Monday, February 14, 2011

SEANDAINYA RASULULLAH S.A.W. MENGUNJUNGI UMATNYA...

        Andai di takdirkan Allah, Rasulullah S.A.W masih lagi hidup di dunia ketika ini, dan seandainya Baginda mengkhabarkan kepada kita bahawa baginda akan datang berkunjung ke rumah kita, apakah perasaan kita di waktu itu? Andainya waktu kunjungan Baginda telah pun tiba, bahkan Baginda sudah pun berada di hadapan pintu rumah kita dan salam pun sudah diberikan, bagaimana perasaan kita dengan kehadiran Baginda?
                Apakah kita merasa amat bertuah menerima tetamu yang merupakan Kekasih Allah? Apakah hati kita akan begitu terharu menerima salam dari seorang Rasul penyelamat Ummah? Apakah akan kita biarkan salam itu tidak berjawab sebanyak dua kali, lantaran mahu mendengar suara baginda yang suci?
                Atau……..apakah perasaan kita berkecamuk di waktu itu dan kita mula menggelabah? Kerana kita baru teringatkan himpunan majalah-majalah hiburan di sudut kaki meja di ruang tamu rumah kita. Majalah yang kulit mukanya penuh dengan aksi-aksi wanita dan lelaki yang terbuka auratnya. Bagaimana jika nanti Nabi SAW terpandang. Tentu malu kita dibuatnya.
                Kita juga teringat akan deretan VCD di sisi televisyen. Harus kita sorokkan juga kerana hampir semua filem itu tidak sesuai ditonton oleh umat seperti kita. Ada filem-filem yang berunsur lucah yang tersusun rapi di situ,. Kalaulah Nabi nanti bersuara, mana mahu disorokkan muka?? Apa alasan yang akan kita berikan jika nanti Nabi SAW bertanya?
                Kita terpandang poster-poster penyanyi wanita dan lelaki yang seksi di belakang pintu. Kalau tak pun wajah-wajah pemain bola sepak terkenal dunia, atau siapa-siapa lagilah yang menjadi pujaan hati, semuanya dilekat di belakang pintu, apakah kita akan biarkan bergantung atau terlekat di situ sehingga terpandang oleh Nabi? Di bilik tidur pun masih banyak lagi yang kita tampal. Apakah yang harus dijawab bila nanti Nabi bertanya mengapa poster seperti itu yang kita puja?
                Kita menjadi semakin gawat bila kita mula teringatkan rak-rak buku yang kita letakkan di tepi dinding, hanya dipenuhi dengan buku-buku cerita cinta yang telah menjadi koleksi kita sekian lama. Tidak ada satu buku pun yang bercorak agama. Malah Al-Quran… Ya….di manakah Al-Quran yang pernah dibeli suatu masa dahulu? Di mana kita simpankan…? Dan di manakah harus kita humbankan semua koleksi buku cinta yang lebih kita sayangi daripada Al-Quran kalam Tuhan?
                Perasaan kita semakin cemas, bila baru kita teringat bahawa kita di waktu itu hanya berseluar pendek, atau kepala tidak bertutup, kita mula masuk semula ke dalam bilik. Semua almari kita buka satu persatu demi mencari sehelai tudung yang pernah diberi kawan suatu masa dahulu. Di mana tudung itu? Kita semakin gelabah. Tudung yang satu itu tidak dijumpai. Tak kan kita nak sambut Nabi dalam keadaan aurat terbuka??
                Kita pun jadi gelisah, bila seluar panjang kita semua masih berada di jemuran. Hanya itu sahajalah yang ada. Itu pun kita gunakan untuk pergi ke kelas atau ke pejabat. Biasanya kita hanya berseluar pendek. Kain pelikat? Kita mula teringat. Tapi puas kita cari namun sehelai pun tidak kita temui. Baru kita tersedar, selama ini jarang sangat kita bersembahyang
                Hati kita mula menduga-duga, bagaimana nanti bila Ar Rasul bertanya tentang sembahyang. Apakah yang harus kita jawab? Sudah berbelas tahun kita tak sujud kepada Allah. Kalau ada pun hanya dua kali setahun iaitu pada hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha.
                Ah! Terlalu banyak yang perlu kita lakukan hanya untuk menyambut kedatangan seorang Kekasih Allah. Lalu kita membuat keputusan untuk hanya mendiamkan diri. Biarlah salam Nabi tidak berjawab, biarlah Baginda berdiri lama-lama di hadapan pintu. Nanti bila dah penat tentu sahaja Baginda berlalu pergi. Biarlah Nabi tidak datang ke rumah sampai bila-bila. Biarlah Nabi tidak datang berziarah. Dan akhirnya Nabi pergi bila tiga salamnya tidak bersambut.
                Nak dijadikan cerita, pada ketika yang lain, sewaktu kita sedang berjalan-jalan dengan seorang teman lelaki atau wanita yang kononnya buah hati yang kita cintai. Sambil berjalan berpegangan tangan dan bermesra-mesraan itu, bergelak ketawa dan bersenda-gurau, tiba-tiba kita terserempak dengan Nabi junjungan Tuhan.
                Lalu kita ditanya Nabi, siapakah lelaki atau perempuan yang berada di sisi? Apakah yang harus di jawab? Apakah harus kita bohongi Rasul Allah dengan mengatakan ia adalah suami atau  isteri kita? Atau kita akan menolak si lelaki atau wanita itu jauh ke tepi lantas kita terus menghilangkan diri? Ataupun kita tanpa segan dan silu akan terus tersenyum pada Nabi SAW, sambil tangan kita memeluk erat si lelaki atau wanita yang berada di sisi?
                Seandainya di takdirkan Nabi masih hidup, dan Baginda melihat umat yang namanya dibibir Baginda sewaktu Baginda menghembuskan nafas terakhirnya, hidup dengan jalan yang tidak selari dengan ajarannya. Baginda bergadai nyawa untuk mempertahankan agama Allah. Baginda hidup dalam kelaparan, Baginda merasa sakit di baling batu, Baginda menahan pedih apabila darah mula keluar menitis dari tubuh Baginda, segalanya demi kebaikan dan kesejahteraan umatnya di akhir zaman. Tapi kini umat yang baginda kasihi telah memfitnah dan mendustakan diri baginda sendiri. 
                Tidak pernah baginda mengajar umatnya bermaksiat… tapi kini umat yang dikasihi langsung tidak menghargai diri Baginda. Pengorbanannya selama ini langsung tidak dihargai. Dirinya langsung tidak diingati. Walau lidah mengucap shahadah tapi amal mereka penuh dengan maksiat. Andai Nabi masih ada, pasti bergenang airmata suci Baginda melihat umat yang ditinggalkan kini terus leka dengan dunia.
                Andainya Rasul masih ada, bayangkanlah apa perilaku mu, bila ditakdirkan Nabi datang bertamu, apakah engkau akan bersikap hipokrit di hadapannya atau engkau terus dengan perangai harianmu sehingga hancur hati baginda. Marilah sama-sama mencintai Nabi SAW, amalkan suruhannya dan tinggalkan larangannya. Banyakkanlah berselawat kerana Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW. la tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.
Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).
Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:
1. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).
2. “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
3. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).
4. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).
5. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).
6.”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. (Riwayat Tirmizi).

Justeru itu, marilah kita sebagai umat Islam mempelajari sirah Rasulullah SAW, menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda SAW dan hendaklah kita senantiasa berselawat kepada Baginda SAW. Itu tandanya kita sangat mencintai Rasulullah yang menjadi kekasih Allah.

Friday, February 11, 2011

KASIH SAYANG

Sikap hormat menghormati jika diterapkan dengan sempurna akan melahirkan sebuah jalinan yang lebih erat yaitu: sikap saling mengasihi dan mencintai karena Allah taala (الحب في الله).  Sikap mulia ini merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang muslim sebagaimana sabda Nabi Saw, “Tidak (sempurna) iman seorang dari kalian sebelum ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.”[1] Beliau juga menegaskan bahwa orang yang menerapkan akhlak ini akan memperoleh sesuatu yang sangat lazat, iaitu manisnya iman di dalam hati. Beliau bersabda:

ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان: أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، أن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف في النار.


“Tiga sifat, barangsiapa yang memilikinya ia akan merasakan manisnya iman: (pertama) ia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi yang lain. (Kedua) ia mencintai temannya hanya karena Allah. Dan (ketiga) ia membenci kembali kepada kekafiran setelah Allah selamatkan darinya sebagaimana ia membenci dimasukkan ke dalam api.”[2]
Cinta kasih kepada sesama manusia merupakan syarat utama yang harus dipenuhi oleh setiap orang yang ingin memasuki syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

والذي نفسي بيده لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا، ولا تؤمنوا حتى تحابوا، أولا أدلكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم.

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak akan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku beritahu sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.”[3]
Dan sama seperti syukur, sifat mengasihi sesama juga melahirkan kebahagiaan dalam hati setiap orang yang memilikinya. Syeikh Abdurahman Habannakah berkata, “Cinta melahirkan ketenangan, kepuasan dan kerelaan di dalam jiwa. Sedangkan benci selalu melahirkan kekhuwatiran, kegoncangan, egoisme dan keluhan dalam hati. Orang-orang yang mencintai kebaikan untuk sesama akan hidup dalam kebahagiaan hati selama-lamanya, jiwanya tenang dan penuh kepuasan. Adapun orang-orang yang hanya mencintai dirinya sendiri, mereka jauh dari ketenangan jiwa dan kepuasan hati ini. Kesempitan hati mereka tidak cukup luas untuk sifat-sifat itu.”[4]
Bahkan syurga menjadi tempat yang sangat indah untuk ditempati sebab Allah menjadikan tempat ini penuh dengan cinta kasih setelah mencabut sifat-sifat kebencian dan dendam dari semua penghuninya.[5] Maka barangsiapa yang mampu mewujudkan sifat ini di dalam hatinya, lalu mengajarkannya kepada orang lain, ia seolah-olah telah memasuki syurga padahal nyawanya belum berpisah dari jasadnya.

Cara melahirkan kasih di dalam hati

Manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai makhluk sosial, artinya fitrahnya menuntut dirinya untuk hidup bersama dengan orang lain dan berbagi perasaan dengan mereka. Manusia yang fitrahnya masih suci dan murni tidak akan menemui kesulitan dalam mencintai orang lain bahkan ia merasakan kenikmatan untuk melakukan hal itu. Sebaliknya, orang yang tidak mampu mencintai orang lain, bahkan mendapati kenikmatan dalam membenci, maka hal itu menunjukkan jiwanya sedang sakit dan fitrahnya telah terkotori. Orang seperti ini memerlukan rawatan serius dan bantuan yang tidak sedikit agar dapat mengembalikan kemurnian hatinya semula.
Ubat akhlak tercela ini dapat diperoleh dengan memaksa diri melakukan akhlak terpuji yang menjadi lawannya. Jadi, ubat untuk orang seperti ini dapat dimulai dengan cara memaksa hatinya mencintai seseorang karena Allah. Memikirkan besarnya pahala dan fadhilat yang Allah janjikan bagi orang-orang yang saling mencintai karena Allah dapat juga membantu mempercepat kesembuhan hatinya. Pikirkan misalnya janji Rasulullah SAW, “Pada hari kiamat nanti Allah SWT berfirman: Manakah orang-orang yang saling mencintai karena-Ku? Pada hari ini Aku akan melindunginya (dari kepanasan dan ketakutan) ketika tidak ada perlindungan selain perlindungan-Ku.”[6] Juga sabda Nabi Saw, “Barangsiapa yang tidak mengasihi manusia tidak akan dikasihi Allah.”[7] Mengimani sabda-sabda Nabi SAW yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih ini sepatutnya cukup untuk merubah pandangan negatifnya terhadap orang lain dan memulai untuk membuka hatinya mencintai mereka.
Langkah berikutnya adalah melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat menumbuhkan benih-benih cinta di hati seperti: menebarkan salam sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW di atas. Saling memberi hadiah juga dapat menumbuhkan rasa cinta sebagaimana sabda Nabi Saw:

تهادوا تحابوا

“Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian akan saling mencintai.”[8]

Berikutnya: menyatakan cintanya kepada orang yang dicintai sebab perbuatan ini akan melahirkan sikap saling mencintai. Sabda Nabi Saw:

إذا أحب الرجل أخاه فليخبره أنه يحبه

“Jika seseorang mencintai saudaranya, hendaklah ia memberitahu dia bahawa ia mencintainya.”[9]

Cara menumbuhkan kecintaan yang lain adalah dengan memuji sifat-sifat kebaikan yang terdapat pada diri seseorang dengan jujur tanpa berdusta sebab pujian ini merupakan salah satu cara yang paling cepat menarik cinta orang tersebut. Pujilah anaknya, pekerjaannya, akhlaknya, tulisannya dan hal-hal lain yang dapat menggembirakan hatinya. Dan ucapkanlah terima kasih jika ia memberikan sebuah bantuan. Semua ini akan melahirkan rasa cinta di hatinya.[10]

Tanda-tanda kasih
Mencintai sesama makhluk merupakan dasar utama yang melandasi banyak sekali akhlak-akhlak mulia seperti membantu, bekerjasama, simpati dan murah hati. Oleh karena itu, jika seseorang memiliki rasa kasih dan cinta sejati di dalam hati, ia akan merasakan tanda-tandanya, antara lain seperti:

Pertama: Menyukai kebaikan untuk orang yang dikasihinya dan membenci kesengsaraan untuknya. Seorang ibu yang mencintai anaknya akan berbahagia melihat anaknya sIhat, kuat, hidup berbahagia, dan kebaikan-kebaikan lainnya. Dan kita tidak akan menemukan seorang ibu berbahagia melihat anaknya mendapat kesulitan dan kesengsaraan. Sekiranya ada, ibu tersebut perlukan rawatan hati melalui Al-Quran dan Al-Hadith, zikrullah, Qiamullail dan seumpamanya. Berbalik kepada ibu yang cintakan anaknya, ia akan berusaha sekuat tenaga membantu anaknya keluar dari kesengsaraan itu, bahkan sejak awal telah menasihatinya sebelum kesulitan itu menimpanya.
Termasuk adab-adab yang dilahirkan oleh akhlak ini: jika seseorang mendengar berita yang dapat menyakiti perasaan sahabatnya, seperti umpatan dan celaan dari orang lain, maka ia harus menyembunyikan berita itu darinya. Sebaliknya, jika ia mendengar berita yang dapat membahagiakan sahabatnya, seperti pujian dari orang lain, ia harus menyampaikan berita itu kepadanya. Ulama juga menganjurkan: jika seseorang berjumpa sahabatnya di tengah jalan maka janganlah bertanya tempat tujuannya dan apa yang akan ia lakukan di tempat itu. Sebab mungkin ia merasa malu untuk menjawab pertanyaan ini lalu terpaksa berbohong.[11]
Akhlak ini jelas sekali dimiliki Rasulullah SAW ketika Al-Qur’an menceritakan sifat beliau yang sangat sayang dan cinta kepada umatnya:

“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.”[12]

Karena cintanya itu Rasulullah SAW berjuang sekuat tenaga untuk menyelamatkan umatnya dari api neraka dengan berdakwah dan memberikan nasihat meskipun disakiti dan dizalimi. Dalam sebuah hadith, Baginda bersabda:

مثلي كمثل رجل استوقد ناراً فلما أضاءت ما حوله جعل هذه الفراش والجنادب وقعن فيه فأنا آخذ بحجزكم عن النار وأنتم تفلتون من يدي

“Perumpamaanku ibarat seorang laki-laki yang menyalakan api.  Setelah api itu menerangi sekitarnya, binatang-binatang kecil dan anai-anai berjatuhan ke dalam api. Aku berusaha menarik baju kalian agar tidak jatuh ke dalam api, namun kalian berusaha melepaskan diri dari tanganku.”[13]

Kedua: menutupi aib dan keburukan yang ada pada diri orang yang menjadi kekasihnya. Rasulullah Saw bersabda:

من ستر مسلماً ستره الله في الدنيا والآخرة

“Barangsiapa yang menutupi (keburukan) seorang muslim, Allah akan menutupi (keburukannya) di dunia dan akhirat.”[14]

Nabi Isa ‘alahissalam(a.s.) pernah bertanya kepada para sahabatnya, “Apa yang kalian lakukan jika melihat saudaranya sedang tidur lalu pakaiannya tertiup angin sehingga tersingkap auratnya?” Mereka menjawab, “Kami menutupi auratnya itu.” Nabi Isa a.s. berkata, “Namun sering kali kalian membuka auratnya.” Mereka berkata, “Subhanallah, siapakah yang melakukan perbuatan buruk itu?” Nabi Isa a.s, berkata, “Kalian mendengar suatu keburukan tentang saudara kalian, lalu kalian menyebarkannya kepada semua orang.”[15]
Jika orang itu menitipkan rahsia kepadanya, ia harus menjaga rahsia tersebut dengan sekuat tenaganya. Al-Ghazali berkata, “Membocorkan rahsia hukumnya haram jika menyebabkan bahaya untuk orang lain. Dan sangat tercela jika tidak membahayakan.”[16] Termasuk rahsia yang tidak boleh disebarluaskan adalah ucapan atau cerita yang disampaikan oleh seseorang kepada kita. Rasulullah Saw bersabda:

إذا حدث الرجل بحديث ثم التفت فهو أمانة

“Jika seseorang menceritakan sesuatu kepada orang lain, lalu ia berpaling (berpisah) maka ucapan itu adalah sebuah amanah.”[17]
Akhlak ini diterapkan oleh Abu Bakar Al-Siddiq radhiallahuanhu(r.a.) ketika ia mendengar Rasulullah SAW berniat meminang Hafsah binti Umar, sehingga ketika Umar menawarkan untuk menikahi putrinya ini, Abu Bakar r.a. tidak menjawab tawarannya dengan satu katapun. Setelah Rasulullah SAW menikahi Hafsah, Abu Bakar r.a. berkata kepada Umar, “Mungkin kamu marah ketika menawarkan Hafsah kepadaku namun aku diam dan tidak menjawab apa-apa?” Umar berkata, “Ya.” Abu Bakar r.a. berkata, “Aku melakukan itu sebab aku mendengar Rasulullah SAW berniat meminangnya. Dan aku tidak mungkin menceritakan rahsia beliau kepada orang lain. Andai Nabi SAW tidak menikahinya, aku akan menerima tawaranmu.”[18]

Ketiga: mudah memaafkan kesalahan orang yang dikasihinya. Kesalahan yang dilakukan seseorang terbahagi kepada dua. Pertama: kesalahan kepada Allah dengan melanggar perintah agama seperti meminum arak, meninggalkan solat, dan lain-lain. Para ulama menganjurkan agar kita tidak segera memutuskan hubungan persahabatan dengan orang yang melakukan kesalahan itu, akan tetapi kita harus bersabar dan berusaha mengembalikan dirinya ke jalan yang benar. Ibrahim Al-Nakhai berkata, “Janganlah kamu menjauhi saudaramu kerana dosa yang ia lakukan. Sebab ia melakukannya hari ini, mungkin akan meninggalkannya esok hari.”[19]Jika kita menjauhinya kerana dosa yang dilakukan bererti kita telah melakukan kehendak syaitan sehingga ia boleh menjerumuskan orang itu kepada dosa-dosa lain yang lebih besar.

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW melarang para sahabat memaki dan menghina seseorang yang telah berbuat maksiat. Abu Hurairah r.a. bercerita: suatu hari seseorang yang telah terbukti meminum arak dibawa ke hadapan Nabi SAW. Beliau lalu bersabda, “Pukullah ia.” Abu Hurairah r.a. berkata: lalu kami memukulnya dengan tangan, ada pula yang memukulnya dengan sandalnya, dan ada juga yang memukulnya dengan bajunya. Ketika selesai, seseorang berkata kepada peminum arak ini, “Semoga Allah menghinakan kamu.” Mendengar ucapan ini, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu berkata seperti itu. Jangan bantu syaitan untuk (menyesatkan) saudaramu.”[20]
Kedua: kesalahan yang ia lakukan kepada diri kita sehingga memancing kemarahan kita. Ulama sepakat bahawa memaafkan dan bersabar atas perbuatan ini sangat dianjurkan.[21] Bahkan jika cinta seseorang begitu kuat di dalam hati, ia tidak mampu melihat keburukan kekasihnya itu. Sebaliknya, semua perbuatan yang dilakukan kekasihnya begitu indah meskipun zahirnya terlihat menyakiti dirinya. Seperti pasangan yang sangat mencintai bayinya, mereka tidak akan marah –bahkan tertawa bahagia- ketika si manja memukul mukanya, menarik rambutnya bahkan mengencingi baju mereka.
Pada suatu perjalanan, Ibrahim bin Adham berjumpa dengan seorang laki-laki yang meminta ikut bersamanya. Ibrahim mengizinkan lalu mereka menjadi sahabat dalam perjalanan selama beberapa hari. Ketika hendak berpisah, laki-laki itu bertanya, “Sifat buruk apa yang ada di dalam diriku?” Ibrahim menjawab, “Tanyalah kepada orang lain. Sebab saya tak mampu melihat keburukanmu.” 

Keempat:  berkorban apa saja untuk orang yang dicintai. Cinta membuat jiwa, raga dan harta menjadi begitu murah di mata seseorang sehingga ia dengan ringan melepaskan semua ini ketika diperlukan. Kerana cintanya kepada Alah dan Rasul-Nya, Abu Bakar Al-Siddiq r.a. pernah menyumbangkan semua hartanya di jalan Allah. Ketika Rasulullah SAW bertanya, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu, “Abu Bakar r.a. menjawab dengan penuh iman, “Aku tinggalkan mereka Allah dan Rasul-Nya.” Begitu juga Thalhah bin Ubaidillah r.a. yang melindungi tubuh Nabi SAW dengan tubuhnya ketika kaum musyrikin melempari Rasulullah SAW dengan batu. Akibatnya tangan Thalhah bin ‘Ubaidillah lumpuh dan tidak boleh digunakan lagi hingga akhir hayatnya.


[1] Hadits riwayat Al-Bukhari.
[2] Hadits riwayat Al-Bukhari.
[3] Hadits riwayat Muslim.
[4]“Al-Akhlaq Al-Islamiah wa Ususuha” 2/250.
[5] Lihat Qs Al-A’raf: 43.
[6] Hadits riwayat Muslim. Mirip dengan hadits ini, sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bahwa Nabi Saw bersabda, “Tujuh kelompok manusia yang akan Allah naungi di bawah naungan-Nya pada hari tak ada naungan selain naungan-Nya. Imam yang adil, pemuda yang tumbuh dalam taat kepada Allah, seorang laki-laki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang saling mencintai karena Allah; mereka berjumpa dan berpisah karena-Nya, seorang laki-laki yang dirayu seorang perempuan cantik namun ia menolak dan berkata: saya takut kepada Allah, seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya lalu disembunyikan sehingga tangan kirinya tidak tahu, dan seseorang yang mengingat Allah dalam kesendirian sehingga mengalir air matanya.”
[7] Hadits riwayat Muslim.
[8]Hadits riwayat Al-Baihaqi dari Abu Hurairah.
[9] Hadits riwayat Abu Dawud dan Al-Tirmidzi. Dalam hadits riwayat Abu Dawud dari Anas bin Malik: Seorang laki-laki suatu hari berada di sisi Rasulullah Saw. Tiba-tiba berlalu seorang laki-laki lain di hadapannya. Orang yang sedang duduk bersama Nabi Saw itu lalu berkata, “Wahai Rasulullah, saya mencintai orang yang berlalu tadi.” Rasulullah bersabda, “Kamu telah memberitahunya?” ia berkata, “Belum.” Nabi bersabda, “Kejarlah orang itu dan beritahu dia bahwa kamu mencintainya.” Orang itu lalu mengejarnya dan berkata kepadanya, “Aku mencintai kamu karena Allah.” Orang itu menjawab, “Semoga Allah mencintai kamu karena kamu mencintai saya.”
[10] “Ihya Ulum al-Din” 2/178.
[11] “Ihya Ulum Al-Din” 2/174.
[12] Qs. Al-Taubah: 128.
[13] Hadits riwayat Al-Bukhari.
[14] Hadits riwayat Muslim.
[15] “Ihya Ulum Al-Din” 2/175.
[16] “Ihya Ulum Al-Din” 3/129.
[17] Hadits riwayat Abu Dawud dan Al-Tirmidzi.
[18] Hadits riwayat Al-Bukhari.
[19] “Ihya Ulum Al-Din” 2/181.
[20] Hadits riwayat Al-Bukhari.
[21] “Ihya Ulum Al-Din” 2/182.

Wednesday, February 2, 2011


INSAN PILIHAN ALLAH..
Antara banyak-banyak perkataan yang diucapkan oleh manusia, tiada satu pun yang menyamai kehebatan kata-kata Tuhan iaitu Al-Quran, Kalam Allah. Hebatnya kata-kata Allah ini sehinggakan tiada siapa pun mampu mencipta kata-kata yang seindah dan seagung Al-Quran. Bahkan Allah sendiri mencabar makhluknya yang berakal ini untuk menukilkan hanya sepatah perkataan yang menyamai kata-katanya.
                Ribuan tahun sudah berlalu, walau semahir mana pun manusia, sekalipun dia adalah seorang Arab dan fasih berbahasa Arab, namun untuk meniru kata-kata Allah, adalah mustahil. Indahnya kata-kata Allah ini sehinggakan pujangga-pujangga Arab zaman Jahiliyyah pun cukup kagum dengan susunan kata-kata ini. Perlu diingat, tatkala Allah menurunkan kata-kataNya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW), dunia Arab sedang berada di puncak yang tinggi dalam dunia kesusasteraan.
                Masyarakat Arab memandang tinggi terhadap sastera bahasa terutama sekali susunan-susunan syair yang saban tahun dipertandingkan di pelusuk jazirah Arab. Syair terbaik kemudiannya akan di gantungkan pada Kaabah sebagai tanda penghargaan kepada penulisnya. Namun apabila kata-kata Allah ini disampaikan kepada Rasul SAW, masyarakat Arab yang cinta pada seni bahasa, merasa teramat ta’jub dan kagum dengan keindahan bahasa Al-Quran. Tidak pernah mereka mendengar susunan kata-kata seindah al-Quran.
                Itulah Al-Quran, kata-kata Allah yang amat hebat. Dan bukan itu sahaja, bahkan Al-Quran adalah kata-kata yang penuh dengan kekudusan dan kesucian kerana yang ‘menuturkannya’ adalah Allah yang Maha Suci.
   Pernahkah anda membacanya? Alangkah bertuahnya manusia. Tuhan yang menjadikan mereka telah sudi mengizinkan agar kata-kataNya dibaca oleh lidah-lidah mereka. Tidak banggakah kita kerana diberi keizinan untuk membaca kalam Allah yang suci itu?
   Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Barangsiapa Allah kehendaki padanya kebaikan, maka diberi kepadanya kefahaman dalam agama”( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).
                Tapi, tahukah kita, bahawa keizinan hanya diberikan Allah pada orang-orang yang tertentu sahaja? Tidak semua manusia diizinkan untuk membaca kata-kataNya. Kerana keizinan membaca kalam Allah adalah sebenarnya satu penghormatan yang Allah berikan kepada manusia. Kerana yang dibaca itu bukan syair, bukan gurindam, dan bukan juga sajak. Ia adalah suatu Mukjizat yang Suci lagi Mulia. Mana mungkin sesuatu yang Terlalu Suci dan Kudus boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.
                Maksudnya, orang yang diberi peluang membaca kalamNya adalah orang-orang yang Allah pilih. Kita sendiri pun, kalau ada sesuatu yang istimewa, tentu apabila nak diberikan kepada seseorang, kita akan memilih orang-orang yang tertentu sahaja. Apatah lagi Tuhan (Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT)), yang ingin memberikan manusia peluang membaca kalamNya yang mulia. Dan tentunya Dia akan memilih orang-orang yang Dia kehendaki sahaja.
                Persoalannya, siapakah mereka? Apabila hati tergerak untuk membaca Al-Quran dan apabila lidah kita sudah dapat membaca Al-Quran, ketahuiah bahawa kita telah dipilih oleh Allah SWT untuk membaca kata-kataNya. Itu kita lakukan bukan atas kehendak kita, tapi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Kita tidak akan dapat membacanya kalau Allah SWT tidak mengizinkan. Alangkah bertuahnya kita ketika itu kerana diberi peluang dan kesempatan membaca Kalam Allah. Apakah itu bukan sesuatu yang cukup istimewa? Seorang makhluk seperti kita yang hina menuturkan kata-kata Allah yang Yang Maha Mulia. Subhanallah….!!!

   Ketahuilah bahawa kita telah diberikan satu anugerah yang cukup besar kerana dapat membaca Kalam Tuhan. Dan ketahuilah bahawa tidak semua manusia diberi Allah anugerah seperti itu. Oleh itu, bila kita telah dapat membacanya, maka rasakanlah bahawa Allah ingin berkata-kata dengan kita melalui susunan ayat-ayatNya. Apabila kita faham bahawa Allah SWT bercakap-cakap dengan kita maka dengarkanlah dan hayatilah maksudnya. Fahamilah apa yang Dia ingin maklumkan kepada kita. Tidakkah itu sesuatu yang cukup indah??
Dan di antara sekalian manusia yang  Dia beri keizinan membaca kalamNya, ada juga segolongan manusia yang Dia jadikan tempat simpanan kata-kataNya. Dia pilih orang-orang ini untuk menyimpan KalamNya dengan cara menghafaz seluruh isi Al-Quran. Alangkah bertuahnya mereka ini. Dipilih untuk menjadi tempat simpanan Kalam yang Suci lagi Mulia.
                Kalau yang ingin disimpan itu suci, maka tempat simpanan itu juga perlu suci. Justeru itu, sudah tentulah hati-hati tempat simpanan Kalam Allah ini adalah hati-hati yang suci. MashaAllah!! alangkah bertuahnya para Huffaz. Mereka terpilih untuk tujuan yang maha suci ini.
                Apakah anda termasuk dalam golongan ini? Kalau anda dapat menghafaz Kalam Allah pastinya anda juga telah terpilih untuk tugas yang murni ini. Alangkah bertuahnya anda! Sudah tentu Allah SWT pilih anda sebab hati anda bersih. Jagalah hati anda terus. Janganlah ia dikotori. Sebab.., dengan mengotori hati (melakukan perkara-perkara dosa, kecil atau besar), anda hanya akan menyebabkan Alah menarik semula kelayakan anda untuk menjadi tempat simpanan kata-kataNya.
               
 Itulah hakikat pembacaan dan penghafalan Kalam Allah iaitu al-Quran. Dan itulah sebabnya kita kena senantiasa berdoa agar Allah SWT mengizinkan kita membaca dan menghafal KalamNya. Hanya dengan keizinan Allah SWT sahajalah maka kita akan dapat membaca dan menghafalnya. 

Sebuah Hadith Riwayat Ibnu Majah  menerangkan fadhilat/kelebihan orang-orang yang menghafal Al-Quran : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.”
                Manakala Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim pula membawa maksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya”.
               
            Anak-anak yang membaca dan mengamalkan al-Quran juga boleh mejadi penyebab untuk ibubapa mendapat kemuliaan seperti maksud sebuah Hadith Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud : “Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. “
 
                Oleh itu jika kita mahu diri kita menjadi gudang simpanan Kalamullah yang Mulia lagi Suci ini, maka bersihkanlah hati. Kerana Allah hanya akan letakkan kata-kataNya di dalam hati yang suci dan bersih sahaja kerana Dia tidak mahu Kesucian dan Kemuliaan KalamNya tercemar oleh hati yang kotor. Rebutlah peluang ini, dan didoakan semua pembaca blog ini menjadi orang-orang yang dipilih oleh Allah, yakni Insan Pilihan Allah. Amin Ya Rabbal ‘alamin.