Sunnah.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1432 Hijrah kepada seluruh warga ITAP, ibubapa/penjaga serta muslimin dan muslimat di serata dunia.

Warga ITAP berkesempatan untuk menyertai Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat negeri Selangor di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Seramai 37 orang pelajar dan 5 orang guru yang telah menaiki sebuah bas sekolah telah berpeluang mengikuti Forum Perdana, doa akhir tahun 1431 Hijrah, solat Maghrib berjemaah, doa awal tahun 1432 Hijrah dan menyaksikan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Selangor kepada Datuk Profesor Dr Haron Din di atas sumbangan serta peranan aktifnya dalam menyebarkan agama Islam di negeri Selangor. Beliau telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, pakej umrah, sijil penghargaan, plak dan satu set persalinan pakaian.

Anugerah Tokoh Saudara Kita pula dirangkul Ketua Pegawai Dakwah Islamic Information & Services Foundation, Shah Kirit Kakulal Govindji, 44, manakala aktivis, Noorazman Mohd Samsuddin menerima Anugerah Tokoh Aktivis masyarakat. Pasangan suami isteri, Panut Markom dan isterinya, Jaliah Simin dipilih sebagai tokoh Keluarga Mithali. Ketiga-tiga pemenang anugerah itu menerima wang tunai RM5,000, pakej umrah, sijil penghargaan, plak dan satu set persalinan pakaian.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir di majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Selain itu pelajar-pelajar cemerlang UPSR, PSRA dan PMR juga turut diraikan. Semoga pelajar-pelajar tersebut menjadi contoh kepada warga pelajar ITAP untuk meraih semua 'A' dan Mumtaz. Amin ya Rabbal 'alamin.