Thursday, March 1, 2012

CINTA HAKIKI CINTA ILAHI


Cuba lihat lirik lagu ini.. Lirik lagu Rabi’atul Adawiyyah (In-Team)

“Engkau bermula dengan sengsara, dalam mencari bahagia, terasa bagai bayang-bayang, gelap walau disuluh cahaya.. Pepasir pantai pun berubah, pabila hakikat melanda, ketenangan yang kau cari terpancar di lorong sufi, kau hiasi rumah kasih abadi, sering menghiasi singgah sanamu, kau berjaya merubah segala, kasih semalam menjadi esok, kelunakan tangisan kasihmu, dalam simpuhan ketaatan, bagi mengharapkan keredhaan, darimu Tuhan Pencipta alam, Rabi’atul Adawiyyah, serikandi yang tercipta, sungguh agung pengabdianmu, kau berjaya menjadi iktibar, asmaramu dihampar suci, pintalan dari awanan putih, membuahkan titisan rahmat, menyuburkan mawar yang layu. namamu menjadi sanjungan, ikutan ummah sepanjang zaman, ayuh bersama kita susuli, perjalanan kekasih Allah..”

            Teman, nah, bila lagu ini didendangkan dan berkumandang, ramai yang terpukau. Paling tidak pun, alunannya tidak membosankan telinga yang mendengar. Iramanya cukup syahdu sehingga menarik perhatian ramai pendengar. Tidaklah dapat dipastikan punca yang menjadi daya tarikannya. Apakah pada lagunya, senikatanya, suara kumpulan In Team ini ataupun pada diri Rabi’ah itu sendiri (kisah wanita yang riwayat hidupnya dikisahkan didalam lagu tersebut).. hmm..?

            Pernahkah anda bertanya, siapakah Rabi’ah dalam lagu ini? Mengapakah kisahnya cuba diketengahkan semula setelah sekian lama ia terpendam di dalam lipatan sejarah? Apa istimewanya wanita yang bernama Rabi’ah ini dan mengapakah riwayat hidupnya perlu kita selusuri, kita kaji, kita teliti dan seterusnya kita contohi?

            Rabi’ah lahirnya dari sulbi seorang lelaki miskin, Ismail ‘Adawiyyah di tengah-tengah kota Basrah. Selepas kelahiran 3 orang puteri, pasangan suami isteri ini amat-amat mengharapkan seorang putera. Namun kehendak manusia tidak dapat menandingi kehendak Tuhannya. Anak keempat mereka ini pun lahir sebagai seorang puteri. Kerana sedikit kecewa, tiada nama yang indah diberikan pada bayi ini selain ‘Rabi’ah’ yang membawa maksud ‘keempat’.

            Biarlah kelahiran Rabi’ah tidak disambut meriah, tapi Tuhan tetap mahukan Rabi’ah dimuliakan. Maka bermimpilah Ismail bertemu Rasulullah S.A.W. Baginda mengkhabarkan kepadanya bahawa anak keempatnya itu adalah manusia pilihan Tuhan. Meskipun namanya tak seindah disebut manusia, tapi dia cukup terkenal di alam para Malaikat.

            Rabi’ah membesar dalam pemeliharaan Allah. Semenjak dia mula tahu membezakan apa yang baik dengan yang buruk, dia sudah dididik untuk mengenal Tuhannya. Begitulah keadaan Rabi’ah dari kecil hingga remaja. Dari remaja mencecah dewasa. Dari zaman dewasa hingga ke tua, masanya penuh terisi dengan usaha untuk mengenal Allah Ta’ala.

            Sehinggalah usaha-usahanya yang penuh ketulusan, diliputi dengan wangian keikhlasan telah mencambahkan benih-benih cinta pada Tuhan. Kemudian benih-benih cinta yang telah disemai sejak dia mula mengenali Allah itu, terus disuburkan dengan pelbagai bentuk ibadat. Namun tujuan ibadat Rabi’ah tidaklah seperti mana tujuan yang menjadi kebiasaan kebanyakkan manusia. Sebahagian besar manusia, bila melaksanakan satu-satu ibadah samada ia ibadah wajib, sunat atau harus, mereka lakukan dengan satu tujuan iaitu mendapatkan pahala sebanyak yang mungkin. Pahala itulah yang akan memungkinkan mereka layak menjejakkan kaki ke syurga Allah. Di samping itu, kebanyakan manusia juga berusaha untuk meninggalkan sebarang jenis kejahatan kerana khuatir mereka bakal menjadi penghuni neraka Tuhan.

            Paling tidak pun, itulah yang sering menjadi matlamat sebahagian besar manusia dalam beribadah kepada Allah. Namun bagi Rabi’ah syurga bukanlah yang menjadi idamannya.. dan bukanlah neraka menjadi kekhuatiran dirinya. Pernah dalam sebuah majlis, Rabi’ah bertanya kepada murid-muridnya “kalau ditakdirkan Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kalian akan terus menyembahnya?” Terkedu para hadirin. Bagaimana mahu menjawab persoalan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka selama ini. Lalu apakah sebenarnya tujuan Rabi’ah dalam beribadah? Pada persoalan ini, Rabi’ah menjelaskan pendiriannya, “aku menyembah Allah kerana Allah semata-mata. Cinta itulah yang menyebabkan aku merasa nikmat menyembahNya. Bukan kerana mahukan syurga atau takutkan neraka. Segala nikmat yang Dia berikan padaku itu pun, sudah cukup untuk membuatkan aku berdiri menyembahNya.”

            Begitulah kudusnya cinta Rabi’ah pada Tuhannya. Dia menyembah Allah atas dasar cinta, yang mana dari rasa cinta itulah terbitnya rasa rindu untuk selalu berdiri menyembahNya. Segala apa yang dia lakukan berupa ibadah, adalah atas dasar cinta, bukan kerana terpaksa. Tanda orang yang beribadah kerana terpaksa ialah bila sembahyang tidak merasakan kelazatannya, bahkan kewajipan-kewajipan itu semua dilakukan dalam keadaan rasa berat hati. Bia selesai sembahyang terasa lega. Lega sebab kewajipannya tertunai sudah.  Sedangkan bagi mereka yang beribadah kerana rasa cinta pada Allah kalau boleh dia mahu berlama-lama dalam sembahyang. Tak sanggup rasanya untuk berpisah dengan Tuhan yang dicintai. Kerana dalam sembahyanglah dia dapat mengadu tentang dirinya pada Allah. Itulah kesan daripada wujud rasa cinta kepada Allah. Waktu-waktu sembahyang sentiasa dinanti-nantikan seperti seseorang menanti-nanti hari untuk bertemu dengan kekasihnya….

            Begitulah ibdah Rabi’ah. Hidup penuh terisi dengan kecintaan pada Ilahi, sehinggakan hatinya tidak lagi ada lagi ruang untuk mencintai selain daripadaNya. Tidak sanggup Rabi’ah untuk menduakan cinta Tuhan dengan bercinta pada manusia, harta dan juga dunia. Rabi’ah hanya mahu bercinta dengan Tuhan kerana dia senang digelar hamba kepada Tuhan.
                                                      
            Itulah Rabi’atul Adawiyyah, perawan suci kota Basrah. Usahlah lagunya hanya menjadi halwa telinga sedangkan perjalanan hidup Rabi’ah tidak kita teladani. Teladanilah Rabi’ah, wanita terpilih menjadi wali Allah.

            Kita bercinta, Rabi’ah juga bercinta. Tapi yang pasti cinta Rabi’ah adalah cinta yang agung. Kerana Rabi’ah bercinta dengan Yang Kekal selama-lamanya.. Allahu Akhbar yang menciptakan insan seperti ini.

Wallahu’aklam.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.