No. 15-1 JALAN MATAHARI Z U5/Z, SUBANG 2,40170 SHAH ALAM. Email: tahfizprofesional@gmail.com Call/Whatsapp:018-7604505
Monday, February 18, 2013
Friday, December 14, 2012
GURU TAHFIZ, GURU AGAMA DAN GURU AKADEMIK DIPERLUKAN
Permohonan adalah dipelawa dari kalangan calon-calon yang berkelayakan untuk mengajar Al-Quran dan Hafazan, mengajar matapelajaran agama untuk sekolah rendah dan menengah atau pun mengajar matapelajaran akademik sejajar dengan pertambahan bilangan pelajar serta kemajuan Institut Tahfiz Al-Quran Profesional.
1) STAM / STPM
2) SIJIL / DIPLOMA AL-QUR'AN
3) IJAZAH DALAM PELBAGAI BIDANG.
Pengalaman mengajar walaupun penting tetapi bukanlah syarat utama. Minat dan keihklasan untuk mendidik generasi Akl-Qur'an dengan ilmu-ilmu agama, keimanan dan ketaqwaan, akhlak yang mulia serta ilmu akademik demi kelangsungan masa depan duniawi dan ukhrawi para pelajar adalah diutamakan.
Hantarkan surat permohonan beserta resume anda ke alamat email: tahfizprofesional@gmail.com. Anda akan dihubungi untuk sesi temuduga dengan segera insyaallah.
Wednesday, November 21, 2012
BERPUASA SUNAT DI BULAN MUHARRAM
Maksud Hari Asyura
Hari Asyura bermaksud hari ke 10 daripada Bulan Muharram. Pada zaman jahiliah, bangsa Arab terutamanya kaum Quraisy sangat menghormati hari Asyura. Mereka melakukan puasa dan menggantikan kelambu ( kiswah) yang menutupi Kaabah.Pada asalnya, iaitu pada tahun pertama umat Islam berada di Madinah, puasa hari Asyura adalah wajib. Namun setelah perintah kewajipan menunaikan puasa Ramadhan setahun kemudian, ia menjadi puasa sunat sahaja.Kelebihan puasa Asyura ialah puasa pada hari itu dapat menggugurkan dosa satu tahun sebelumnya (Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah).
Hari apakah kita disunatkan berpuasa Asyura?
Pendapat sebahagian Ulamak ialah berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadith yang bermaksud, “Pada hari Rasulullah SAW berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah SAW bersabda, tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah SAW wafat”.
Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja.
Pendapat sebahagian Ulamak pula ialah sunat berpuasa Hari Kesembilan, Hari Kesepuluh dan Hari Kesebelas berdasarkan hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan (amalan) orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya”.
Monday, May 28, 2012
GURU I.T.A.P TERPILIH 10 FINALIS IMAM MUDA
Rancangan bercorak keagamaan, 'Imam Muda' telah mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan anak muda dalam program yang menyebarkan dakwah melalui hiburan keluarga.
Imam Muda diteruskan lagi di Astro Oasis untuk tahun ketiga dengan musim baru Imam Muda 3.Di terajui oleh Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz yang bertindak selaku Mudir (Pengetua) dan dibantu oleh 12 orang tenaga pembantu Alumni Imam Muda 1 dan 2 dan hos nya pula ialah Ustaz Akhil Hayy.
Institut Tahfiz Al-Qur'an Profesional (I.T.A.P.) memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana calonnya Imam Muda M.Nasir berjaya terpilih ke dalam 10 finalis Imam Muda 3.
Saksikan, mulai hari ini, 28 Mei 2012 dan hari-hari yang berikutnya:
- Episod Ujian Imam Muda - 28 - 31 Mei 2012 jam 6.30 petang
- Medan Imam Muda - setiap Jumaat mulai 1 Jun 2012 jam 9.00 malam
- Kapsul Imam Muda - setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.50 petang.
Seluruh warga I.T.A.P. mendoakan kejayaan Imam Muda M.Nasir dan dapat memperluaskan lagi skop dakwah ke seluruh alam. Amin Ya Rabbal 'alamin.
Wednesday, April 4, 2012
As-Syahid Syed Qutub menjelaskan dalam kitabnya Maa'lim fit-tariq, bahawa para sahabat Rasulullah SAW adalah generasi Al-Quran yang terbaik sesuai dengan Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:
"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".
Untuk melahirkan kembali generasi Al-Quran beliau menggariskan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan di kalangan generasi sahabat terdahul seperti berikut:
- Umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, Al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.
- Umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam Al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata, tetapi ia mesti difahami dan diamalkan.
- Syed Qutub turut menegaskan bahawa umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.
Tuesday, April 3, 2012
Thursday, March 29, 2012
Sunday, March 18, 2012
PENCAPAIAN CEMERLANG PROGRAM MAC 2012
Pada 11 Mac 2012, pihak Institut Tahfiz Al Quran Profesional (I.T.A.P) telah mengadakan Program Tahfiz Musim Cuti Sekolah siri ke 8 selama 3 hari 2 malam yang bertempat di Institut Tahfiz Al Quran Profesional. Seramai 27 orang peserta telah menyertai program ini dan seramai 7 orang guru telah terlibat sepenuhnya sebagai fasilitator program. Setelah tamat pendaftaran peserta, peserta-peserta program berhimpun di ruang legar sekolah bagi sesi suai kenal. Di mulai dengan bacaan Asma’ al Husna, iqrar dan seterusnya Pengarah Program telah menyerahkan jadual program kepada semua peserta. Peserta diberikan taklimat secara ringkas berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang program tersebut. Di antara pengisian program ini adalah membaca ayat suci Al Quran secara bertilawah. Klinik tajwid juga diadakan bagi mengenalpasti masalah bacaan peserta. Selain itu, kelas menghafaz juga diadakan mengikut tahap. Tahap juz 30 (surah An Nas hingga surah Ad Dhuha) dan tahap hafazan juzuk satu (1)
Pada hari terakhir program, peserta di uji kekuatan hafazan surah-surah yang dihafaz dalam bentuk pertandingan. Perujian hafazan diadakan dari awal pagi hingga jam 9.50 pagi. Setelah itu, peserta berhimpun diruang yang telah disediakan bagi meraikan majlis penutup program dan majlis penyampaian hadiah serta sijil kepada semua peserta. Ibu bapa mula hadir dan duduk bersama meraikan majlis tersebut. Majlis dimulai dengan zikir, bacaan Al Fatihah dan disusuli dengan ucapan Pengarah Program. Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak, ibu bapa, fasilitator-fasilitator, dan terutama sekali kepada peserta yang menyertai program ini. Beliau menyatakan bahawa selagi mana wujudnya ketaatan di dalam urusan agama, segala perbuatan pasti membuahkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Beliau mengharapkan ilmu yang diperolehi dapat terus diamalkan agar memperoleh manfaatnya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang peserta hafazan tahap surah-surah lazim, pemenang peserta juzuk 1, pemenang pertandingan sukaneka, cenderahati kepada peserta yang tidak memenangi sebarang pertandingan dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta. Penyampaian hadiah disampaikan oleh semua fasilitator secara bergilir-gilir dan majlis diakhiri dengan bacaan doa. Peserta-peserta dan fasilitaor bersalam-salaman diiringi selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Thursday, March 1, 2012
CINTA HAKIKI CINTA ILAHI
Cuba
lihat lirik lagu ini.. Lirik lagu Rabi’atul Adawiyyah (In-Team)
“Engkau bermula dengan sengsara,
dalam mencari bahagia, terasa bagai bayang-bayang, gelap walau disuluh cahaya..
Pepasir pantai pun berubah, pabila hakikat melanda, ketenangan yang kau cari terpancar
di lorong sufi, kau hiasi rumah kasih abadi, sering menghiasi singgah sanamu,
kau berjaya merubah segala, kasih semalam menjadi esok, kelunakan tangisan
kasihmu, dalam simpuhan ketaatan, bagi mengharapkan keredhaan, darimu Tuhan
Pencipta alam, Rabi’atul Adawiyyah, serikandi yang tercipta, sungguh agung
pengabdianmu, kau berjaya menjadi iktibar, asmaramu dihampar suci, pintalan
dari awanan putih, membuahkan titisan rahmat, menyuburkan mawar yang layu.
namamu menjadi sanjungan, ikutan ummah sepanjang zaman, ayuh bersama kita
susuli, perjalanan kekasih Allah..”
Teman, nah, bila lagu ini
didendangkan dan berkumandang, ramai yang terpukau. Paling tidak pun, alunannya
tidak membosankan telinga yang mendengar. Iramanya cukup syahdu sehingga
menarik perhatian ramai pendengar. Tidaklah dapat dipastikan punca yang menjadi
daya tarikannya. Apakah pada lagunya, senikatanya, suara kumpulan In Team ini
ataupun pada diri Rabi’ah itu sendiri (kisah wanita yang riwayat hidupnya
dikisahkan didalam lagu tersebut).. hmm..?
Pernahkah anda bertanya, siapakah
Rabi’ah dalam lagu ini? Mengapakah kisahnya cuba diketengahkan semula setelah
sekian lama ia terpendam di dalam lipatan sejarah? Apa istimewanya wanita yang
bernama Rabi’ah ini dan mengapakah riwayat hidupnya perlu kita selusuri, kita
kaji, kita teliti dan seterusnya kita contohi?
Rabi’ah lahirnya dari sulbi seorang
lelaki miskin, Ismail ‘Adawiyyah di tengah-tengah kota Basrah. Selepas
kelahiran 3 orang puteri, pasangan suami isteri ini amat-amat mengharapkan seorang
putera. Namun kehendak manusia tidak dapat menandingi kehendak Tuhannya. Anak
keempat mereka ini pun lahir sebagai seorang puteri. Kerana sedikit kecewa,
tiada nama yang indah diberikan pada bayi ini selain ‘Rabi’ah’ yang membawa
maksud ‘keempat’.
Biarlah kelahiran Rabi’ah tidak
disambut meriah, tapi Tuhan tetap mahukan Rabi’ah dimuliakan. Maka bermimpilah
Ismail bertemu Rasulullah S.A.W. Baginda mengkhabarkan kepadanya bahawa anak
keempatnya itu adalah manusia pilihan Tuhan. Meskipun namanya tak seindah
disebut manusia, tapi dia cukup terkenal di alam para Malaikat.
Rabi’ah membesar dalam pemeliharaan
Allah. Semenjak dia mula tahu membezakan apa yang baik dengan yang buruk, dia
sudah dididik untuk mengenal Tuhannya. Begitulah keadaan Rabi’ah dari kecil
hingga remaja. Dari remaja mencecah dewasa. Dari zaman dewasa hingga ke tua,
masanya penuh terisi dengan usaha untuk mengenal Allah Ta’ala.
Sehinggalah usaha-usahanya yang
penuh ketulusan, diliputi dengan wangian keikhlasan telah mencambahkan benih-benih
cinta pada Tuhan. Kemudian benih-benih cinta yang telah disemai sejak dia mula
mengenali Allah itu, terus disuburkan dengan pelbagai bentuk ibadat. Namun
tujuan ibadat Rabi’ah tidaklah seperti mana tujuan yang menjadi kebiasaan
kebanyakkan manusia. Sebahagian besar manusia, bila melaksanakan satu-satu
ibadah samada ia ibadah wajib, sunat atau harus, mereka lakukan dengan satu
tujuan iaitu mendapatkan pahala sebanyak yang mungkin. Pahala itulah yang akan
memungkinkan mereka layak menjejakkan kaki ke syurga Allah. Di samping itu,
kebanyakan manusia juga berusaha untuk meninggalkan sebarang jenis kejahatan
kerana khuatir mereka bakal menjadi penghuni neraka Tuhan.
Paling tidak pun, itulah yang sering
menjadi matlamat sebahagian besar manusia dalam beribadah kepada Allah. Namun
bagi Rabi’ah syurga bukanlah yang menjadi idamannya.. dan bukanlah neraka
menjadi kekhuatiran dirinya. Pernah dalam sebuah majlis, Rabi’ah bertanya
kepada murid-muridnya “kalau ditakdirkan Allah tidak menjadikan syurga dan
neraka, apakah kalian akan terus menyembahnya?” Terkedu para hadirin. Bagaimana
mahu menjawab persoalan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka selama
ini. Lalu apakah sebenarnya tujuan Rabi’ah dalam beribadah? Pada persoalan ini,
Rabi’ah menjelaskan pendiriannya, “aku menyembah Allah kerana Allah
semata-mata. Cinta itulah yang menyebabkan aku merasa nikmat menyembahNya.
Bukan kerana mahukan syurga atau takutkan neraka. Segala nikmat yang Dia
berikan padaku itu pun, sudah cukup untuk membuatkan aku berdiri menyembahNya.”
Begitulah kudusnya cinta Rabi’ah
pada Tuhannya. Dia menyembah Allah atas dasar cinta, yang mana dari rasa cinta
itulah terbitnya rasa rindu untuk selalu berdiri menyembahNya. Segala apa yang
dia lakukan berupa ibadah, adalah atas dasar cinta, bukan kerana terpaksa.
Tanda orang yang beribadah kerana terpaksa ialah bila sembahyang tidak merasakan
kelazatannya, bahkan kewajipan-kewajipan itu semua dilakukan dalam keadaan rasa
berat hati. Bia selesai sembahyang terasa lega. Lega sebab kewajipannya
tertunai sudah. Sedangkan bagi mereka
yang beribadah kerana rasa cinta pada Allah kalau boleh dia mahu berlama-lama
dalam sembahyang. Tak sanggup rasanya untuk berpisah dengan Tuhan yang
dicintai. Kerana dalam sembahyanglah dia dapat mengadu tentang dirinya pada
Allah. Itulah kesan daripada wujud rasa cinta kepada Allah. Waktu-waktu
sembahyang sentiasa dinanti-nantikan seperti seseorang menanti-nanti hari untuk
bertemu dengan kekasihnya….
Begitulah ibdah Rabi’ah. Hidup penuh
terisi dengan kecintaan pada Ilahi, sehinggakan hatinya tidak lagi ada lagi
ruang untuk mencintai selain daripadaNya. Tidak sanggup Rabi’ah untuk menduakan
cinta Tuhan dengan bercinta pada manusia, harta dan juga dunia. Rabi’ah hanya
mahu bercinta dengan Tuhan kerana dia senang digelar hamba kepada Tuhan.
Itulah Rabi’atul Adawiyyah, perawan
suci kota Basrah. Usahlah lagunya hanya menjadi halwa telinga sedangkan
perjalanan hidup Rabi’ah tidak kita teladani. Teladanilah Rabi’ah, wanita
terpilih menjadi wali Allah.
Kita bercinta, Rabi’ah juga
bercinta. Tapi yang pasti cinta Rabi’ah adalah cinta yang agung. Kerana Rabi’ah
bercinta dengan Yang Kekal selama-lamanya.. Allahu Akhbar yang menciptakan
insan seperti ini.
Wallahu’aklam.
Wassalamu’alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Subscribe to:
Posts (Atom)