Monday, March 28, 2011

BUDAYA MENYUMBANG SAMBIL MENCARI REZEKI

SETIAP manusia telah dijamin rezekinya oleh Allah. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.
Kerunsingan soal rezeki yang dimiliki adalah perkara biasa namun anggaplah semua itu sebagai suatu dugaan serta cabaran untuk lebih kuat dan cekal berusaha.
Sebagai hamba Allah yang beriman, teruskan berusaha kerana setiap kejayaan bukan sahaja memerlukan kerja keras tetapi juga tanpa berputus asa melaksanakannya. Ketahuilah dan yakinlah bahawa sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.  Redho dan tawakallah agar  Allah memberkati segala yang kita lakukan. Semua yang berlaku atas izin-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesungguhnya Allah menyampaikan urusanNya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).

Sikap memberi atau bersedekah membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.
Ia penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki seseorang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).
Oleh itu jalankan amanah kekayaan yang Allah kurniakan itu bagi membantu mereka yang memerlukan. Dalam rezeki Allah itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan. Berilah dalam kuantiti sedikit jika yang sedikit itu jua yang kita mampu kerana dalam sedikit itu terdapat keberkatannya.

Umat Islam patut mengambil pendekatan ‘menyumbang sambil mencari rezeki’ kerana menurut sabda Rasulullah SAW:
“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

Beri setakat mana termampu dahulu kerana sumbangan terkecil itu mampu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Allah berfirman:
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).
Selain dari harta, tenaga dan buah fikiran bagi mengajak manusia lain melakukan kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran juga adalah juga sedekah.

Untuk menyempurnakan amalan sedekah, eloklah diperhatikan beberapa perkara antaranya seperti berikut:
1.     Barang yang disedekahkan mestilah baik kerana ia adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah,
2.     Sesuatu yang disedekahkan mesti halal,
3.     Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah berfirman yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).
4.     Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
5.     Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan,
6.     Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).
7.     Pastikan niat kita ikhlas kerana Allah SWT kerana menderma untuk mendapat pujian, nama atau pangkat hanyalah sia-sia.

Setiap orang Muslim akan mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu ketika berada di dunia lagi seperti mudah menerima ilmu, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil.Manakala ganjaran di akhirat pula ialah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

Marilah kita amalkan ilmu yang kita miliki mudah-mudahan Allah akan memberkati nikmat rezki dan harta yang kita perolehi. Ketinggian dan kemuliaan nilaian amalan sedekah kita adalah terletak kepada niat ikhlas semata-mata kerana Allah dan menepati cirri-ciri yang disebutkan di atas tadi. Adalah diharapkan agar semua warga Institut Tahfiz Al-Quran Profesional Subang 2 (I.T.A.P.), para ibubapa dan sekelian muslimin dan muslimat dimudahkan Allah SWT untuk menjalankan ibadah ‘menyumbang sambil mencari rezeki’ demi kebaikan ummah dan ganjaran berterusan di akhirat kelak. Wallahu aklam.