Sunday, March 20, 2011

ARAK BUKAN PENENANG, AL-QURAN ADALAH

Minggu lepas merupakan kali pertama saya bertemu dengan seorang remaja sedang berjalan sendirian di taman perumahan. Kali ini yang pertama kerana agak ganjil sedikit. Perasaan saya secara tiba-tiba tersentuh, terbit kasih-sayang sesama Islam yang ingin melihat saudaranya terselamat dari sentuhan api neraka. Apabila melihatnya berjalan sambil memegang tin minuman, dalam keadaan hujan renyai-renyai, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Lantaran itu saya terus memberhentikan kereta di tepi jalan dan menghampiri remaja tersebut. Timbul perasaan cemas akibat bimbangkan perkara yang diluar jangkaan ataupun tindakbalas agresif dari remaja tersebut. Degupan jantung saya semakin kuat namun masih memberanikan diri kerana tanggungjawab insani yang mungkin akan dipersoalkan kelak oleh Ilahi.

     "Assalamualaikum, siapa nama saudara?" Beliau memperkenalkan diri lalu saya bertanya lagi, "Apakah yang kamu campakkan ke dalam tong sampah tadi?". "Tak ada apa-apa encik". "Baiklah biar saya ambil". Kebetulan..pada waktu itu ada seorang pengutip sampah. Beliau terus menghulurkan satu tin minuman keras yang baru sahaja dibuang oleh remaja tersebut. Saya terus merangkul bahunya sebagai tanda persahabatan dan bukanlah berhasrat untuk mencari pergaduhan. Rangkulan bahu itu juga untuk memberikan keselesaan kepadanya agar dapat memberikan jawapan yang saya ajukan. Seperti yang diharapkan, remaja tesebut amat berterus terang mengenai keluarganya, institusi pengajiannya sekarang, serta tempat tinggalnya. Dalam saat kecemasan menanti jawapannya, hidung saya sudah tidak tertahan lagi menghidu bau arak dari mulutnya lantas saya mengajukan soalan berbentuk amaran kepadanya, "Hendak saya bagitahu pihak kolej tentang perlakuan kamu ini?". "Jangan Encik, berilah saya peluang sekali lagi". "Baiklah, saya ada semua maklumat yang kamu beri tadi, saya tidak akan teragak-agak menghubungi pihak kolej sekiranya mendapati kamu mengambil arak sekali lagi. Pihak kolej akan mengambil tindakan membuang kamu dari meneruskan pelajaran". "Terimakasih Encik", balasnya ringkas. 

Setelah remaja berkenaan beredar pergi, saya masih teringatkan salah satu jawapan yang diberi.."Inilah kali pertama saya cuba minum. Nak cuba kurangkan tekanan perasaan". "Mashaallah, tersasar jauh sungguh fahaman kamu",balas saya sambil meneruskan ungkapan "arak adalah haram".

"Ubat penenang jiwa adalah Al-Quran", ujar saya lantas memberikan sedikit lagi peringatan kepada remaja tersebut melalui kisah sahabat Nabi SAW yang berikut:

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.


Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.

Malam terus berlalu, hujan renyai-renyai masih membasahi bumi. Remaja tersebut beredar pergi.