Monday, February 28, 2011

MUSLIM TERHEBAT DAN MENAKJUBKAN


                    Allah SWT berfirman dalam Surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad SAW) adalah sebaik-baik  umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”.
          Begitulah keistimewaan dan kemuliaan yang dijanjikan dan telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW selagi kita tetap setia melaksanakan tiga dasar Islam yang utama iaitu 1. Menyuruh berbuat kebaikan, 2. Melarang daripada kejahatan serta 3. Beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.
          Umat Islam juga adalah umat pilihan lagi adil sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai Muhammad SAW) satu umat yang pilihan dan adil (Ummatan Wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah, dan Rasulullah (Muhammad SAW) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. ……”
          ‘Ummatan Wasata’ juga bermakna umat yang pertengahan iaitu pertengahan ‘approach’nya, tidak melampau dan tidak keterlaluan. Semuanya berkeadaan di tengah-tengah dari sudut pandangannya, apa yang dipelajarinya dan yang diusahakannya baik mengenai urusan dunia mahupun soal akhirat. Dengan cara berada di pertengahan, seseorang muslim dapat melihat, mendalami, mempelajari dan mengambil berat keadaan sekelilingnya, maka pertimbangannya adalah adil, benar dan sah.
          Dalam sebuah hadith pula Rasulullah SAW menegaskan yang bermaksud “Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan berlaku melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan maka dia bersyukur dan itu baik baginya dan apabila ia mendapat kesusahan dia bersabar dan hal itu baik baginya”.

          Ringkasnya, wahai  anak-anak pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) sekelian khususnya dan para pembaca budiman secara amnya, marilah, tidak kira senang ataupun susah, kita berpegang kepada prinsip dan asas ajaran Islam, mentaati Allah SWT dan RasulNya SAW, setia mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, sentiasa berbangga dengan Islam, menghindari diri dari terbabas dan akhir sekali mampu mengambil ruang dan peluang dari setiap keadaan agar melonjakkan diri, keimanan dan amalan menjadi muslim, mukmin professional yang terhebat dan menakjubkan.   Amin Ya Rabbal 'Alamin.