Wednesday, September 21, 2011

PENILAIAN YANG ADIL, BETUL DAN SEIMBANG

Manusia mempunyai dua unsur iaitu baik dan jahat. Penilaian kita terhadap seseorang bergantung dari sudut mana kita melihatnya. Jika kita melihat seseorang pada unsur baik semata-mata, tentu kita akan menilainya sebagai manusia yang baik. Tetapi sebaliknya jika kita melihat dari sudut yang buruk sahaja, maka sudah pasti kita akan menilai dia sebagai manusia  yang jahat. Penilaian yang adil, betul dan seimbang hanya boleh dicapai apabila kita melihatnya dari kedua-dua sudut tersebut.

Al-Quran menjelaskan bahawa setiap insan muslim akan ditimbang amalan baik dan buruknya di akhirat kelak. Maka sesiapa yang amalan baiknya melebihi amalan buruknya, maka dia berjaya. Begitulah sebaliknya, insan yang amalan buruknya melebihi amalan baiknya, maka gagal lah dia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qariah ayat 6-11 yang bermaksud:
"Adapun orang yang berat timbangannya (amalan baik), maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sesiapa yang ringan timbangannya (amalan baik), maka tempat kembalinya ialah 'Haawiyah', Dan apa jalan engkau dapat mengetahui, apa dia 'Haawiyah' itu? (Haawiyah itu ialah):api yang panas membakar".
Setiap diri hendaklah merenung dan menilai dirinya sendiri. Maka sudah tentu dia akan insaf bahawa dia juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin. Terkadang-kadang, malah selalunya dosa batin itu melebihi dosa zahir seperti hasad dengki, buruk sangka, takabur, riya’, mengumpat, memfitnah, menuduh, menjadi ‘batu-api’ dan lain-lain lagi.
Masing-masing kita mempunyai rahsia keaiban yang
tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup
keaiban itu. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan
terdedah keaiban itu. Maka sewajarnya lah kita insaf, lalu
menjadilah kita insan yang lebih baik dan tawaduk dengan
memperbaiki amalan zahir dan batin insyallah. Amin ya
Rabbal ‘alamin.