Pelajar-pelajar ITAP Subang2 telah berkesempatan untuk meraikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 2011. Sambutan Maulidur Rasul tahun ini telah disambut dengan penuh keinsafan dan diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi memperingati perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sambutan peringkat Negeri Selangor diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam dimulai dengan perarakan sejauh 1 km dari Stadium Negeri yang disertai pelbagai organisasi kerajaan dan swasta serta sekolah-sekolah dan masjid-masjid di Negeri Selangor.
Lima penerima anugerah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul pada majlis yang dirasmikan Tengku Panglima Perang Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
ANUGERAH | TOKOH MAULIDUR RASUL | PENCAPAIAN |
Anugerah Umar Abdul Aziz | Tan Sri Hashim Meon Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor | Sumbangannya dalam sektor perkhidmatan awam dan kemajuan negeri. |
Anugerah Saidatina Khadijah | Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj Pensyarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia | Sumbangan terhadap wanita Islam |
Anugerah Khalid Al-Walid | Mohd. Nasir Abd. Ghani Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh | Kegigihan dan keberanian melaksanakan usaha menyelamat. Mengetuai operasi menyelamat kebakaran Kompleks Campbell (1975); tragedi runtuhan kondominium Highland Tower (1993); kebakaran hutan di Sabah dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buloh (1992). |
Anugerah Imam Al-Ghazali | Dr. Musa Fathullah Harun Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) | Sumbangan pentingnya dalam bidang dakwah dan penulisan ilmu-ilmu Islam. |
Anugerah Saidina Ali | Siti Nadhira Shafei Dia merupakan johan majlis hafazan al-Quran peringkat kebangsaan kategori 30 juzuk dua tahun berturut-turut sejak 2009. | Kecemerlangannya dalam bidang hafazan al-Quran |
Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan SUK Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Semoga dengan kehadiran mereka menyaksikan majlis perarakan, ceramah, persembahan nasyid dan sebagainya pada hari tersebut, Selasa 15 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1432 Hijrah, lebih-lebih lagi menyaksikan tokoh muda Maulidur Rasul, Siti Nadhira Shafei dapat menyuntik semangat untuk menguasai hafalan 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam akademik dan diniah. Amin ya Rabbal ‘Alamin.