Tuesday, August 16, 2011

NUZUL AL-QUR'AN


Pengertian - Nuzul Al Quran bermaksud penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Tarikh penurunan - Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli al-hadith, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Proses penurunan - Penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk  manusia sejagat.
Firman Allah s.w.t. dalam ayat 185 surah al Baqarah yang bermaksud
:“ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….”

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. - Tidak ada syak  lagi sepertimana Firman Allah s.w.t. dalam ayat 1-2 surah al Baqarah yang bermaksud: “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “


Kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya dalam  ayat 23 surah al Baqarah yang bermaksud: “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “.  Tiada satu golongan pun yang dapat menyahut cabaran Allah s.w.t sejak ia diwahtukan hinggalah ke hari ini!

Agama yang benar dan diredhaiNya - Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”.

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dipelajari, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai  akan khazanah ilmunya yang merangkumi seluruh urusan kehidupan manusia ke arah mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Umat Islam menjadi mulia, kuat, dan gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam.  

Selagi ajaran Al Quran dipegang teguh dan dipertahankan, selagi itulah Islam akan kukuh di hati penganutnya. Selagi itulah juga musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya. Tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya, tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh! Sempena sambutan Nuzul Al Quran, setiap lapisan masyarakat Islam tanpa mengira pangkat dan darjat perlu kembali kepada ajaran Al Quran yang suci ini menerusi aktiviti kelas pengajian Al Quran, program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Ikutilah di mana-mana sekalipun selagi ada kelas pengajian Al Quran.

InsyaAllah, generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan dan kekuatan akan lahir semula untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Amin Ya Jabbar!