Sunday, March 18, 2012

PENCAPAIAN CEMERLANG PROGRAM MAC 2012

Pada 11 Mac 2012, pihak Institut Tahfiz Al Quran Profesional (I.T.A.P) telah mengadakan Program Tahfiz Musim Cuti Sekolah siri ke 8 selama 3 hari 2 malam yang bertempat di Institut Tahfiz Al Quran Profesional. Seramai 27 orang peserta telah menyertai program ini dan seramai 7 orang guru telah terlibat sepenuhnya sebagai fasilitator program. Setelah tamat pendaftaran peserta, peserta-peserta program berhimpun di ruang legar sekolah bagi sesi suai kenal. Di mulai dengan bacaan Asma’ al Husna, iqrar dan seterusnya Pengarah Program telah menyerahkan jadual program kepada semua peserta. Peserta diberikan taklimat secara ringkas berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang program tersebut. Di antara pengisian program ini adalah membaca ayat suci Al Quran secara bertilawah. Klinik tajwid juga diadakan bagi mengenalpasti masalah bacaan peserta. Selain itu, kelas menghafaz juga diadakan mengikut tahap. Tahap juz 30 (surah An Nas hingga surah Ad Dhuha) dan tahap hafazan juzuk satu (1)
Walaupun seharian mereka bersama Al Quran, peserta-peserta juga disediakan aktiviti luar seperti permainan sukaneka yang dilaksanakan setiap petang dan tayangan ilmiah selama 15 minit sebelum peserta menamatkan program malam dengan bacaan surah Al Mulk. Selain itu juga peserta juga diperdengarkan tazkirah agama (peringatan tentang tuntutan agama) pada sebelah siang selama 15 minit setiap selepas solat Zohor dan diperdengarkan juga hadis-hadis Rasulullah S.A.W selama 15 minit setiap malam sebelum menunaikan solat Isya’. Peserta juga diajarkan zikir-zikir mudah,  nilai-nilai murni dan adab-adab Islam sepanjang program agar mereka terus mempraktikkan amalan-amalan tersebut.
            Pada hari terakhir program, peserta di uji kekuatan hafazan surah-surah yang dihafaz dalam bentuk pertandingan. Perujian hafazan diadakan dari awal pagi hingga jam 9.50 pagi. Setelah itu, peserta berhimpun diruang yang telah disediakan bagi meraikan majlis penutup program dan majlis penyampaian hadiah serta sijil kepada semua peserta. Ibu bapa mula hadir dan duduk bersama meraikan majlis tersebut. Majlis dimulai dengan zikir, bacaan Al Fatihah dan disusuli dengan ucapan Pengarah Program.  Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak, ibu bapa, fasilitator-fasilitator, dan terutama sekali kepada peserta yang menyertai program ini. Beliau menyatakan bahawa selagi mana wujudnya ketaatan di dalam urusan agama, segala perbuatan pasti membuahkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Beliau mengharapkan ilmu yang diperolehi dapat terus diamalkan agar memperoleh manfaatnya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang peserta hafazan tahap surah-surah lazim, pemenang peserta juzuk 1, pemenang pertandingan sukaneka, cenderahati kepada peserta yang tidak memenangi sebarang pertandingan dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta. Penyampaian hadiah disampaikan oleh semua fasilitator secara bergilir-gilir dan majlis diakhiri dengan bacaan doa. Peserta-peserta dan fasilitaor bersalam-salaman diiringi selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Semua peserta pulang dengan rasa gembira bersama-sama ibu-bapa dan keluarga masing-masing. I.T.A.P mengalu-alukan peserta-peserta dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai Program Tahfiz Cuti Sekolah I.T.A.P pada masa hadapan May - Jun 2012, Nov - Dis 2012. Modul pembelajaran sepanjang program berubah-ubah untuk memberikan keseronokan mendampingi dan menghafaz al-Qur'an kepada kesemua peserta. Untuk tempahan tempat yang terhad, ibubapa boleh menghubungi Institut Tahfiz Al-Quran Profesional melalui email: tahfizprofesional@gmail.com atau sms ke : 013-2838323.  I.T.A.P mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum!