Monday, February 14, 2011

SEANDAINYA RASULULLAH S.A.W. MENGUNJUNGI UMATNYA...

        Andai di takdirkan Allah, Rasulullah S.A.W masih lagi hidup di dunia ketika ini, dan seandainya Baginda mengkhabarkan kepada kita bahawa baginda akan datang berkunjung ke rumah kita, apakah perasaan kita di waktu itu? Andainya waktu kunjungan Baginda telah pun tiba, bahkan Baginda sudah pun berada di hadapan pintu rumah kita dan salam pun sudah diberikan, bagaimana perasaan kita dengan kehadiran Baginda?
                Apakah kita merasa amat bertuah menerima tetamu yang merupakan Kekasih Allah? Apakah hati kita akan begitu terharu menerima salam dari seorang Rasul penyelamat Ummah? Apakah akan kita biarkan salam itu tidak berjawab sebanyak dua kali, lantaran mahu mendengar suara baginda yang suci?
                Atau……..apakah perasaan kita berkecamuk di waktu itu dan kita mula menggelabah? Kerana kita baru teringatkan himpunan majalah-majalah hiburan di sudut kaki meja di ruang tamu rumah kita. Majalah yang kulit mukanya penuh dengan aksi-aksi wanita dan lelaki yang terbuka auratnya. Bagaimana jika nanti Nabi SAW terpandang. Tentu malu kita dibuatnya.
                Kita juga teringat akan deretan VCD di sisi televisyen. Harus kita sorokkan juga kerana hampir semua filem itu tidak sesuai ditonton oleh umat seperti kita. Ada filem-filem yang berunsur lucah yang tersusun rapi di situ,. Kalaulah Nabi nanti bersuara, mana mahu disorokkan muka?? Apa alasan yang akan kita berikan jika nanti Nabi SAW bertanya?
                Kita terpandang poster-poster penyanyi wanita dan lelaki yang seksi di belakang pintu. Kalau tak pun wajah-wajah pemain bola sepak terkenal dunia, atau siapa-siapa lagilah yang menjadi pujaan hati, semuanya dilekat di belakang pintu, apakah kita akan biarkan bergantung atau terlekat di situ sehingga terpandang oleh Nabi? Di bilik tidur pun masih banyak lagi yang kita tampal. Apakah yang harus dijawab bila nanti Nabi bertanya mengapa poster seperti itu yang kita puja?
                Kita menjadi semakin gawat bila kita mula teringatkan rak-rak buku yang kita letakkan di tepi dinding, hanya dipenuhi dengan buku-buku cerita cinta yang telah menjadi koleksi kita sekian lama. Tidak ada satu buku pun yang bercorak agama. Malah Al-Quran… Ya….di manakah Al-Quran yang pernah dibeli suatu masa dahulu? Di mana kita simpankan…? Dan di manakah harus kita humbankan semua koleksi buku cinta yang lebih kita sayangi daripada Al-Quran kalam Tuhan?
                Perasaan kita semakin cemas, bila baru kita teringat bahawa kita di waktu itu hanya berseluar pendek, atau kepala tidak bertutup, kita mula masuk semula ke dalam bilik. Semua almari kita buka satu persatu demi mencari sehelai tudung yang pernah diberi kawan suatu masa dahulu. Di mana tudung itu? Kita semakin gelabah. Tudung yang satu itu tidak dijumpai. Tak kan kita nak sambut Nabi dalam keadaan aurat terbuka??
                Kita pun jadi gelisah, bila seluar panjang kita semua masih berada di jemuran. Hanya itu sahajalah yang ada. Itu pun kita gunakan untuk pergi ke kelas atau ke pejabat. Biasanya kita hanya berseluar pendek. Kain pelikat? Kita mula teringat. Tapi puas kita cari namun sehelai pun tidak kita temui. Baru kita tersedar, selama ini jarang sangat kita bersembahyang
                Hati kita mula menduga-duga, bagaimana nanti bila Ar Rasul bertanya tentang sembahyang. Apakah yang harus kita jawab? Sudah berbelas tahun kita tak sujud kepada Allah. Kalau ada pun hanya dua kali setahun iaitu pada hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha.
                Ah! Terlalu banyak yang perlu kita lakukan hanya untuk menyambut kedatangan seorang Kekasih Allah. Lalu kita membuat keputusan untuk hanya mendiamkan diri. Biarlah salam Nabi tidak berjawab, biarlah Baginda berdiri lama-lama di hadapan pintu. Nanti bila dah penat tentu sahaja Baginda berlalu pergi. Biarlah Nabi tidak datang ke rumah sampai bila-bila. Biarlah Nabi tidak datang berziarah. Dan akhirnya Nabi pergi bila tiga salamnya tidak bersambut.
                Nak dijadikan cerita, pada ketika yang lain, sewaktu kita sedang berjalan-jalan dengan seorang teman lelaki atau wanita yang kononnya buah hati yang kita cintai. Sambil berjalan berpegangan tangan dan bermesra-mesraan itu, bergelak ketawa dan bersenda-gurau, tiba-tiba kita terserempak dengan Nabi junjungan Tuhan.
                Lalu kita ditanya Nabi, siapakah lelaki atau perempuan yang berada di sisi? Apakah yang harus di jawab? Apakah harus kita bohongi Rasul Allah dengan mengatakan ia adalah suami atau  isteri kita? Atau kita akan menolak si lelaki atau wanita itu jauh ke tepi lantas kita terus menghilangkan diri? Ataupun kita tanpa segan dan silu akan terus tersenyum pada Nabi SAW, sambil tangan kita memeluk erat si lelaki atau wanita yang berada di sisi?
                Seandainya di takdirkan Nabi masih hidup, dan Baginda melihat umat yang namanya dibibir Baginda sewaktu Baginda menghembuskan nafas terakhirnya, hidup dengan jalan yang tidak selari dengan ajarannya. Baginda bergadai nyawa untuk mempertahankan agama Allah. Baginda hidup dalam kelaparan, Baginda merasa sakit di baling batu, Baginda menahan pedih apabila darah mula keluar menitis dari tubuh Baginda, segalanya demi kebaikan dan kesejahteraan umatnya di akhir zaman. Tapi kini umat yang baginda kasihi telah memfitnah dan mendustakan diri baginda sendiri. 
                Tidak pernah baginda mengajar umatnya bermaksiat… tapi kini umat yang dikasihi langsung tidak menghargai diri Baginda. Pengorbanannya selama ini langsung tidak dihargai. Dirinya langsung tidak diingati. Walau lidah mengucap shahadah tapi amal mereka penuh dengan maksiat. Andai Nabi masih ada, pasti bergenang airmata suci Baginda melihat umat yang ditinggalkan kini terus leka dengan dunia.
                Andainya Rasul masih ada, bayangkanlah apa perilaku mu, bila ditakdirkan Nabi datang bertamu, apakah engkau akan bersikap hipokrit di hadapannya atau engkau terus dengan perangai harianmu sehingga hancur hati baginda. Marilah sama-sama mencintai Nabi SAW, amalkan suruhannya dan tinggalkan larangannya. Banyakkanlah berselawat kerana Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW. la tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.
Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).
Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:
1. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).
2. “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
3. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).
4. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).
5. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).
6.”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. (Riwayat Tirmizi).

Justeru itu, marilah kita sebagai umat Islam mempelajari sirah Rasulullah SAW, menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda SAW dan hendaklah kita senantiasa berselawat kepada Baginda SAW. Itu tandanya kita sangat mencintai Rasulullah yang menjadi kekasih Allah.