Friday, December 24, 2010

Ada Hikmah di Sebaliknya

            Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Katakanlah, sewaktu anda sedang memandu kereta tiba-tiba berlaku kerosakan enjin atau pun tayar kereta anda pancit, Ia telah menyebabkan anda terlewat sampai ke kelas atau ke tempat kerja. Anda tentu tidak kisah dan hati anda memujuk ada hikmah di sebaliknya”.. tapi bagaimana pula sekiranya kelewatan anda itu telah menyebabkan anda terhalang daripada menduduki peperiksaan atau dibuang kerja sedangkan itu sahajalah sumber rezeki anda di waktu itu. Rasanya pasti wujud rasa tidak puas hati dan jiwa anda mula memberontak. “Mengapa semua ini harus berlaku pada diri aku?? Kenapa mesti aku??”
Mari kita mengimbau kembali program yang baru sahaja berlalu iaitu “Program Tahfiz Al Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010” yang dianjurkan pihak Institut Tahfiz Al-Quran Profesional. Pasti ada hikmah kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program ini. Setelah dikenalpasti, ada para pelajar yang menyertai program ini tanpa kehendak diri sendiri, ada kerana sudah menjadi adat kebiasaan tahunan keluarga, ada yang menghantar anak-anak kerana dah tak larat nak lihat kenakalan anak-anak di rumah, dan ada juga pelajar yang mengikuti program ini kerana perasaan itu lahir dari hati nurani pelajar itu sendiri. Tetapi kadangkala timbul perasaan tidak puas hati oleh pelajar-pelajar kerana diperlakukan sedemikian.


 Kenapa begitu?? Pelajar rasa memberontak kerana dipaksa, didesak, diatur dan sebagainya, ya lah.. waktu cuti sekolah ini sahaja lah baru nak dapat kawan-kawan. Waktu macam ni lah nak tidur sepuas hati, waktu begini lah nak bersukaria dengan teman di luar dan waktu macam ini lah juga nak duduk depan komputer melayari internet. Tanpa pelajar sedari, jika kesemuanya itu dilakukan tanpa disiplin dan kawalan, ianya adalah kurang baik dan kurang bermanfaat!
Melalui “Program Tahfiz Al Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010” ini, para pelajar belajar membudayakan dan menghidupkan gaya hidup Islam dengan mengaji Iqra ataupun Al-Quran, menghafaz surah-surah lazim, solat berjamaah di awal waktu, makan berjamaah, belajar fardhu ain dan mendengar nasihat-nasihat agama sebagai santapan rohani pada setiap pagi, petang dan malam. Nah! cuba bandingkan, mana satu yang lebih manfaatnya? Persoalannnya adakah setiap apa yang pelajar amalkan dan pelajari semasa program tersebut telah anda lakukannya di rumah? Para pelajar mesti lebih bijak untuk menilai yang mana intan dan yang mana permata. Kami juga yakin bahawa para pelajar kenal ‘kaca’, maka jauhilah ‘kaca’, yakni perbuatan sia-sia yang memudaratkan diri, keluarga dan masa depan. Apatah lagi yang melibatkan kerugian akhirat yang kekal abadi seperti contoh: meninggalkan salah satu waktu solat tanpa uzur syarie, derhaka kepada ibubapa dan lain-lain lagi. Apa yang di lakukan oleh ibu bapa (dengan menghantar para pelajar ke program ini) dan guru-guru (dengan mengajar ilmu Al-Quran dan lain-lain lagi) adalah untuk kebaikan diri dan masa depan para pelajar sendiri.


Menyedari hakikat ini, pada sepanjang program, guru-guru sentiasa mengingatkan para pelajar tidak kira yang tinggal di asrama atau yang berulang alik, bahawa apa yang berlaku ke atas diri mereka sudah menjadi suratan takdir. Para pelajar telah ditakdirkan oleh Allah untuk menyertai program tersebut. Dan pasti ada hikmah disebaliknya walaupun terlalu seni untuk dimengertikan. Tapi bagi para pelajar, kebanyakannya sukar untuk menerima takdir tersebut. Jika diberitahu, ada sahaja alasan untuk mematahkan kata-kata guru, asalkan mereka terbela dan tidak dipersalahkan. Inilah kerenah para pelajar, suka bersungut dan mengatakan “MENGAPA????!!! KENAPA USTAZ / USTAZAHHHH???!!!! KENAPA?????!!!  UWARRRRRGHHHHH!!!” Para pelajar boleh bertanya untuk mendapatkan penjelasan, namun para pelajar perlu tanam ke dalam diri anda sekelian sikap patuh, tunduk, ikut dan menurut perintah Allah, Rasulullah s.a.w., guru-guru, ustaz / ustazah dan ibubapa setelah mengkaji bahawa alasan yang diberikan itu adalah demi untuk kebaikan para pelajar sendiri.

Ada sedikit perkara yang mahu dikongsi agar perasaan negatif tidak menguasai diri para pelajar. Kita kadangkala mempersoalkan sesuatu sehingga  kita lupa bahawa yang kita marahkan itu bukan kereta atau manusia atau keadaan tetapi hakikatnya kita memarahi Tuhan (yakni Allah yang Maha Agung!). Kalau keadaan inilah yang berlaku pada diri kita, ini bermakna ungkapan “ada hikmah di sebaliknya” itu hanya ungkapan yang boleh dikatakan double-standard. Hanya ikut situasi. Maknanya kita memandang baik pada apa sahaja yang Allah tentukan hanya apabila perkara itu tidak membebankan atau menekan perasaan kita. Tapi apabila takdir Tuhan itu memberi kesan yang terlalu hebat dan berat ke atas diri, maka kita mulalah mencari alasan untuk merungut-rungut terhadap Allah Subhanahuwataala.
            Orang yang benar-benar beriman ialah orang yang tidak akan bersikap double-standard pada Qada’ dan Qadar Tuhan. Apakah para pelajar faham apakah yang dimaksudkan dengan Qada’ dan Qadar Allah?
            Orang yang benar-benar memahami Rukun Islam yang keenam ini akan sentiasa merasakan bahawa segala apa yang Allah telah tentukan itu semuanya baik belaka. Tak ada satupun yang bertujuan untuk menganiayai manusia. Kita melihat adanya takdir baik dan adanya takdir buruk menurut rasional kita sendiri. Padahal hakikatnya semua takdir Allah adalah baik segalanya. Atau dengan kata lain, semuanya mengandungi hikmah untuk kebaikan kita.
Firman Allah Subhanahuwataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
Boleh jadi engkau membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Dan boleh jadi engkau menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Sesungguhnya Allah lebih tahu dan engkau tak tahu apa-apa”
            Allah lah yang menentukan setiap sesuatu sebelum ianya berlaku. Sudah tentu ketentuanNya sentiasa mengandungi hikmah. Dengan ini boleh lah di fahami bahawa Dialah yang menentukan sesuatu musibah yang boleh menggagalkan seseorang dan Dialah yang menentukan kejayaan yang boleh menggembirakan seseorang.
            Jika ini difahami tentu kita tidak akan kecewa atau patah hati kerana yang menyebabkan segalanya yang berlaku adalah dari Allah. Apabila sesuatu itu ditentukan oleh Allah, Tuhan yang kita imani, kita yakin Allah ada sebab yang murni dalam ketentuanNya itu sekalipun kita masih belum dapat mengetahuinya sekarang.
            Dengan redha pada Qada’ dan Qadar ianya dapat menenangkan hati. Kita merasa tenang sekalipun diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan yang sangat hebat, kerana jiwa dan hati kita yakin bahawa segala ujian, dugaan mahupun musibah itu berlaku ke atas kita untuk satu tujuan yang murni. Orang yang benar-benar beriman tentunya tidak tergamak untuk menuduh Tuhannya sebagai Tuhan yang zalim dan mempersoalkan keadilanNya. Maha Suci Allah daripada menganiyai hamba-hambaNya malah hamba itulah yang suka menganiayai dirinya sendiri.
            Nah, tanyalah diri para pelajar, apakah para pelajar menemui sesuatu kebaikan setelah menyertai ‘Program Tahfiz Al-Quran Cuti Sekolah siri 4, 2010’ ini? Adakah para pelajar dapat merasakan sekurang-kurangnya 1 dari berjuta hikmah yang telah Allah sediakan untuk para pelajar melalui program ini?
Para pelajar yang disayangi,
            Redhalah pada segala apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Baik ketetapan itu pada pandangan kita berbentuk ‘kebaikan’ ataupun ‘keburukan’. Yang pastinya Qada’ dan Qadar Allah adalah perancangan yang terbaik dan paling sempurna. Lalu jangan bersangka buruk pada Allah hanya kerana kita belum menemui hikmah yang terselindung di sebalik ketentuanNya. Namun suka diingingatkan para pelajar bahawa dalam akidah kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun segalanya sudah ditentukan, kita tetap disuruh untuk berusaha dan bukan berserah bulat-bulat kepadaNya kerana sesungguhnya kita tidak mengetahui yang mana satu pekerjaan membawa keberhasilan dan yang mana satu memberi kegagalan.

Oleh itu kerahkan segala tenaga, perah segala keringat, gunakan pertimbangan baik dan buruk dengan waras berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah, usaha, usaha dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah kebaikan duniawi dan ukhrawi. Semoga anda semua berjaya, amin ya rabbal alamin.



Wallahu a’lam.