Monday, March 21, 2011

NASIHAT IMAM AL-GHAZALI

Suatu hari, Imam al-Ghazali rahmatullah alaih (r.a.) berkumpul dengan murid-muridnya. Beliau bertanyakan enam soalan yang berikut: 
SOALAN PERTAMA: "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"
Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah 'mati'. Sebab itu sudah janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan mati. (rujuk Surah Ali-Imran ayat 185).



SOALAN KEDUA: "Apakah yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?" Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dan bintang.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi
yang paling benar adalah 'masa lalu.'
Walau bagaimana hebat sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita perlu menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.


SOALAN KETIGA: "Apakah yang paling besar di dunia ini?" Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi, katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah 'nafsu' (rujuk Surah al-A'raaf ayat 179). Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.



SOALAN KEEMPAT: "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah. Imam al-Ghazali berkata semua jawapan itu namun yang paling berat adalah 'memegang amanah.' (rujuk Surah al-Ahzab ayat 72).


Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Bagaimanpun, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.


SOALAN KELIMA: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah 'meninggalkan solat.'

Gara-gara keletihan dengan tugasan seharian, kesesakan lalu lintas, permainan, sukan dan sebagainya, kita meninggalkan solat yang diwajibkan ke atas kita.

SOALAN KEENAM: "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya
yang paling tajam ialah 'lidah manusia.' Ini kerana melalui lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri, jiran tetangga, guru, ustaz, ustazah dan ibubapa.
Semoga ia menjadi SUMBER muhasabah diri kita untuk mencapai tahap keTAQWAan yang tinggi di sisi Allah SWT.