Wednesday, February 2, 2011


INSAN PILIHAN ALLAH..
Antara banyak-banyak perkataan yang diucapkan oleh manusia, tiada satu pun yang menyamai kehebatan kata-kata Tuhan iaitu Al-Quran, Kalam Allah. Hebatnya kata-kata Allah ini sehinggakan tiada siapa pun mampu mencipta kata-kata yang seindah dan seagung Al-Quran. Bahkan Allah sendiri mencabar makhluknya yang berakal ini untuk menukilkan hanya sepatah perkataan yang menyamai kata-katanya.
                Ribuan tahun sudah berlalu, walau semahir mana pun manusia, sekalipun dia adalah seorang Arab dan fasih berbahasa Arab, namun untuk meniru kata-kata Allah, adalah mustahil. Indahnya kata-kata Allah ini sehinggakan pujangga-pujangga Arab zaman Jahiliyyah pun cukup kagum dengan susunan kata-kata ini. Perlu diingat, tatkala Allah menurunkan kata-kataNya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW), dunia Arab sedang berada di puncak yang tinggi dalam dunia kesusasteraan.
                Masyarakat Arab memandang tinggi terhadap sastera bahasa terutama sekali susunan-susunan syair yang saban tahun dipertandingkan di pelusuk jazirah Arab. Syair terbaik kemudiannya akan di gantungkan pada Kaabah sebagai tanda penghargaan kepada penulisnya. Namun apabila kata-kata Allah ini disampaikan kepada Rasul SAW, masyarakat Arab yang cinta pada seni bahasa, merasa teramat ta’jub dan kagum dengan keindahan bahasa Al-Quran. Tidak pernah mereka mendengar susunan kata-kata seindah al-Quran.
                Itulah Al-Quran, kata-kata Allah yang amat hebat. Dan bukan itu sahaja, bahkan Al-Quran adalah kata-kata yang penuh dengan kekudusan dan kesucian kerana yang ‘menuturkannya’ adalah Allah yang Maha Suci.
   Pernahkah anda membacanya? Alangkah bertuahnya manusia. Tuhan yang menjadikan mereka telah sudi mengizinkan agar kata-kataNya dibaca oleh lidah-lidah mereka. Tidak banggakah kita kerana diberi keizinan untuk membaca kalam Allah yang suci itu?
   Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Barangsiapa Allah kehendaki padanya kebaikan, maka diberi kepadanya kefahaman dalam agama”( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).
                Tapi, tahukah kita, bahawa keizinan hanya diberikan Allah pada orang-orang yang tertentu sahaja? Tidak semua manusia diizinkan untuk membaca kata-kataNya. Kerana keizinan membaca kalam Allah adalah sebenarnya satu penghormatan yang Allah berikan kepada manusia. Kerana yang dibaca itu bukan syair, bukan gurindam, dan bukan juga sajak. Ia adalah suatu Mukjizat yang Suci lagi Mulia. Mana mungkin sesuatu yang Terlalu Suci dan Kudus boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.
                Maksudnya, orang yang diberi peluang membaca kalamNya adalah orang-orang yang Allah pilih. Kita sendiri pun, kalau ada sesuatu yang istimewa, tentu apabila nak diberikan kepada seseorang, kita akan memilih orang-orang yang tertentu sahaja. Apatah lagi Tuhan (Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT)), yang ingin memberikan manusia peluang membaca kalamNya yang mulia. Dan tentunya Dia akan memilih orang-orang yang Dia kehendaki sahaja.
                Persoalannya, siapakah mereka? Apabila hati tergerak untuk membaca Al-Quran dan apabila lidah kita sudah dapat membaca Al-Quran, ketahuiah bahawa kita telah dipilih oleh Allah SWT untuk membaca kata-kataNya. Itu kita lakukan bukan atas kehendak kita, tapi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Kita tidak akan dapat membacanya kalau Allah SWT tidak mengizinkan. Alangkah bertuahnya kita ketika itu kerana diberi peluang dan kesempatan membaca Kalam Allah. Apakah itu bukan sesuatu yang cukup istimewa? Seorang makhluk seperti kita yang hina menuturkan kata-kata Allah yang Yang Maha Mulia. Subhanallah….!!!

   Ketahuilah bahawa kita telah diberikan satu anugerah yang cukup besar kerana dapat membaca Kalam Tuhan. Dan ketahuilah bahawa tidak semua manusia diberi Allah anugerah seperti itu. Oleh itu, bila kita telah dapat membacanya, maka rasakanlah bahawa Allah ingin berkata-kata dengan kita melalui susunan ayat-ayatNya. Apabila kita faham bahawa Allah SWT bercakap-cakap dengan kita maka dengarkanlah dan hayatilah maksudnya. Fahamilah apa yang Dia ingin maklumkan kepada kita. Tidakkah itu sesuatu yang cukup indah??
Dan di antara sekalian manusia yang  Dia beri keizinan membaca kalamNya, ada juga segolongan manusia yang Dia jadikan tempat simpanan kata-kataNya. Dia pilih orang-orang ini untuk menyimpan KalamNya dengan cara menghafaz seluruh isi Al-Quran. Alangkah bertuahnya mereka ini. Dipilih untuk menjadi tempat simpanan Kalam yang Suci lagi Mulia.
                Kalau yang ingin disimpan itu suci, maka tempat simpanan itu juga perlu suci. Justeru itu, sudah tentulah hati-hati tempat simpanan Kalam Allah ini adalah hati-hati yang suci. MashaAllah!! alangkah bertuahnya para Huffaz. Mereka terpilih untuk tujuan yang maha suci ini.
                Apakah anda termasuk dalam golongan ini? Kalau anda dapat menghafaz Kalam Allah pastinya anda juga telah terpilih untuk tugas yang murni ini. Alangkah bertuahnya anda! Sudah tentu Allah SWT pilih anda sebab hati anda bersih. Jagalah hati anda terus. Janganlah ia dikotori. Sebab.., dengan mengotori hati (melakukan perkara-perkara dosa, kecil atau besar), anda hanya akan menyebabkan Alah menarik semula kelayakan anda untuk menjadi tempat simpanan kata-kataNya.
               
 Itulah hakikat pembacaan dan penghafalan Kalam Allah iaitu al-Quran. Dan itulah sebabnya kita kena senantiasa berdoa agar Allah SWT mengizinkan kita membaca dan menghafal KalamNya. Hanya dengan keizinan Allah SWT sahajalah maka kita akan dapat membaca dan menghafalnya. 

Sebuah Hadith Riwayat Ibnu Majah  menerangkan fadhilat/kelebihan orang-orang yang menghafal Al-Quran : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.”
                Manakala Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim pula membawa maksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya”.
               
            Anak-anak yang membaca dan mengamalkan al-Quran juga boleh mejadi penyebab untuk ibubapa mendapat kemuliaan seperti maksud sebuah Hadith Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud : “Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. “
 
                Oleh itu jika kita mahu diri kita menjadi gudang simpanan Kalamullah yang Mulia lagi Suci ini, maka bersihkanlah hati. Kerana Allah hanya akan letakkan kata-kataNya di dalam hati yang suci dan bersih sahaja kerana Dia tidak mahu Kesucian dan Kemuliaan KalamNya tercemar oleh hati yang kotor. Rebutlah peluang ini, dan didoakan semua pembaca blog ini menjadi orang-orang yang dipilih oleh Allah, yakni Insan Pilihan Allah. Amin Ya Rabbal ‘alamin.  

Thursday, January 27, 2011

AKTIVITI KOKURIKULUM

Sesuai dengan seruan Rasulullah s.a.w, Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) melaksanakan aktiviti-aktiviti kokurikulum berikut agar anak-anak, para pelajar yang dikasihi akan lebih seimbang, fokus dan mempunyai semangat juang yang tinggi dan kental untuk mencapai cita-cita yang diidamkan dalam perjuangan menegakkan ajaran agama Islam yang suci :

    1. Berkuda












   2. Memanah


   


    3. Berenang










Persatuan Matematik dan Sains, Persatuan Bahasa Arab, Persatuan Bahasa Inggeris menggalakkan para pelajar mendalami subjek tersebut di samping memahami kehidupan berpesatuan.

Sukan Badminton, pingpong dan indoor games serta olahraga memberikan kerehatan dan latihan fizikal untuk membina sikap kesungguhan dalam semua urusan. Ia juga dapat memupuk sikap menghormati dan toleransi sesama kawan-kawan.

Wednesday, January 26, 2011

DASAR KURIKULUM

Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) melaksanakan tiga (3) jenis kurikulum secara serentak di sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran. Ianya merangkumi:










 1. Kurikulum Tahfiz (3 jam sehari)
       a) Mengaji Iqra' / Al-Quran hingga Khatam 30 juzuk
       b) Hafalan Surah-surah lazim
       c) Hafalan Juzuk 30 dan 29
       d) Hafalan Juzuk 1 - 28
       e) Tajwid


  








2. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum   Baru Sekolah Menengah (3 jam sehari)
       a) Bahasa Malaysia
       b) Bahasa Inggeris
       c) Matematik
       d) Sains
       e) Pendidikan Islam
        f) Sejarah
       g) Geografi
       h) Kemahiran Hidup Bersepadu
        i) Bahasa Arab









3. Kurikulum KAFA (Sekolah Rendah) dan al-Azhar / Muzakirat (Sekolah Menengah) (3 jam
    sehari)
      a) Tauhid                                  b) Feqah
      c) Sirah                                     d) Akhlak
      e) Bahasa Arab                       f ) Jawi
      g) Khat                                      h) Imlak
      i) Nahu, Sorof, Mutholaah, Sirah,Tauhid, Feqah, Tafsir ,Hadith          (Sekolah Menengah)

Melalui penggabungan pembelajaran agama, akademik dan tahfiz, ITAP memacu para pelajar agar menjadi muslim, mukminin, muttaqin yang mempunyai kerjaya profesional, hafaz al-Quran, menghayati ajarannya dan menyebarkannya ke seluruh alam.   

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM J.A.I.S


"Suatu usaha berterusan ke arah membina potensi individu berilmu, berakhlak mulia dan berketrampilan berlandaskan ilmu Allah bagi melahirkan masyarakat muslim sejati yang maju dan mampu bersaing sepanjang zaman."

Tuesday, January 18, 2011

Visi, Misi dan Motto

VISI
Melahirkan insan yang hafaz al-Qur'an, pendakwah dan ahli profesional yang berjaya di dunia dan akhirat. 



MOTTO
" Al-Hafiz Profesional dan Da'i"




MISI
(1) Memastikan pelajar dapat membaca al-Qur'an secara bertajwid dengan baik.
(2) Mendidik dan mengasuh akhlak pelajar supaya selari dengan ajaran
al-Qur'an dan Al-Hadith.
(3) Aktif dalam pengajaran dan pembelajaran akademik, diniah, hafazan al-Quran
 serta motivasi kecemerlangan.

Monday, January 17, 2011

Pengenalan

Penubuhan Institut Tahfiz Al-Qur'an Profesional (ITAP) adalah bagi memenuhi sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain". Idea dan kesungguhan  Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Muaz bagi melahirkan ramai ahli profesional yang hafaz Al-Quran, berilmu, beramal dan menjadi da'i disebalik bidang keprofesionalan mereka amat wajar diberi dorongan dan  sokongan sepenuhnya .

Insya-Allah, penubuhan ITAP akan menjadi sebuah institut tahfiz Al-Quran berdasarkan kepada penjurusan seperti berikut:

  • Bidang Hafazan Al-Quran untuk kanak-kanak bermula dari umur 7 tahun
  • Pengajian Iqra/Al-Quran (terbuka kepada semua peringkat umur)
  • Bidang Akademik untuk kanak-kanak bermula dari umur 7 tahun
  • Bidang Agama untuk kanak-kanak bermula dari umur 7 tahun

Friday, December 24, 2010

Ada Hikmah di Sebaliknya

            Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Katakanlah, sewaktu anda sedang memandu kereta tiba-tiba berlaku kerosakan enjin atau pun tayar kereta anda pancit, Ia telah menyebabkan anda terlewat sampai ke kelas atau ke tempat kerja. Anda tentu tidak kisah dan hati anda memujuk ada hikmah di sebaliknya”.. tapi bagaimana pula sekiranya kelewatan anda itu telah menyebabkan anda terhalang daripada menduduki peperiksaan atau dibuang kerja sedangkan itu sahajalah sumber rezeki anda di waktu itu. Rasanya pasti wujud rasa tidak puas hati dan jiwa anda mula memberontak. “Mengapa semua ini harus berlaku pada diri aku?? Kenapa mesti aku??”
Mari kita mengimbau kembali program yang baru sahaja berlalu iaitu “Program Tahfiz Al Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010” yang dianjurkan pihak Institut Tahfiz Al-Quran Profesional. Pasti ada hikmah kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program ini. Setelah dikenalpasti, ada para pelajar yang menyertai program ini tanpa kehendak diri sendiri, ada kerana sudah menjadi adat kebiasaan tahunan keluarga, ada yang menghantar anak-anak kerana dah tak larat nak lihat kenakalan anak-anak di rumah, dan ada juga pelajar yang mengikuti program ini kerana perasaan itu lahir dari hati nurani pelajar itu sendiri. Tetapi kadangkala timbul perasaan tidak puas hati oleh pelajar-pelajar kerana diperlakukan sedemikian.


 Kenapa begitu?? Pelajar rasa memberontak kerana dipaksa, didesak, diatur dan sebagainya, ya lah.. waktu cuti sekolah ini sahaja lah baru nak dapat kawan-kawan. Waktu macam ni lah nak tidur sepuas hati, waktu begini lah nak bersukaria dengan teman di luar dan waktu macam ini lah juga nak duduk depan komputer melayari internet. Tanpa pelajar sedari, jika kesemuanya itu dilakukan tanpa disiplin dan kawalan, ianya adalah kurang baik dan kurang bermanfaat!
Melalui “Program Tahfiz Al Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010” ini, para pelajar belajar membudayakan dan menghidupkan gaya hidup Islam dengan mengaji Iqra ataupun Al-Quran, menghafaz surah-surah lazim, solat berjamaah di awal waktu, makan berjamaah, belajar fardhu ain dan mendengar nasihat-nasihat agama sebagai santapan rohani pada setiap pagi, petang dan malam. Nah! cuba bandingkan, mana satu yang lebih manfaatnya? Persoalannnya adakah setiap apa yang pelajar amalkan dan pelajari semasa program tersebut telah anda lakukannya di rumah? Para pelajar mesti lebih bijak untuk menilai yang mana intan dan yang mana permata. Kami juga yakin bahawa para pelajar kenal ‘kaca’, maka jauhilah ‘kaca’, yakni perbuatan sia-sia yang memudaratkan diri, keluarga dan masa depan. Apatah lagi yang melibatkan kerugian akhirat yang kekal abadi seperti contoh: meninggalkan salah satu waktu solat tanpa uzur syarie, derhaka kepada ibubapa dan lain-lain lagi. Apa yang di lakukan oleh ibu bapa (dengan menghantar para pelajar ke program ini) dan guru-guru (dengan mengajar ilmu Al-Quran dan lain-lain lagi) adalah untuk kebaikan diri dan masa depan para pelajar sendiri.


Menyedari hakikat ini, pada sepanjang program, guru-guru sentiasa mengingatkan para pelajar tidak kira yang tinggal di asrama atau yang berulang alik, bahawa apa yang berlaku ke atas diri mereka sudah menjadi suratan takdir. Para pelajar telah ditakdirkan oleh Allah untuk menyertai program tersebut. Dan pasti ada hikmah disebaliknya walaupun terlalu seni untuk dimengertikan. Tapi bagi para pelajar, kebanyakannya sukar untuk menerima takdir tersebut. Jika diberitahu, ada sahaja alasan untuk mematahkan kata-kata guru, asalkan mereka terbela dan tidak dipersalahkan. Inilah kerenah para pelajar, suka bersungut dan mengatakan “MENGAPA????!!! KENAPA USTAZ / USTAZAHHHH???!!!! KENAPA?????!!!  UWARRRRRGHHHHH!!!” Para pelajar boleh bertanya untuk mendapatkan penjelasan, namun para pelajar perlu tanam ke dalam diri anda sekelian sikap patuh, tunduk, ikut dan menurut perintah Allah, Rasulullah s.a.w., guru-guru, ustaz / ustazah dan ibubapa setelah mengkaji bahawa alasan yang diberikan itu adalah demi untuk kebaikan para pelajar sendiri.

Ada sedikit perkara yang mahu dikongsi agar perasaan negatif tidak menguasai diri para pelajar. Kita kadangkala mempersoalkan sesuatu sehingga  kita lupa bahawa yang kita marahkan itu bukan kereta atau manusia atau keadaan tetapi hakikatnya kita memarahi Tuhan (yakni Allah yang Maha Agung!). Kalau keadaan inilah yang berlaku pada diri kita, ini bermakna ungkapan “ada hikmah di sebaliknya” itu hanya ungkapan yang boleh dikatakan double-standard. Hanya ikut situasi. Maknanya kita memandang baik pada apa sahaja yang Allah tentukan hanya apabila perkara itu tidak membebankan atau menekan perasaan kita. Tapi apabila takdir Tuhan itu memberi kesan yang terlalu hebat dan berat ke atas diri, maka kita mulalah mencari alasan untuk merungut-rungut terhadap Allah Subhanahuwataala.
            Orang yang benar-benar beriman ialah orang yang tidak akan bersikap double-standard pada Qada’ dan Qadar Tuhan. Apakah para pelajar faham apakah yang dimaksudkan dengan Qada’ dan Qadar Allah?
            Orang yang benar-benar memahami Rukun Islam yang keenam ini akan sentiasa merasakan bahawa segala apa yang Allah telah tentukan itu semuanya baik belaka. Tak ada satupun yang bertujuan untuk menganiayai manusia. Kita melihat adanya takdir baik dan adanya takdir buruk menurut rasional kita sendiri. Padahal hakikatnya semua takdir Allah adalah baik segalanya. Atau dengan kata lain, semuanya mengandungi hikmah untuk kebaikan kita.
Firman Allah Subhanahuwataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
Boleh jadi engkau membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Dan boleh jadi engkau menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Sesungguhnya Allah lebih tahu dan engkau tak tahu apa-apa”
            Allah lah yang menentukan setiap sesuatu sebelum ianya berlaku. Sudah tentu ketentuanNya sentiasa mengandungi hikmah. Dengan ini boleh lah di fahami bahawa Dialah yang menentukan sesuatu musibah yang boleh menggagalkan seseorang dan Dialah yang menentukan kejayaan yang boleh menggembirakan seseorang.
            Jika ini difahami tentu kita tidak akan kecewa atau patah hati kerana yang menyebabkan segalanya yang berlaku adalah dari Allah. Apabila sesuatu itu ditentukan oleh Allah, Tuhan yang kita imani, kita yakin Allah ada sebab yang murni dalam ketentuanNya itu sekalipun kita masih belum dapat mengetahuinya sekarang.
            Dengan redha pada Qada’ dan Qadar ianya dapat menenangkan hati. Kita merasa tenang sekalipun diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan yang sangat hebat, kerana jiwa dan hati kita yakin bahawa segala ujian, dugaan mahupun musibah itu berlaku ke atas kita untuk satu tujuan yang murni. Orang yang benar-benar beriman tentunya tidak tergamak untuk menuduh Tuhannya sebagai Tuhan yang zalim dan mempersoalkan keadilanNya. Maha Suci Allah daripada menganiyai hamba-hambaNya malah hamba itulah yang suka menganiayai dirinya sendiri.
            Nah, tanyalah diri para pelajar, apakah para pelajar menemui sesuatu kebaikan setelah menyertai ‘Program Tahfiz Al-Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010’ ini? Adakah para pelajar dapat merasakan sekurang-kurangnya 1 dari berjuta hikmah yang telah Allah sediakan untuk para pelajar melalui program ini?
Para pelajar yang disayangi,
            Redhalah pada segala apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Baik ketetapan itu pada pandangan kita berbentuk ‘kebaikan’ ataupun ‘keburukan’. Yang pastinya Qada’ dan Qadar Allah adalah perancangan yang terbaik dan paling sempurna. Lalu jangan bersangka buruk pada Allah hanya kerana kita belum menemui hikmah yang terselindung di sebalik ketentuanNya. Namun suka diingingatkan para pelajar bahawa dalam akidah kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun segalanya sudah ditentukan, kita tetap disuruh untuk berusaha dan bukan berserah bulat-bulat kepadaNya kerana sesungguhnya kita tidak mengetahui yang mana satu pekerjaan membawa keberhasilan dan yang mana satu memberi kegagalan.

Oleh itu kerahkan segala tenaga, perah segala keringat, gunakan pertimbangan baik dan buruk dengan waras berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah, usaha, usaha dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah kebaikan duniawi dan ukhrawi. Semoga anda semua berjaya, amin ya rabbal alamin.



Wallahu a’lam.

Wednesday, December 8, 2010


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Pengertian HIJRAH adalah amat luas. Ia bukan sekadar bermakna perpindahan secara fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain tetapi ianya boleh melambangkan perpindahan dari suatu keadaan kepada keadaan yang lebih baik lagi.

Mengambil pendekatan ini, Hijrah dalam konteks kita di Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) boleh digunapakai di dalam matlamat kita sebagai sebuah institusi tahfiz yang berprestasi cemerlang serta berdaya saing tinggi.

1 Muharram merupakan tarikh yang sesuai untuk kita mengabadikan proses Hijrah yang dimaksudkan. Sempena sambutan Ma’al Hijrah 1432 ini, marilah kita lebih berazam sebagai warga kerja yang bertekad dan bersemangat untuk berHijrah minda dan cara kerja untuk mencapai keunggulan dan kejayaan yang berterusan.

Kepada para pelajar tingkatkan usaha dengan rajin mengulang-ulang hafazan, mentelaah pelajaran serta menunaikan solat-solat sunat manakala kepada para pendidik agar memastikan sasaran hafalan pelajar tercapai setiap hari, minggu dan bulan. Begitu juga dengan pencapaian akademik, agama dan akhlak pelajar agar selari dengan ajaran al-Quran dan Al-Sunnah.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1432 Hijrah kepada seluruh warga ITAP, ibubapa/penjaga serta muslimin dan muslimat di serata dunia.

Warga ITAP berkesempatan untuk menyertai Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat negeri Selangor di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Seramai 37 orang pelajar dan 5 orang guru yang telah menaiki sebuah bas sekolah telah berpeluang mengikuti Forum Perdana, doa akhir tahun 1431 Hijrah, solat Maghrib berjemaah, doa awal tahun 1432 Hijrah dan menyaksikan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Selangor kepada Datuk Profesor Dr Haron Din di atas sumbangan serta peranan aktifnya dalam menyebarkan agama Islam di negeri Selangor. Beliau telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, pakej umrah, sijil penghargaan, plak dan satu set persalinan pakaian.

Anugerah Tokoh Saudara Kita pula dirangkul Ketua Pegawai Dakwah Islamic Information & Services Foundation, Shah Kirit Kakulal Govindji, 44, manakala aktivis, Noorazman Mohd Samsuddin menerima Anugerah Tokoh Aktivis masyarakat. Pasangan suami isteri, Panut Markom dan isterinya, Jaliah Simin dipilih sebagai tokoh Keluarga Mithali. Ketiga-tiga pemenang anugerah itu menerima wang tunai RM5,000, pakej umrah, sijil penghargaan, plak dan satu set persalinan pakaian.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir di majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Selain itu pelajar-pelajar cemerlang UPSR, PSRA dan PMR juga turut diraikan. Semoga pelajar-pelajar tersebut menjadi contoh kepada warga pelajar ITAP untuk meraih semua 'A' dan Mumtaz. Amin ya Rabbal 'alamin.