Wednesday, August 3, 2011

TEGURAN


Dalam meniti kehidupan ini kita semua tidak boleh lari dari membuat kesilapan samada secara sedar ataupun tidak. Itu adalah hikmah yang hanya Allah mengetahui kebaikannya. Sebab itu diadakan saranan untuk sentiasa beristighfar moga dengan itu dosa-dosa yang kita lakukan dapat diampunkan oleh Allah swt.

Apabila bercakap pasal kesilapan ini, ada kesilapan yang besar dan ada kesilapan yang kecil. Selagi kesilapan itu tidak menjejaskan aqidah maka sebagai mukmin kita harus berlapang dada dan berusaha untuk membaiki dengan segala kemampuan yang ada. Punca kesilapan ini juga pelbagai, ada kerana desakan ekonomi rumahtangga, ada disebabkan dorongan merebut kekuasaan, ada disebabkan desakan kawan-kawan sekelililng, ada disebabkan dorongan nafsu serakah, ada juga disebabkan faktor suasana sekeliling.

Tidak ada seorang pun boleh mendabik dada mengatakan bahawa beliau tidak pernah membuat dosa. Kita bukan malaikat.  Cuma dalam banyak keadaa kita melihat dosa itu hanya pada apa yang kita lihat dengan mata kasar saja seperti rasuah, menipu, mencuri, membunuh, berzina dan yang seumpamanya. Namun sedikit dari kita yang mengetahui bahawa dosa-dosa “tersembunyi” yang ada dalam diri kita itu tidak kurang bahayanya seperti takabbur, riak, ujub, bakhil dan seumpamanya. Boleh saja amalan kita terhapus dengan dosa-dosa ini dan di campakkan ke dalam neraka, nauzubillah. Selagi dosa itu tidak membawa kepada terkeluar dari islam maka sikap kita ialah cuba untuk membaikinya sedaya yang mampu.

Di Malaysia, secara umumnya umat Islam, tidak kira golongan mana, walau sebanyak mana pun dosa yang mereka lakukan, namun mereka masih bangga dengan agama Islam. Malah mereka akan sama-sama bersatu tanpa mengira dari parti atau kumpulan mana menentang mana-mana pihak yang menghina Islam. Inilah prinsip yang mesti dipegang dan dijaga oleh semua umat Islam.

Rasulullah saw pernah menegur Khalid Al Walid kerana membunuh tentera musuh yang mengucap 2 kalimah syahadah dalam satu peperangan walaupun Khalid berhujah bahawa tentera itu hanya berhelah.

Berbaik dengan pelaku dosa bukan bermakna kita redha dengan perbuatan mereka ataupun mahu bersekongkol dengan dosa yang mereka lakukan. Tetapi ke arah mengislah mereka. Ini kadangkala sukar untuk difahami oleh masyarakat... Allahuakhbar!