Wednesday, November 21, 2012

BERPUASA SUNAT DI BULAN MUHARRAM


Maksud Hari Asyura
Hari Asyura bermaksud hari ke 10 daripada Bulan Muharram. Pada zaman jahiliah, bangsa Arab terutamanya kaum Quraisy sangat menghormati hari Asyura. Mereka melakukan puasa dan menggantikan kelambu ( kiswah) yang menutupi Kaabah.Pada asalnya, iaitu pada tahun pertama umat Islam berada di Madinah, puasa hari Asyura adalah wajib. Namun setelah perintah kewajipan menunaikan puasa Ramadhan setahun kemudian, ia menjadi puasa sunat sahaja.Kelebihan puasa Asyura ialah puasa pada hari itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya (Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah).
Hari apakah kita disunatkan berpuasa  Asyura?

Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadith  yang bermaksud, “Pada hari Rasulullah SAW berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah SAW bersabda, tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah SAW wafat”.
Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja.
Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.