Wednesday, August 17, 2011

LAILATUL QADAR


Dalam bulan Ramadhan terdapat Lailatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
  • Menurut Ibnu ‘Abbas, ia merupakan malam penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-‘Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.
  • Beramal pada malam al-Qadar adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan  dalam bulan-bulan yang lain (kira-kira 83 tahun 4 bulan).
  • Pada malam itu juga, Jibril dan para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.   
  • Pada malam tersebut Allah mentakdirkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera hingga terbit fajar. Ada ulama’ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.
Bilakah akan munculnya malam al-Qadar? Jawapan bagi persoalan ini dijelaskan melalui sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
 
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
Janganlah kita mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menegaskan;
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي هَذَا الشَّهْرِ مِنَ الْخَيْرَاْتِ لَتَمَنَّوْا أَنْ يَكُوْنَ رَمَضَاْنُ اَلسَّنَةَ كُلَّهَا
“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung dan mendapat bertemu dengan Lailatul Qadar. Amin Ya Rahman Ya Rahim.

SAMBUTAN NUZUL AL-QUR'AN DI MASJID NEGERI SELANGOR


Pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadhan 1432 Hijrah, pihak Institut Tahfiz Al Quran Profesional telah mengisi program nuzul Al Quran dengan membawa pelajar-pelajar dan guru-guru ke Masjid Negeri Selangor bagi mendengar ceramah oleh Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu dan solat sunat Tasbih berjamaah.

Pelajar-pelajar dan guru-guru telah berkumpul di sekolah pada jam 8 pagi dan bertolak dari Institut Tahfiz Al Quran Profesional pada jam 8.05 pagi dengan menaiki van sekolah. Seramai 7 orang pelajar dan 3 orang guru yang menyertai program ini telah tiba di Masjid Negeri pada jam 8.20 pagi dan ketika itu acara belum di mulakan lagi.

Kelihatan pencinta ilmu mula memenuhi ruang kuliah sheikh hampir jam 9 pagi dan dianggarkan seramai 200 orang yang menghadiri kuliah tersebut. Sheikh Muhammad Nuruddin tiba di kuliah pada jam 9.05 pagi dan program di mulakan dengan solat sunat Tasbih. Majlis diteruskan dengan bacaan zikir-zikir taubat dan Asma el Husna secara beramai-ramai diketuai oleh Tuan Sheikh sendiri dan di akhiri dengan doa. Setelah berzikir, majlis diteruskan dengan siri pengajian dan diskusi oleh Tuan Sheikh. Setelah selesai, sesi soal jawab di buka kepada hadirin yang hadir untuk di kongsi dan dibincangkan.

Majlis tamat pada jam 11.40 pagi dan diakhiri dengan doa, selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan bersalam-salaman. Pelajar-pelajar dan guru-guru tiba di perkarangan sekolah pada jam 12.30 tengahari.