Sunday, July 24, 2011

MENUJU RAMADHAN


Sekarang ini kita masih berada di dalam sisa-sisa hari bulan Sya’ban. Tidak berapa lama lagi sahaja insyaallah kita akan didatangai oleh suatu bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan. Ramadhan mempunyai terlalu banyak kelebihannya. Allah membuka pintu-pintu syurga, menutup pintu-pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia mensucikan diri mereka sesuci-sucinya. Adakah kita telah merebut ganjaran ini selama kita diberi peluang oleh Allah SWT melalui saat-saat Ramadhan yang lalu?

Pada bulan Ramadhan juga amalan-amalan ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib dan yang wajib menyamai 70 pahala wajib di bulan-bulan yang lain. Sudahkah kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat sebelum dan selepas solat Fardhu? Puasa-puasa sunat dan lain-lain lagi?

Di dalamnya juga terdapatnya Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Ramadhan yang bakal tiba inilah masa dan ketikanya untuk kita menanam azam untuk merebut segala keistimewaan yang dijanjikan Allah SWT. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka, tertinggal solat sunat tarawikh, 'iktiqaf pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar, kurang bersedekah, tidak membantu fakir, miskin, anak-anak yatim dan sebagainya, dan yang paling teruk kita meninggalkan kewajiban berpuasa itu sendiri. Maka pada tahun ini kita mengharapkan diberi peluang sekali lagi oleh Allah, kerana beberapa bulan yang lalu, beberapa minggu yang lalu, malah beberapa hari yang lalu, ada dikalangan penduduk Islam dunia, penduduk Islam di negara kita, di tempat kariah kita, malah ada juga mereka itu dikalangan ahli-ahli keluarga yang telah terlebih dahulu dijemput oleh Allah 'Azzawajalla untuk menemuiNya. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Maka lakukanlah dengan sesempurnanya di samping berdoa kepada Allah agar diberiNya kita semua kekuatan rohani, jasmani dan keikhlasan untuk beribadat semata-mata mencari keredhaanNya. Amin Ya Rabbal 'alamin.