Wednesday, February 2, 2011


INSAN PILIHAN ALLAH..
Antara banyak-banyak perkataan yang diucapkan oleh manusia, tiada satu pun yang menyamai kehebatan kata-kata Tuhan iaitu Al-Quran, Kalam Allah. Hebatnya kata-kata Allah ini sehinggakan tiada siapa pun mampu mencipta kata-kata yang seindah dan seagung Al-Quran. Bahkan Allah sendiri mencabar makhluknya yang berakal ini untuk menukilkan hanya sepatah perkataan yang menyamai kata-katanya.
                Ribuan tahun sudah berlalu, walau semahir mana pun manusia, sekalipun dia adalah seorang Arab dan fasih berbahasa Arab, namun untuk meniru kata-kata Allah, adalah mustahil. Indahnya kata-kata Allah ini sehinggakan pujangga-pujangga Arab zaman Jahiliyyah pun cukup kagum dengan susunan kata-kata ini. Perlu diingat, tatkala Allah menurunkan kata-kataNya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW), dunia Arab sedang berada di puncak yang tinggi dalam dunia kesusasteraan.
                Masyarakat Arab memandang tinggi terhadap sastera bahasa terutama sekali susunan-susunan syair yang saban tahun dipertandingkan di pelusuk jazirah Arab. Syair terbaik kemudiannya akan di gantungkan pada Kaabah sebagai tanda penghargaan kepada penulisnya. Namun apabila kata-kata Allah ini disampaikan kepada Rasul SAW, masyarakat Arab yang cinta pada seni bahasa, merasa teramat ta’jub dan kagum dengan keindahan bahasa Al-Quran. Tidak pernah mereka mendengar susunan kata-kata seindah al-Quran.
                Itulah Al-Quran, kata-kata Allah yang amat hebat. Dan bukan itu sahaja, bahkan Al-Quran adalah kata-kata yang penuh dengan kekudusan dan kesucian kerana yang ‘menuturkannya’ adalah Allah yang Maha Suci.
   Pernahkah anda membacanya? Alangkah bertuahnya manusia. Tuhan yang menjadikan mereka telah sudi mengizinkan agar kata-kataNya dibaca oleh lidah-lidah mereka. Tidak banggakah kita kerana diberi keizinan untuk membaca kalam Allah yang suci itu?
   Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Barangsiapa Allah kehendaki padanya kebaikan, maka diberi kepadanya kefahaman dalam agama”( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).
                Tapi, tahukah kita, bahawa keizinan hanya diberikan Allah pada orang-orang yang tertentu sahaja? Tidak semua manusia diizinkan untuk membaca kata-kataNya. Kerana keizinan membaca kalam Allah adalah sebenarnya satu penghormatan yang Allah berikan kepada manusia. Kerana yang dibaca itu bukan syair, bukan gurindam, dan bukan juga sajak. Ia adalah suatu Mukjizat yang Suci lagi Mulia. Mana mungkin sesuatu yang Terlalu Suci dan Kudus boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.
                Maksudnya, orang yang diberi peluang membaca kalamNya adalah orang-orang yang Allah pilih. Kita sendiri pun, kalau ada sesuatu yang istimewa, tentu apabila nak diberikan kepada seseorang, kita akan memilih orang-orang yang tertentu sahaja. Apatah lagi Tuhan (Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT)), yang ingin memberikan manusia peluang membaca kalamNya yang mulia. Dan tentunya Dia akan memilih orang-orang yang Dia kehendaki sahaja.
                Persoalannya, siapakah mereka? Apabila hati tergerak untuk membaca Al-Quran dan apabila lidah kita sudah dapat membaca Al-Quran, ketahuiah bahawa kita telah dipilih oleh Allah SWT untuk membaca kata-kataNya. Itu kita lakukan bukan atas kehendak kita, tapi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Kita tidak akan dapat membacanya kalau Allah SWT tidak mengizinkan. Alangkah bertuahnya kita ketika itu kerana diberi peluang dan kesempatan membaca Kalam Allah. Apakah itu bukan sesuatu yang cukup istimewa? Seorang makhluk seperti kita yang hina menuturkan kata-kata Allah yang Yang Maha Mulia. Subhanallah….!!!

   Ketahuilah bahawa kita telah diberikan satu anugerah yang cukup besar kerana dapat membaca Kalam Tuhan. Dan ketahuilah bahawa tidak semua manusia diberi Allah anugerah seperti itu. Oleh itu, bila kita telah dapat membacanya, maka rasakanlah bahawa Allah ingin berkata-kata dengan kita melalui susunan ayat-ayatNya. Apabila kita faham bahawa Allah SWT bercakap-cakap dengan kita maka dengarkanlah dan hayatilah maksudnya. Fahamilah apa yang Dia ingin maklumkan kepada kita. Tidakkah itu sesuatu yang cukup indah??
Dan di antara sekalian manusia yang  Dia beri keizinan membaca kalamNya, ada juga segolongan manusia yang Dia jadikan tempat simpanan kata-kataNya. Dia pilih orang-orang ini untuk menyimpan KalamNya dengan cara menghafaz seluruh isi Al-Quran. Alangkah bertuahnya mereka ini. Dipilih untuk menjadi tempat simpanan Kalam yang Suci lagi Mulia.
                Kalau yang ingin disimpan itu suci, maka tempat simpanan itu juga perlu suci. Justeru itu, sudah tentulah hati-hati tempat simpanan Kalam Allah ini adalah hati-hati yang suci. MashaAllah!! alangkah bertuahnya para Huffaz. Mereka terpilih untuk tujuan yang maha suci ini.
                Apakah anda termasuk dalam golongan ini? Kalau anda dapat menghafaz Kalam Allah pastinya anda juga telah terpilih untuk tugas yang murni ini. Alangkah bertuahnya anda! Sudah tentu Allah SWT pilih anda sebab hati anda bersih. Jagalah hati anda terus. Janganlah ia dikotori. Sebab.., dengan mengotori hati (melakukan perkara-perkara dosa, kecil atau besar), anda hanya akan menyebabkan Alah menarik semula kelayakan anda untuk menjadi tempat simpanan kata-kataNya.
               
 Itulah hakikat pembacaan dan penghafalan Kalam Allah iaitu al-Quran. Dan itulah sebabnya kita kena senantiasa berdoa agar Allah SWT mengizinkan kita membaca dan menghafal KalamNya. Hanya dengan keizinan Allah SWT sahajalah maka kita akan dapat membaca dan menghafalnya. 

Sebuah Hadith Riwayat Ibnu Majah  menerangkan fadhilat/kelebihan orang-orang yang menghafal Al-Quran : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.”
                Manakala Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim pula membawa maksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya”.
               
            Anak-anak yang membaca dan mengamalkan al-Quran juga boleh mejadi penyebab untuk ibubapa mendapat kemuliaan seperti maksud sebuah Hadith Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud : “Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. “
 
                Oleh itu jika kita mahu diri kita menjadi gudang simpanan Kalamullah yang Mulia lagi Suci ini, maka bersihkanlah hati. Kerana Allah hanya akan letakkan kata-kataNya di dalam hati yang suci dan bersih sahaja kerana Dia tidak mahu Kesucian dan Kemuliaan KalamNya tercemar oleh hati yang kotor. Rebutlah peluang ini, dan didoakan semua pembaca blog ini menjadi orang-orang yang dipilih oleh Allah, yakni Insan Pilihan Allah. Amin Ya Rabbal ‘alamin.