Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Wednesday, August 17, 2011

LAILATUL QADAR


Dalam bulan Ramadhan terdapat Lailatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
  • Menurut Ibnu ‘Abbas, ia merupakan malam penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-‘Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.
  • Beramal pada malam al-Qadar adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan  dalam bulan-bulan yang lain (kira-kira 83 tahun 4 bulan).
  • Pada malam itu juga, Jibril dan para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.   
  • Pada malam tersebut Allah mentakdirkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera hingga terbit fajar. Ada ulama’ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.
Bilakah akan munculnya malam al-Qadar? Jawapan bagi persoalan ini dijelaskan melalui sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
 
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
Janganlah kita mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menegaskan;
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي هَذَا الشَّهْرِ مِنَ الْخَيْرَاْتِ لَتَمَنَّوْا أَنْ يَكُوْنَ رَمَضَاْنُ اَلسَّنَةَ كُلَّهَا
“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung dan mendapat bertemu dengan Lailatul Qadar. Amin Ya Rahman Ya Rahim.

SAMBUTAN NUZUL AL-QUR'AN DI MASJID NEGERI SELANGOR


Pada 17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadhan 1432 Hijrah, pihak Institut Tahfiz Al Quran Profesional telah mengisi program nuzul Al Quran dengan membawa pelajar-pelajar dan guru-guru ke Masjid Negeri Selangor bagi mendengar ceramah oleh Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu dan solat sunat Tasbih berjamaah.

Pelajar-pelajar dan guru-guru telah berkumpul di sekolah pada jam 8 pagi dan bertolak dari Institut Tahfiz Al Quran Profesional pada jam 8.05 pagi dengan menaiki van sekolah. Seramai 7 orang pelajar dan 3 orang guru yang menyertai program ini telah tiba di Masjid Negeri pada jam 8.20 pagi dan ketika itu acara belum di mulakan lagi.

Kelihatan pencinta ilmu mula memenuhi ruang kuliah sheikh hampir jam 9 pagi dan dianggarkan seramai 200 orang yang menghadiri kuliah tersebut. Sheikh Muhammad Nuruddin tiba di kuliah pada jam 9.05 pagi dan program di mulakan dengan solat sunat Tasbih. Majlis diteruskan dengan bacaan zikir-zikir taubat dan Asma el Husna secara beramai-ramai diketuai oleh Tuan Sheikh sendiri dan di akhiri dengan doa. Setelah berzikir, majlis diteruskan dengan siri pengajian dan diskusi oleh Tuan Sheikh. Setelah selesai, sesi soal jawab di buka kepada hadirin yang hadir untuk di kongsi dan dibincangkan.

Majlis tamat pada jam 11.40 pagi dan diakhiri dengan doa, selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan bersalam-salaman. Pelajar-pelajar dan guru-guru tiba di perkarangan sekolah pada jam 12.30 tengahari.

Tuesday, August 16, 2011

NUZUL AL-QUR'AN


Pengertian - Nuzul Al Quran bermaksud penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Tarikh penurunan - Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli al-hadith, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Proses penurunan - Penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk  manusia sejagat.
Firman Allah s.w.t. dalam ayat 185 surah al Baqarah yang bermaksud
:“ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….”

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. - Tidak ada syak  lagi sepertimana Firman Allah s.w.t. dalam ayat 1-2 surah al Baqarah yang bermaksud: “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “


Kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya dalam  ayat 23 surah al Baqarah yang bermaksud: “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “.  Tiada satu golongan pun yang dapat menyahut cabaran Allah s.w.t sejak ia diwahtukan hinggalah ke hari ini!

Agama yang benar dan diredhaiNya - Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”.

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dipelajari, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai  akan khazanah ilmunya yang merangkumi seluruh urusan kehidupan manusia ke arah mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Umat Islam menjadi mulia, kuat, dan gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam.  

Selagi ajaran Al Quran dipegang teguh dan dipertahankan, selagi itulah Islam akan kukuh di hati penganutnya. Selagi itulah juga musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya. Tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya, tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh! Sempena sambutan Nuzul Al Quran, setiap lapisan masyarakat Islam tanpa mengira pangkat dan darjat perlu kembali kepada ajaran Al Quran yang suci ini menerusi aktiviti kelas pengajian Al Quran, program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Ikutilah di mana-mana sekalipun selagi ada kelas pengajian Al Quran.

InsyaAllah, generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan dan kekuatan akan lahir semula untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Amin Ya Jabbar!

Monday, August 15, 2011

RAMADHAN - HIDUPKAN HATI DAN BANGKITKAN KEGHAIRAHAN UNTUK BERIBADAT DI SEPANJANG MASA


Mendalami kelebihan-kelebihan Ramadhan
Hadith-hadith Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan perlu dibaca dan diulang-ulang bacaannya kepada diri, keluarga dan masyarakat agar timbul perasaan keinginan dan keghairahan untuk menunaikan puasa Ramadhan seperti Rasulullah s.a.w., para sahabat r.a. dan para kekasih Allah. Antara hadith Nabi s.a.w. yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan adalah:
a) Ramadhan adalah penghapus dosa
Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.;
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ، إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim)
b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan
Sabda Rasulullah s.a.w;
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفَّدتِ الشَّياطينِ ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءٌ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ
“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)”. Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)
c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan
Sabda Rasulullah s.a.w.;
أُعْطِيَتْ أُمَّتِيْ فِي شَهْرِ رَمَضَاْنَ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ نَبِيٌّ قَبْلِيْ: أَمَّا الوَاْحِدَةُ فَإِنَّهُ إِذَا كَاْنَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَاْنَ نَظَرَ اللهُ إِلَيْهِمْ وَمَنْ نَظَرَ اللهُ إِلَيْهِ لَمْ يُعَذِّبْهُ أَبَدًا، وَأَمَّا الثَّانِيَةُ: فَإِنَّ خُلُوْفُ أَفْوَاْهُهُمْ حِيْنَ يُمْسُوْنَ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ، وَأَمَّا الثَّاْلِثَةُ: فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَسْتَغْفِرُ لَهُمْ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، وَأَمَّا الرَّاْبِعَةُ: فَإِنَّ اللهَ تعالى يَأْمُرُ جَنَّتَهُ فَيَقُوْلُ لَهَا: اِسْتَعِدِّيْ وَتَزَيَّنِيْ لِعِبَاْدِيْ أَوْشَكَ أَنْ يَسْتَرِيْحُوْا مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا إِلَى دَاْرِي وَكَرَامَتِيْ، وَأَمَّا الْخَاْمِسَةُ: فَإِنَّهُ إِذَا كَاْنَ آخِرُ لَيْلَةٍ غَفَرَ اللهُ لَهُمْ جَمِيْعًا، فَقَاْلَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: أَهِيَ لَيْلَةُ الْقَدْرِ؟ قَالَ: لاَ أَلَمْ تَرَ إِلَى الْعُمَّالِ يَعْمَلُوْنَ فَإِذَا فَرِغُوْا مِنْ أَعْمَالِهِمْ وُفُّوْا أُجُوْرَهُمْ.
“Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu;
Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya.
Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu”.
Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; ‘Adakah malam itu Lailatul Qadar?’. Jawab Rasulullah; ‘Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”.
(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)


Semoga kita berterusan di berikan kekuatan, semangat, keindahan, keseronokan dan keikhlasan oleh Allah swt untuk menjalani ibadah puasa pada kali ini. Aamin Ya Rabbal 'Alamin.

Monday, July 25, 2011

PERSIAPAN RAMADHAN 1 - ILMU ASAS KESEMPURNAAN


Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara’. Di ruangan ini hanya disentuh secara ringkas ilmu-ilmu tentang puasa yang merangkumi, namun tidak terhad kepada perkara-perkara berikut:
  1. Dalil wajib puasa melalui ayat-ayat Al-Qur'an dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.
  2. Pengertian puasa dari segi bahasa dan syara'
  3. Rukun puasa
  4. Syarat wajib puasa
  5. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
  6. Perkara-perkara yang sunat dilakukan ketika berpuasa
  7. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
  8. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa seseorang muslim kepada tiga bahagian;
1. Puasa orang awam : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan kemaluan dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).
2. Puasa khusus : iaitu selain dari menahan perut dan kemaluan dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, seseorang muslim yang berpuasa itu juga menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan perbuatan yang haram dan dosa.
3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa sepertimana golongan yang kedua tadi bahkan menambah lagi dengan menahan hati dari segala fikiran yang kotor dan keduniaan yang memesongkan perhatian dirinya dari mengingati Allah SWT.
Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menahan diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menahan diri dan hati dari maksiat dan dosa. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah. Malah bersangka buruk dengan manusia, apatah lagi dengan Allah SWT adalah dilarang.

Marilah kita bersama-sama mendalami ilmu-ilmu tentang puasa ini dengan menghadiri kuliah, ceramah dan tazkirah Ramadhan mulai detik sekarang ini,  di sepanjang bulan Ramadhan sehinggalah tamat bulan Ramadhan al-Mubarak. Kita juga boleh merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar sebagai panduan untuk mengharungi ibadah puasa, mudah-mudahan puasa kita diterima Allah. Semoga Allah SWT memberikan keredhaanNya kepada kita semua di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal 'alamin.


Sunday, July 24, 2011

MENUJU RAMADHAN


Sekarang ini kita masih berada di dalam sisa-sisa hari bulan Sya’ban. Tidak berapa lama lagi sahaja insyaallah kita akan didatangai oleh suatu bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan. Ramadhan mempunyai terlalu banyak kelebihannya. Allah membuka pintu-pintu syurga, menutup pintu-pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia mensucikan diri mereka sesuci-sucinya. Adakah kita telah merebut ganjaran ini selama kita diberi peluang oleh Allah SWT melalui saat-saat Ramadhan yang lalu?

Pada bulan Ramadhan juga amalan-amalan ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib dan yang wajib menyamai 70 pahala wajib di bulan-bulan yang lain. Sudahkah kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat sebelum dan selepas solat Fardhu? Puasa-puasa sunat dan lain-lain lagi?

Di dalamnya juga terdapatnya Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Ramadhan yang bakal tiba inilah masa dan ketikanya untuk kita menanam azam untuk merebut segala keistimewaan yang dijanjikan Allah SWT. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka, tertinggal solat sunat tarawikh, 'iktiqaf pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar, kurang bersedekah, tidak membantu fakir, miskin, anak-anak yatim dan sebagainya, dan yang paling teruk kita meninggalkan kewajiban berpuasa itu sendiri. Maka pada tahun ini kita mengharapkan diberi peluang sekali lagi oleh Allah, kerana beberapa bulan yang lalu, beberapa minggu yang lalu, malah beberapa hari yang lalu, ada dikalangan penduduk Islam dunia, penduduk Islam di negara kita, di tempat kariah kita, malah ada juga mereka itu dikalangan ahli-ahli keluarga yang telah terlebih dahulu dijemput oleh Allah 'Azzawajalla untuk menemuiNya. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Maka lakukanlah dengan sesempurnanya di samping berdoa kepada Allah agar diberiNya kita semua kekuatan rohani, jasmani dan keikhlasan untuk beribadat semata-mata mencari keredhaanNya. Amin Ya Rabbal 'alamin.