Sunday, November 13, 2011

LAKUKAN KERJA / TUGASAN HARI INI JUGA. DAN SIAPKAN!

Di dalam al-Qur'an Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran ayat 133)

Buang sikap untuk menangguh-nangguhkan pekerjaan. Jika ia perlu dihabiskan diwaktu pagi, maka selesaikan diwaktu pagi. Jika perlu diselesaikan diwaktu petang, maka selesaikan diwaktu petang. Jika perlu disiapkan esok, sebaik-baiknya siapkan lebih awal, jika boleh hari ini. Dan begitulah seterusnya. Pekerjaan / tugasan yang disempurnakan 'ahead of time' adalah lebih baik kerana ia memberi keselesaan kepada sipembuat. Ia menyebabkan fikiran menjadi lebih tenang, pekerjaan tidak terburu-buru, dan hasil kerjanya sudah tentulah lebih elok dan sempurna lagi.

Oleh itu, lakukanlah tugasan setiap hari dengan sebaik-baiknya kerana kita ditentukan oleh hasil kerja kita pada hari ini. Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya.” – (Hadis Riwayat Muslim).

Thursday, November 10, 2011

HIDAYAH - SATU PLATUN ASKAR KOREA MASUK ISLAM

Subhanallah..benarlah firman Allah SWT yang menyatakan bahawa hidayah/petunjuk kepada jalan Islam adalah di bawah kekuasaanNya. Ini merupakan berita yang menggemparkan sesetengah daripada kita umat Islam, apatah lagi kepada rakyat Korea dan pimpinan tertinggi negara tersebut.

Kapten San Jin-Gu adalah salah seorang komandan Brigade-11SF, pasukan perdamaian PBB dari Korea Selatan yg ditugaskan di Iraq. Kapten San dan pasukannya bertugas di wilayah Irbil, Iraq Utara. Semasa bertugas di wilayah tersebut, dia sering mengamati orang-orang muslim bersolat berjemaah di masjid, kebetulan markas pasukannya berada dekat masjid. Dia sangat terpegun dengan gerakan-gerakan solat. Kerana dihinggapi rasa kagum, dia mencuba meniru seluruh gerakan solat dan dipraktikkan di biliknya bersendirian.

Semasa dia mempraktikkan gerakan solat itulah, dia merasakan ada ketenangan, dan perasaan damai dalam hatinya. Itulah sebabnya, gerakan-gerakan solat tersebut kemudian, di jadikannya program meditasi di pasukan yg dia pimpin dan ternyata sebagian besar perajurit setelah mempraktikkan gerakan-gerakan solat tersebut merasakan perkara yg sama, mereka juga merasa lebih tenang dan damai..

Sejak itu Kapten San berinisiatif mempelajari Islam untuk mengenali dengan lebih mendalam lagi, dan akhirnya dia memutuskan untuk memeluk Islam. Ketika niatnya ingin memeluk Islam disampaikan kepada perajurit-perajuritnya, dia berkata:
“aku telah menemui cahaya kehidupan yang sesungguhnya, aku ingin berada dalam cahaya itu, dan cahaya itu adalah Islam”.

Tanpa dia duga, secara spontan 37 orang askar di bawah pimpinannya mengangkat tangan mereka, sebagai tanda ikut bersama komandannya – untuk juga memeluk Islam.

Alhamdulillah-Allahu Akbar!

Friday, November 4, 2011

SELAMAT HARI RAYA QURBAN


 السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar walillahilhamd.

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi kita diberikan peluang untuk menyambut kedatangan bulan Zulhijjah yang di dalamnya terdapat suatu hari kebesaran - Hari Raya Aidil Adha yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ia adalah kemuncak kepada para jamaah haji yang berada di kota suci Makkah Al-Mukarramah.

Perhimpunan agung umat Islam di kota suci Makkah ini merupakan suatu lambang penyatuan dan pengorbanan. Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil iktibar dari konsep penyatuan dan pengorbanan ini agar ianya menjadi pencetus dan pembakar semangat kepada setiap diri kita untuk kita membina kejayaan, di dunia dan di akhirat, InsyaAllah. Amin Ya Rabbal'alamin.



Sekian, maaf zahir dan batin, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, November 1, 2011

TRADISI MENUNTUT ILMU DITERUSKAN PADA MUSIM CUTI SEKOLAH

Islam menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan sebagai petunjuk ke arah keimanan, kecemerlangan dan ketaqwaan di dunia dan akhirat. Firman Alla SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka yang berakal sahaja dapat menerima pelajaran". FirmanNya lagi, Allah akan meninggikan martabat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat."( Surah al-Mujadalah, ayat 11)


Dalam pencarian ilmu pengetahuan, ada beberapa peringkat yang mesti diikuti oleh seseorang muslim sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jadilah orang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima (tidak termasuk golongan di atas) kerana ia akan membinasakan kamu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Allah SWT memberikan jaminan kepada majlis ilmu sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” Baginda menyifatkan majlis ilmu sebagai taman syurga.
Saidina Ali menyatakan: “Sesiapa mengimpikan kehidupan dunia, maka dia perlu berilmu. Sesiapa mengimpikan kehidupan akhirat, maka dia perlu berilmu. Jika dia mengimpikan kedua-duanya, maka kedua-duanya perlukan ilmu pengetahuan.”

Imam Syafie (rahmatullah alaih) pernah mengungkapkan kata semangat sebagai panduan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu pengetahuan. Katanya: “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali kamu memiliki enam perkara iaitu kepintaran, keinginan, kesungguhan, kerendahan diri (zuhud), menghormati guru serta memerlukan masa panjang.”

Sehubungan dengan itu marilah kita mengambil kesempatan cuti sekolah yang panjang ini dengan menghantar anak-anak kita ke 'PROGRAM TAHFIZ MUSIM CUTI SEKOLAH 2011' anjuran Institut Tahfiz Al-Qur'an Profesional agar anak-anak kita terus menerus di dalam majlis ilmu dan terus menerus menimba ilmu dan mengamalkannya di sepanjang kehidupan mereka. Program yang berjalan selama sebulan ini amat bermanafaat sebagai pengisian masa cuti mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah.
Sedikit pengorbanan daripada ibubapa akan memastikan anak-anak kita mencapai kejayaan yang diimpikan. Akhir kata, ilmu yang membawa kepada keimanan yang mantap adalah ilmu yang sebenar yang perlu dipelajari bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT, juga membentuk peribadi yang mulia dan dipenuhi sifat-sifat yang terpuji.