Islam menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan sebagai petunjuk ke arah keimanan, kecemerlangan dan ketaqwaan di dunia dan akhirat. Firman Alla SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka yang berakal sahaja dapat menerima pelajaran". FirmanNya lagi, Allah akan meninggikan martabat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat."( Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Dalam pencarian ilmu pengetahuan, ada beberapa peringkat yang mesti diikuti oleh seseorang muslim sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jadilah orang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima (tidak termasuk golongan di atas) kerana ia akan membinasakan kamu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Allah SWT memberikan jaminan kepada majlis ilmu sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” Baginda menyifatkan majlis ilmu sebagai taman syurga.
Saidina Ali menyatakan: “Sesiapa mengimpikan kehidupan dunia, maka dia perlu berilmu. Sesiapa mengimpikan kehidupan akhirat, maka dia perlu berilmu. Jika dia mengimpikan kedua-duanya, maka kedua-duanya perlukan ilmu pengetahuan.”
Imam Syafie (rahmatullah alaih) pernah mengungkapkan kata semangat sebagai panduan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu pengetahuan. Katanya: “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali kamu memiliki enam perkara iaitu kepintaran, keinginan, kesungguhan, kerendahan diri (zuhud), menghormati guru serta memerlukan masa panjang.”
Sehubungan dengan itu marilah kita mengambil kesempatan cuti sekolah yang panjang ini dengan menghantar anak-anak kita ke 'PROGRAM TAHFIZ MUSIM CUTI SEKOLAH 2011' anjuran Institut Tahfiz Al-Qur'an Profesional agar anak-anak kita terus menerus di dalam majlis ilmu dan terus menerus menimba ilmu dan mengamalkannya di sepanjang kehidupan mereka. Program yang berjalan selama sebulan ini amat bermanafaat sebagai pengisian masa cuti mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah.
Sedikit pengorbanan daripada ibubapa akan memastikan anak-anak kita mencapai kejayaan yang diimpikan. Akhir kata, ilmu yang membawa kepada keimanan yang mantap adalah ilmu yang sebenar yang perlu dipelajari bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT, juga membentuk peribadi yang mulia dan dipenuhi sifat-sifat yang terpuji.