Friday, December 14, 2012

GURU TAHFIZ, GURU AGAMA DAN GURU AKADEMIK DIPERLUKAN


Permohonan adalah dipelawa dari kalangan calon-calon yang berkelayakan untuk mengajar Al-Quran dan Hafazan, mengajar matapelajaran agama untuk sekolah rendah dan menengah atau pun mengajar matapelajaran akademik sejajar dengan pertambahan bilangan pelajar serta kemajuan Institut Tahfiz Al-Quran Profesional.

Kelayakan untuk dipertimbangkan ke jawatan-jawatan tersebut ialah :
1) STAM / STPM
2) SIJIL / DIPLOMA AL-QUR'AN
3) IJAZAH DALAM PELBAGAI BIDANG.

Pengalaman mengajar walaupun penting tetapi bukanlah syarat utama. Minat dan keihklasan untuk mendidik generasi Akl-Qur'an dengan ilmu-ilmu agama, keimanan dan ketaqwaan, akhlak yang mulia serta ilmu akademik demi kelangsungan masa depan duniawi dan ukhrawi para pelajar adalah diutamakan.

Hantarkan surat permohonan beserta resume anda ke alamat email: tahfizprofesional@gmail.com. Anda akan dihubungi untuk sesi temuduga dengan segera insyaallah.

Wednesday, November 21, 2012

BERPUASA SUNAT DI BULAN MUHARRAM


Maksud Hari Asyura
Hari Asyura bermaksud hari ke 10 daripada Bulan Muharram. Pada zaman jahiliah, bangsa Arab terutamanya kaum Quraisy sangat menghormati hari Asyura. Mereka melakukan puasa dan menggantikan kelambu ( kiswah) yang menutupi Kaabah.Pada asalnya, iaitu pada tahun pertama umat Islam berada di Madinah, puasa hari Asyura adalah wajib. Namun setelah perintah kewajipan menunaikan puasa Ramadhan setahun kemudian, ia menjadi puasa sunat sahaja.Kelebihan puasa Asyura ialah puasa pada hari itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya (Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah).
Hari apakah kita disunatkan berpuasa  Asyura?

Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadith  yang bermaksud, “Pada hari Rasulullah SAW berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah SAW bersabda, tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah SAW wafat”.
Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja.
Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.

Monday, May 28, 2012

GURU I.T.A.P TERPILIH 10 FINALIS IMAM MUDA

Rancangan bercorak keagamaan, 'Imam Muda' telah mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan anak muda dalam program yang menyebarkan dakwah melalui hiburan keluarga.

Imam Muda diteruskan lagi di Astro Oasis untuk tahun ketiga dengan musim baru Imam Muda 3.Di terajui oleh Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz yang bertindak selaku Mudir (Pengetua) dan dibantu oleh 12 orang tenaga pembantu Alumni Imam Muda 1 dan 2 dan hos nya pula ialah Ustaz Akhil Hayy.


 
Institut Tahfiz Al-Qur'an Profesional (I.T.A.P.) memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana calonnya Imam Muda M.Nasir berjaya terpilih ke dalam 10 finalis Imam Muda 3.

Saksikan, mulai hari ini, 28 Mei 2012 dan hari-hari yang berikutnya:

  • Episod Ujian Imam Muda - 28 - 31 Mei 2012 jam 6.30 petang
  • Medan Imam Muda - setiap Jumaat mulai 1 Jun 2012 jam 9.00 malam
  • Kapsul Imam Muda - setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.50 petang.
Seluruh warga I.T.A.P. mendoakan kejayaan Imam Muda M.Nasir dan dapat memperluaskan lagi skop dakwah ke seluruh alam. Amin Ya Rabbal 'alamin.



Wednesday, April 4, 2012

As-Syahid Syed Qutub menjelaskan dalam kitabnya  Maa'lim fit-tariq, bahawa para sahabat Rasulullah SAW adalah generasi Al-Quran yang terbaik sesuai dengan Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:
"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk  umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".  

Untuk melahirkan kembali generasi Al-Quran beliau menggariskan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan di kalangan generasi sahabat terdahul seperti berikut:
  •  Umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, Al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.

  • Umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam Al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata, tetapi ia mesti difahami dan diamalkan. 

  • Syed Qutub turut menegaskan bahawa umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.

Sunday, March 18, 2012

PENCAPAIAN CEMERLANG PROGRAM MAC 2012

Pada 11 Mac 2012, pihak Institut Tahfiz Al Quran Profesional (I.T.A.P) telah mengadakan Program Tahfiz Musim Cuti Sekolah siri ke 8 selama 3 hari 2 malam yang bertempat di Institut Tahfiz Al Quran Profesional. Seramai 27 orang peserta telah menyertai program ini dan seramai 7 orang guru telah terlibat sepenuhnya sebagai fasilitator program. Setelah tamat pendaftaran peserta, peserta-peserta program berhimpun di ruang legar sekolah bagi sesi suai kenal. Di mulai dengan bacaan Asma’ al Husna, iqrar dan seterusnya Pengarah Program telah menyerahkan jadual program kepada semua peserta. Peserta diberikan taklimat secara ringkas berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang program tersebut. Di antara pengisian program ini adalah membaca ayat suci Al Quran secara bertilawah. Klinik tajwid juga diadakan bagi mengenalpasti masalah bacaan peserta. Selain itu, kelas menghafaz juga diadakan mengikut tahap. Tahap juz 30 (surah An Nas hingga surah Ad Dhuha) dan tahap hafazan juzuk satu (1)
Walaupun seharian mereka bersama Al Quran, peserta-peserta juga disediakan aktiviti luar seperti permainan sukaneka yang dilaksanakan setiap petang dan tayangan ilmiah selama 15 minit sebelum peserta menamatkan program malam dengan bacaan surah Al Mulk. Selain itu juga peserta juga diperdengarkan tazkirah agama (peringatan tentang tuntutan agama) pada sebelah siang selama 15 minit setiap selepas solat Zohor dan diperdengarkan juga hadis-hadis Rasulullah S.A.W selama 15 minit setiap malam sebelum menunaikan solat Isya’. Peserta juga diajarkan zikir-zikir mudah,  nilai-nilai murni dan adab-adab Islam sepanjang program agar mereka terus mempraktikkan amalan-amalan tersebut.
            Pada hari terakhir program, peserta di uji kekuatan hafazan surah-surah yang dihafaz dalam bentuk pertandingan. Perujian hafazan diadakan dari awal pagi hingga jam 9.50 pagi. Setelah itu, peserta berhimpun diruang yang telah disediakan bagi meraikan majlis penutup program dan majlis penyampaian hadiah serta sijil kepada semua peserta. Ibu bapa mula hadir dan duduk bersama meraikan majlis tersebut. Majlis dimulai dengan zikir, bacaan Al Fatihah dan disusuli dengan ucapan Pengarah Program.  Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak, ibu bapa, fasilitator-fasilitator, dan terutama sekali kepada peserta yang menyertai program ini. Beliau menyatakan bahawa selagi mana wujudnya ketaatan di dalam urusan agama, segala perbuatan pasti membuahkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Beliau mengharapkan ilmu yang diperolehi dapat terus diamalkan agar memperoleh manfaatnya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang peserta hafazan tahap surah-surah lazim, pemenang peserta juzuk 1, pemenang pertandingan sukaneka, cenderahati kepada peserta yang tidak memenangi sebarang pertandingan dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta. Penyampaian hadiah disampaikan oleh semua fasilitator secara bergilir-gilir dan majlis diakhiri dengan bacaan doa. Peserta-peserta dan fasilitaor bersalam-salaman diiringi selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Semua peserta pulang dengan rasa gembira bersama-sama ibu-bapa dan keluarga masing-masing. I.T.A.P mengalu-alukan peserta-peserta dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai Program Tahfiz Cuti Sekolah I.T.A.P pada masa hadapan May - Jun 2012, Nov - Dis 2012. Modul pembelajaran sepanjang program berubah-ubah untuk memberikan keseronokan mendampingi dan menghafaz al-Qur'an kepada kesemua peserta. Untuk tempahan tempat yang terhad, ibubapa boleh menghubungi Institut Tahfiz Al-Quran Profesional melalui email: tahfizprofesional@gmail.com atau sms ke : 013-2838323.  I.T.A.P mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum!

Thursday, March 1, 2012

CINTA HAKIKI CINTA ILAHI


Cuba lihat lirik lagu ini.. Lirik lagu Rabi’atul Adawiyyah (In-Team)

“Engkau bermula dengan sengsara, dalam mencari bahagia, terasa bagai bayang-bayang, gelap walau disuluh cahaya.. Pepasir pantai pun berubah, pabila hakikat melanda, ketenangan yang kau cari terpancar di lorong sufi, kau hiasi rumah kasih abadi, sering menghiasi singgah sanamu, kau berjaya merubah segala, kasih semalam menjadi esok, kelunakan tangisan kasihmu, dalam simpuhan ketaatan, bagi mengharapkan keredhaan, darimu Tuhan Pencipta alam, Rabi’atul Adawiyyah, serikandi yang tercipta, sungguh agung pengabdianmu, kau berjaya menjadi iktibar, asmaramu dihampar suci, pintalan dari awanan putih, membuahkan titisan rahmat, menyuburkan mawar yang layu. namamu menjadi sanjungan, ikutan ummah sepanjang zaman, ayuh bersama kita susuli, perjalanan kekasih Allah..”

            Teman, nah, bila lagu ini didendangkan dan berkumandang, ramai yang terpukau. Paling tidak pun, alunannya tidak membosankan telinga yang mendengar. Iramanya cukup syahdu sehingga menarik perhatian ramai pendengar. Tidaklah dapat dipastikan punca yang menjadi daya tarikannya. Apakah pada lagunya, senikatanya, suara kumpulan In Team ini ataupun pada diri Rabi’ah itu sendiri (kisah wanita yang riwayat hidupnya dikisahkan didalam lagu tersebut).. hmm..?

            Pernahkah anda bertanya, siapakah Rabi’ah dalam lagu ini? Mengapakah kisahnya cuba diketengahkan semula setelah sekian lama ia terpendam di dalam lipatan sejarah? Apa istimewanya wanita yang bernama Rabi’ah ini dan mengapakah riwayat hidupnya perlu kita selusuri, kita kaji, kita teliti dan seterusnya kita contohi?

            Rabi’ah lahirnya dari sulbi seorang lelaki miskin, Ismail ‘Adawiyyah di tengah-tengah kota Basrah. Selepas kelahiran 3 orang puteri, pasangan suami isteri ini amat-amat mengharapkan seorang putera. Namun kehendak manusia tidak dapat menandingi kehendak Tuhannya. Anak keempat mereka ini pun lahir sebagai seorang puteri. Kerana sedikit kecewa, tiada nama yang indah diberikan pada bayi ini selain ‘Rabi’ah’ yang membawa maksud ‘keempat’.

            Biarlah kelahiran Rabi’ah tidak disambut meriah, tapi Tuhan tetap mahukan Rabi’ah dimuliakan. Maka bermimpilah Ismail bertemu Rasulullah S.A.W. Baginda mengkhabarkan kepadanya bahawa anak keempatnya itu adalah manusia pilihan Tuhan. Meskipun namanya tak seindah disebut manusia, tapi dia cukup terkenal di alam para Malaikat.

            Rabi’ah membesar dalam pemeliharaan Allah. Semenjak dia mula tahu membezakan apa yang baik dengan yang buruk, dia sudah dididik untuk mengenal Tuhannya. Begitulah keadaan Rabi’ah dari kecil hingga remaja. Dari remaja mencecah dewasa. Dari zaman dewasa hingga ke tua, masanya penuh terisi dengan usaha untuk mengenal Allah Ta’ala.

            Sehinggalah usaha-usahanya yang penuh ketulusan, diliputi dengan wangian keikhlasan telah mencambahkan benih-benih cinta pada Tuhan. Kemudian benih-benih cinta yang telah disemai sejak dia mula mengenali Allah itu, terus disuburkan dengan pelbagai bentuk ibadat. Namun tujuan ibadat Rabi’ah tidaklah seperti mana tujuan yang menjadi kebiasaan kebanyakkan manusia. Sebahagian besar manusia, bila melaksanakan satu-satu ibadah samada ia ibadah wajib, sunat atau harus, mereka lakukan dengan satu tujuan iaitu mendapatkan pahala sebanyak yang mungkin. Pahala itulah yang akan memungkinkan mereka layak menjejakkan kaki ke syurga Allah. Di samping itu, kebanyakan manusia juga berusaha untuk meninggalkan sebarang jenis kejahatan kerana khuatir mereka bakal menjadi penghuni neraka Tuhan.

            Paling tidak pun, itulah yang sering menjadi matlamat sebahagian besar manusia dalam beribadah kepada Allah. Namun bagi Rabi’ah syurga bukanlah yang menjadi idamannya.. dan bukanlah neraka menjadi kekhuatiran dirinya. Pernah dalam sebuah majlis, Rabi’ah bertanya kepada murid-muridnya “kalau ditakdirkan Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kalian akan terus menyembahnya?” Terkedu para hadirin. Bagaimana mahu menjawab persoalan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka selama ini. Lalu apakah sebenarnya tujuan Rabi’ah dalam beribadah? Pada persoalan ini, Rabi’ah menjelaskan pendiriannya, “aku menyembah Allah kerana Allah semata-mata. Cinta itulah yang menyebabkan aku merasa nikmat menyembahNya. Bukan kerana mahukan syurga atau takutkan neraka. Segala nikmat yang Dia berikan padaku itu pun, sudah cukup untuk membuatkan aku berdiri menyembahNya.”

            Begitulah kudusnya cinta Rabi’ah pada Tuhannya. Dia menyembah Allah atas dasar cinta, yang mana dari rasa cinta itulah terbitnya rasa rindu untuk selalu berdiri menyembahNya. Segala apa yang dia lakukan berupa ibadah, adalah atas dasar cinta, bukan kerana terpaksa. Tanda orang yang beribadah kerana terpaksa ialah bila sembahyang tidak merasakan kelazatannya, bahkan kewajipan-kewajipan itu semua dilakukan dalam keadaan rasa berat hati. Bia selesai sembahyang terasa lega. Lega sebab kewajipannya tertunai sudah.  Sedangkan bagi mereka yang beribadah kerana rasa cinta pada Allah kalau boleh dia mahu berlama-lama dalam sembahyang. Tak sanggup rasanya untuk berpisah dengan Tuhan yang dicintai. Kerana dalam sembahyanglah dia dapat mengadu tentang dirinya pada Allah. Itulah kesan daripada wujud rasa cinta kepada Allah. Waktu-waktu sembahyang sentiasa dinanti-nantikan seperti seseorang menanti-nanti hari untuk bertemu dengan kekasihnya….

            Begitulah ibdah Rabi’ah. Hidup penuh terisi dengan kecintaan pada Ilahi, sehinggakan hatinya tidak lagi ada lagi ruang untuk mencintai selain daripadaNya. Tidak sanggup Rabi’ah untuk menduakan cinta Tuhan dengan bercinta pada manusia, harta dan juga dunia. Rabi’ah hanya mahu bercinta dengan Tuhan kerana dia senang digelar hamba kepada Tuhan.
                                                      
            Itulah Rabi’atul Adawiyyah, perawan suci kota Basrah. Usahlah lagunya hanya menjadi halwa telinga sedangkan perjalanan hidup Rabi’ah tidak kita teladani. Teladanilah Rabi’ah, wanita terpilih menjadi wali Allah.

            Kita bercinta, Rabi’ah juga bercinta. Tapi yang pasti cinta Rabi’ah adalah cinta yang agung. Kerana Rabi’ah bercinta dengan Yang Kekal selama-lamanya.. Allahu Akhbar yang menciptakan insan seperti ini.

Wallahu’aklam.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, January 31, 2012

KASIHI RASULULLAH S.A.W.


Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah termasuk ke dalam hakikat iman:
i)      Dalilnya Firman Allah yang bermaksud:
 “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)
ii)     Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang        paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia yang lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Setiap diri hendaklah melihat ke dalam diri masing-masing, adakah ia telah benar-benar mencintai Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang sepatutnya.
Antara sifat-sifat orang-orang yang mencintai Rasulullah SAW adalah:
  • mengikuti dan mencontohi Nabi dalam beragama dari segi aqidah(menjauhi syirik). Firman Allah yang bermaksud :“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl, ayat 36)
  • mengamalkan sunnah-sunnah termasuk apa-apa yang dilakukan dan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam ibadah, mencintai orang-orang yang dicintai Rasulullah SAW seperti ahli keluarga Baginda SAW dan membenci musuh-musuh Allah SWT.
  • menyampaikannya kepada yang lain agar kebenaran terus kekal dan manusia terus menerus mengenal Allah dan mencintai Rasulullah SAW.
Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. sewajarnya adalah berterusan dari lahirnya insan ke dunia hinggalah ke akhir hayatnya. Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk mentaatiNya dan menuruti serta mencintai Baginda Rasulullah SAW. Amin.

Tuesday, January 17, 2012

ADAB-ADAB BELAJAR

Awal tahun merupakan saat penting untuk para pelajar, samada yang belajar secara formal melalui sekolah,kolej ataupun universiti, ataupun yang belajar secara tidak formal melalui kelas di surau, masjid dan sebagainya, untuk mengetahui adab-adab belajar agar ilmu yang dipelajari diberkati Allah dan mendapat hasil yang membanggakan. Di sini diperturunkan sebahagian dari adab-adab tersebut secara ringkas, untuk semakan dalam diri sendiri dan panduan semua: