Tuesday, March 15, 2011

BAB 1 - BERSUCI

Salam,

Berikut adalah merupakan nota kelas Fardhu Ain untuk kaum Muslimat yang diadakan di Surau al-Razi Bandar Pinggiran Subang. Semoga anak-anak murid ustazah dapat mengambil manfaat darinya:

SIRI 1:

Erti Bersuci

   Bersuci pada bahasa ialah bersih dan terhindar daripada segala kekotoran samada dalam bentuk hissiah iaitu yang boleh dirasa sseperti najis atau ma’nawiyyah seperti perkara yang menghaibkan, atau sifat-sifat terkeji.

Bersuci mengikut istilah syara’

                Bersuci mengikut istilah syarak ialah perbuatan yang apabila dilakukan akan mengharuskan sembahyang didirikan atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hukum sembahyang, seperti berwudhuk kepada sesiapa yang tidak berada dalam keadaan berwudhuk, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, badan dan tempat.

Islam Mengambil Berat Kebersihan dan Bersuci

                Islam ssngat mengambil berat terhadap bersuci dan kebersihan. Ia dapat dilihat sebagaimana berikut:

1.       Perintah berwudhuk beberapa kali setiap hari untuk mendirikan sembahyang. Firman Allah Ta’ala:

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu ingin mendirikan sembahyang, maka basuhlah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga ke siku, dan sapulah kepala-kepala kamu hingga kedua buku laki
 (al-Maidah:6)

2.       Dorongan atau gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Firman Allah Ta’ala:

 Jika kamu dalam keadaan berjunub maka bersucilah
(al-Maidah:6)

                Al-bukhari (856) dan Muslim (849) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W:

لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلُ فِىْ كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَوْمًا يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah ialah mandi satu hari dalam seminggu dengan membasuh kepala  dan badannya sekali

3.       Perintah supaya memotong kuku, membersih gigi dan pakaian.

Al-Bukhari (5550) dan muslim (257) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W:

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ : الخِتَانُ وَالاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الإِبْطِ  وَتَقْلِيمُ الأَظَافِرِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

Lima perkara daripada fitrah : berkhatan (bersunat), mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.

Al-Bukhari (847) dan muslim(252) meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W

لَوْ لاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَىْ أُمَّتِيْ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةِ

Sekiranya tidak membebankan ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi setiap kali sembahyang.

                Menurut riwayat Imam Ahmad (6/325) di akhir hadith tersebut: ketika setiap kali berwudhuk.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Dan pakaian kamu, maka bersihkanlah (Muddathir:4)

                Abu Daud (4089) meriwayatkan sabda Nabi S.A.W kepada para sahabatnya:

Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara-saudara kamu, maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian-pakaian kamu sehingga kamu menjadi tahi lalat di kalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.

                Maksud bekalan (rihal) iaalah semua barang yang diperlukan untuk perjalanan seperti bekas-bekas dan lain-lain yang diletakkan di atas belakang unta atau binatang tunggangan.

                Maksud menjadi tahi lalat dikalangan manusia ialah menonjol dan berbeza dengan orang lain.

                Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah kasih kepada orang suka bertaubat dan kasih kepada orang yang suka bersuci.
(al-Baqarah:222)

                Sesungguhnya Islam juga telah menjadikan berssuci itu separuh daripada iman. Sabda Rasulullah S.A.W:

Bersuci adalah separuh daripada iman (Muslim (223)

HIKMAT DISYARIATKAN BERSUCI

            Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmat yang banyak, antaranya:

1.       Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Firah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran. Oleh kerana Islam agama fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

2.       Menjaga kemuliaan dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung kepada seseorang yang bersih, suka berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama, mereka bencikan kepada seorang yang pengotor, menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk bersamanya.

Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan seseorang yang beriman (mu’min) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mu’min itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudar-saudaranya.

3.       Menjaga kesihatan. Kebersihan adalah antara faktor yang amat penting untuk menjaga manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakkan penyakit yang merebak/menular dikalangan manusia adalah disebabkan kekotoran.

Oleh itu membershkan badan, membasuh muka, dua tangan, hidung, dan dua kaki (anggota-anggota yang sentiasa terdedah kepada kekotorab) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada penyakit.

4.       Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam sembahyang, manusia bercakap dengan Tuhannya dan bermunajat kepadaNya. Oleh itu selayak mana sepatutnya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Ta’ala kasih kepada orang yang suka bertaubat dan sentiasa bersih.

AIR YANG BOLEH DIBUAT BERSUCI

                Air yang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air, air salji dan air embun.

                Semua air ini tergolong dalam dua kategori : iaitu Air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Ta’ala:

Dan Kami turunkan dari langit air yang suci. (al-Furqaan:48)

Firman allah Ta’ala yang bermaksud:

Dan Dia (Allah) menurunkan ke atas kamu dari langit, air (hujan) supaya kamu bersuci dengannya.
 (al-Anfaal:11)

                Abu Daud, At-Tarmidzi, An-Nasa’ei, Ibnu majah dan Imam Ahmad bin Hanbal (At-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan sahih) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullsh S.A.W katanya: Wahai Rasulullah, kami telah belayar di lautan, dan kami membawa bersama-sama kami air yang sedikit, sekiranya kami berwudhuk dengannya, kami akan dahaga,apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut? Rasulullah s.a.w menjawab: Airnya suci dan halal bangkai di dalamnya.

                Maksud halal bangkai di dalamnya ialah semua yang mati di dalamnya seperti ikan dan seumpamanya boleh dimakan tanpa disembelih.
BAHAGIAN-BAHAGIAN AIR

Air terbahagi kepada empat bahagian:

1.       Suci lagi menyucikan
2.       Suci lagi menyucikan tetapi makruh.
3.       Suci tetapi tidak menyucikan
4.       Bernajis

1.       Air yang Suci lagi Menyucikan

                Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikan Allah Taala. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia sudah berubah dengan sebab lama di tinggal, atau disebabkan tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan lama tinggal didalamnya-kiambang),atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalir di atas tanah tersebut, semuanya ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.

                Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak ialah hadits riwayat Al-Bukhari (217) dan lainnya daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

قَام أَعْرَبِيُّ قَبَالَ فِى الْمَسْجِدِ فَقَامَ إِلَيْهِ النَّاسُ لِيَقَعُوا بِهِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: دَعُوهُ وَهَرِيْقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاٌ مِنْ مَاءٍ – أَوْ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ – فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثوا مُعَسِّرِينَ

Seorang Badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu  Rasulullah S.A.W bersabda : biarkan dia dan tuangkan di atas air kencing nya sebaldi air. Sesungguhnya kamu di bangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan.

                Perintah Rasulullah S.A.W supaya menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai cirri atau sifat menyucikan.

2.       Air yang Suci dan Menyucikan tetapi Hukumnya Makuh

                Air yang suci dan menyucikan tetapi hukumnya makruh ialah air Musyammas. Ia adalah air panas di sebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila memenuhi tiga syarat:

i)                     Ia berlaku di negeri yang panas
ii)                   Ia diletakkan didalam bekas yang di tempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh di tempa (berkarat)
iii)                  Ia digunakan pada badan manusia walaupun badan mayat, atau pada haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.

Imam As Syafiei r.a meriwayatkan daripada Umar r.a :
               
                “Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan ia berkata: Aku tidak suka mandi dengan air tersebut di sebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi’e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak”.

                Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas air. Sekianya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).

3.       Air yang suci tetapi tidak menyucikan

Air yang suci tetapi tidak menyucikan terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama : air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib. Seperti mandi wajib dan wudhuk. Dalil ia suci adalah hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari (191) dan Muslim (1616) daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya:


جَاءَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُنِى وَأَنَا مَرِيضٌ لَا أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ مِنْ وُضُوئِهِ عَلَيَّ

Rasulullah S.A.W datang menziarahiku, untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu baginda berwudhu’ dan mencurahkan air wudhu’nya ke atas aku.

                Sekiranya air wudhuk itu tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkannya ke atas Jabir. Maka dalil yang tidak menyucikan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (283) daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لاَ يَغْتَسِلْ أحَدُكُمْ فِى الْمَاءِ الدَّائِمِ – اَىْ الرَّكِدِ – وَهُوَ جُنُبٌ. فَقَالُوا: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ كَيْفَ يَفْعِلُ؟ قَالَ : يَتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلاً

“Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air tenang yang tida bergerak, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya kepada Abi Huraitah: wahai Abu Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut?). jawab Abu Hurairah: ia mencedoknya”.
                                                              
                Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi makna mengangkat hadas.

                Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak member makna tersebut, nescaya Rasulullah S.A.W tidak melarang daripada berbuatdemikian. Hadith ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.

                Kedua : Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur. Kemudian ia berubah dengan sesuatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak, seperti air the dan air ‘arqasus.

                Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai air pada sifat-sifatnya (rasa, bau, dan warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu, air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana iaitu digunakan perahan delimauntuk menentukan perubahan warna dan al lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan sebagai air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.

4.       Air Mutanajjis

Air Mutanajjis ialah air yang terjatuh najis ke dalamnya. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama : Air yang sedikit iaitu kurang dua kolah.

        Air ini menjadi najis dengan hanya terjatuh najis kedalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

        Ukurannya, dua kolah : 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.827 kg. ia juga menyamai 1 ¼ hasta persegi tinggi, lebar dan dalam.

        Abu Daud, At-Tirmidzi, An Nasaei, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang dan haiwan melata. Baginda s.a.w menjawab:



إذَا كَانَ المَاءُ قُلَّتَينِ لَمْ يَحْمَلِ الْخَبَثَ

Jika air itu sebanyak dua kolah, ia tidak menanggung kotoran

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maka air itu tidak menjadi najis

                Di fahami daripada hadith ini, sekiranya air kurang dari dua kolah, maka ia menjadi  najis sekalipun tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (278) daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia menyelam (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali, sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan)”

                Dalam hadith tersebut, Rasulullah s.a.w melarang orang yang bangun dari tidurnya mencelupkan tangan nya kedalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah (keadaan) air itu. Oleh itu sekiranya tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasululah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian.

Kedua: Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tesentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau.

Dalilnya ialah ijma’ para ulama’.

                Imam Nawawi r.a menyebut dalam kitabnya Al Majmuk (1/160):

                Ibnu Munzir berkata: Ulama’ telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan berunah rasa atau warna atau bau, maka air menjadi najis.

AIR YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK BERSUCI

                Bukan kesemua jenis air ini boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas (kecil atau besar) dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah dari jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.

                Manakala air yang jenis ketiga, ia tidak boleh digunakan untik bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperi minum, memasak dan lain-lain.

                Air yang jenis keempat pula adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaan pun.

BERSAMBUNG...


Wednesday, March 9, 2011

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup yang kekal abadi.
Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.
Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari. Ketujuh-tujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
Ketiga: Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah ke mana pun, langkahkan kaki ke masjid dahulu, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: Jaga Solat Sunat Dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada Solat Sunat Dhuha.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
Keenam: Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Tuesday, March 8, 2011

BAGAIMANA MENGHADAPI UJIAN ALLAH DAN APAKAH SEHARUSNYA SIKAP KITA

     Hidup ini penuh dengan ujian. Memang perit dan pedih untuk menghadapinya. Tapi kita kena faham konsep "ujian" di dalam perspektif Islam. Kerana sekiranya kita tidak faham dengan jelas, kita akan cepat putus asa, kecewa dan lebih membahayakan apabila kita buruk sangka terhadap Allah SWT. Jadi, bagaimana ingin memujuk hati yang sedang berduka lara itu??? Pujuklah dengan berzikir dan mengingati Allah....dan bacalah Al Quran... sesungguhnya, banyaklah sudah isi-isi yang tersingkap di dalamnya...... segala jawapan ada di dalamnya....
Begitu juga terdapat pelbagai hadith yang menerangkan konsep ujian dari Allah seperti berikut:


KENAPA SAYA DIUJI?
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


KENAPA SAYA TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM-IDAMKAN?

Firman Allah SWT yang bermaksud "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
-Surah Al-Baqarah ayat 216


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Firman Allah SWT lagi mahfumnya "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
-Surah Al-Baqarah ayat 286


PATUTKAH SAYA RASA SEDIH DAN KECEWA?



Perasaan kecewa adalah perkara biasa namun insan yang lemah dan kerdil ini perlulah  mengetahui nasihat Allah SWT melalui ayat Al-Quran yang bermaksud "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman".
- Surah Al-Imran ayat 139


 
BAGAIMANA CARA MENGHADAPINYA?

Terdapat pelabagai kaedah rawatan hati namun secara pokoknya Allah SWT mahukan hambanya:

1. "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya mencapai kemenangan)".
- Surah Al-Imran ayat 200


2. "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".
- Surah Al-Baqarah ayat 45


3. Berzikir

 
INGATLAH BALASAN SYURGA DARI ALLAH

Berapa bayaran kegagalan untuk enjin kereta berfungsi. Paling berat 'overhaul'. Berapakah bayaran membina semula Highland Towers? Mungkin jutaan ringgit. Berapakah harga kelaparan rakyat Palestin yang dibunuh dan disisih oleh Israel setiap hari? Berapakah pula bayaran dari Allah untuk seorang insan yang sabar dan taat akan perintah-perintahNya? Maka sudah tentulah teramat tinggi nilainya, tidak dapat dibandingkan dengan keselesaan sebuah kenderaan, sebuah rumah dan sesuap makanan. Allah menjelaskan di dalam KitabNya yang bermaksud:
 "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...."
-Surah At-Taubah ayat 111


PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH

Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya.
Hanya kepadaNya aku bertawakkal. 

-Surah At-Taubah ayat 129
Ingatlah Firman Allah yang bermaksud:
"......dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
- Surah Yusuf ayat 12

Sunday, March 6, 2011

PETUA SAKIT GIGI DAN RAWATAN MENURUT AL-QURAN

Anda pernah sakit gigi? Bagaimana rasanya? Kepada yang tidak pernah mengalami masalah tersebut kemungkinan mereka tidak akan menghargai nikmat kesihatan (gigi). Berbagai petua boleh diamalkan untuk merawat gigi yang sakit melalui nasihat dan petua orang-orang tua seperti:

1) Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Gunakan air ini untuk berkumur. Amalkan tiga kali sehari sehingga rasa sakit hilang.
2) Kunyah sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit sehingga lumat. Amalkan sehingga rasa sakit gigi hilang.
  
3) Gigit 3 kuntum bunga cengkih pada gigi yang sakit. Jika  gigi  berlubang, tumbuk bunga cengkih dan isikan ke dalam lubanggigi dan tutup dengan kapas.
4) Untuk gigi geraham berlubang, tumbuk seulas bawang putih hingga lumat dan masukkan sedikit cuka. Masukkan bahan tadi ke dalam lubang gigi.

5) Campurkan sedikit garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi. Jika ini diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut, malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri, dan 1001 lagi petua.

Namun begitu ruangan ini mengajak sidang pembaca dan pencinta Al-Quran sekelian agar memanfaatkan ayat-ayat suci Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai syifa' dalam rawatan pelbagai penyakit. Tulisan kali ini adalah khusus untuk menghilangkan dan meredakan kesakitan yang dialami disebabkan gigi berlubang. Setelah hilang kesakitan, sebaik-baiknya jumpalah doktor gigi untuk rawatan selanjutnya. Cara rawatannya begini:

Ayat pertama Surah Maryam, Kaf...Ha...Ya...Ain...Sod...Tuliskan ayat itu di atas satu   kertas atau di mana-mana dengan tertib menggunakan hujung kunci. Titik pada huruf 'Ya..'dituliskan terakhir setelah menulis semua huruf tadi (Kaf...Ha...Ya...Ain...Sod...). Semasa membuat titik kedua 'Ya..' maka teruskan menekan titik kedua itu dan niatkan nama pesakit dan hajat agar sembuh. Tekan hingga sakit itu berhenti atau berkurangan. Sebenarnya setiap huruf tunggal (hijayyah) ada rahsia dan fungsi tersendiri sehingga pada tahap mengubat sekalipun apatah lagi jika bergabung huruf- huruf itu. Itulah mukjizat Al-Quran. Insyaallah kini anda mampu tersenyum  setelah sakit gigi hilang

      


Mudah-mudahan kita dapat mempelajari Al-Quran, bukan sekadar untuk tujuan pengubatan tetapi yang lebih penting dan besar ialah untuk mengamal, menegakkan hukum-hukumNya dan menyebarluaskan ajaran-ajaranNya sesuai dengan fungsi Kitabullah, petunjuk sepanjang zaman.

Tuesday, March 1, 2011

Bersikap Terbuka

Selain para nabi dan rasul, tidak ada manusia yang sempurna. Semua manusia cenderung kepada perbuatan dan sifat baik, juga kepada perbuatan dan sifat buruk. Namun sering kali manusia tidak mampu melihat keburukannya sendiri sehingga diberitahu oleh orang lain. Oleh karena itu, Allah SWT menjadikan fitrah semulajadi manusia selalu terbuka untuk informasi dan idea baru agar dapat menyempurnakan dirinya. Jadi sikap terbuka dan tunduk kepada kebenaran (al-ruju’ ila al-haq) merupakan akhlak mulia yang hanya dimiliki oleh orang-orang yang masih terjaga fitrahnya dan bersih dari sifat-sifat yang dapat menolak kebenaran seperti sombong, ego dan ujub. Mereka segera menghampiri kebenaran setiap kali berjumpa dengannya (tak peduli  dari mana ia berasal) lalu meninggalkan kepercayaan, tradisi dan pendapat kelirunya demi kebenaran itu. Sikap ini dapat kita lihat dengan jelas pada diri Abu Bakr Al-Siddiq dan sahabat-sahabat Nabi SAW lainnya. Segera setelah meyakini kebenaran dakwah yang dibawa Rasulullah SAW, mereka menyatakan keislaman dan meninggalkan berhala yang menjadi sembahan kaum mereka selama bergenerasi.

Sikap terbuka (open minded) terhadap kebenaran merupakan perhiasan yang mempercantik setiap jiwa yang memilikinya. Allah SWT menjamin orang-orang yang memiliki keluasan jiwa untuk mendengar dan menerima nasihat akan terselamat dari kerugian di dunia ini. Allah berfirman, Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.[1]

Sementara sikap tertutup dan sempit pikiran (narrow minded) adalah sifat buruk yang mengundang kebencian bagi sesiapa yang memilikinya tak peduli setinggi apa darjatnya. Sikap ini merupakan sifat yang paling jelas dimiliki oleh orang-orang kafir sehingga Allah berfirman, “Dan jika dikatakan kepada mereka: ikutilah (wahyu kebenaran) yang telah Allah turunkan, mereka (menolak dan) berkata: kami hanya mengikuti apa yang dilakukan oleh bapa-bapa kami. Katakanlah: apakah meskipun bapa-bapa kamu orang yang tak berakal dan tidak mendapat petunjuk?” Juga sifat ini dimiliki oleh orang-orang munafik sebagaimana firman Allah, Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah", bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahannam. dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.[2]

Akhlak Rasulullah SAW dan Para Sahabat

Meskipun Rasulullah SAW adalah manusia yang sempurna fizikal, jiwa dan akal fikirannya, beliau tidak tampil sebagai pemimpin kukubesi yang memaksakan kehendak dan pendapatnya. Sebaliknya beliau sangat terbuka untuk setiap saranan dan nasihat dari semua orang, oleh karena itu beliau selalu bermusyawarah dengan para sahabatnya sebelum memutuskan suatu perkara. Abu Hurairah berkata, “Aku belum pernah melihat seseorang yang sangat sering bermusyawarah dengan para sahabatnya seperti Rasulullah SAW.”[3]
Rasulullah SAW mendengarkan setiap saranan dan usulan yang diajukan, dan saranan yang terbaik pasti dilaksanakan. Sesaat sebelum terjadi pertempuran di Badar, Rasulullah SAW bersama pasukan Islam telah tiba di tempat itu sebelum kaum kafir. Beliau lalu memerintahkan pasukannya untuk mengambil posisi tertentu yang berjauhan dengan tempat persediaan air (perigi). Khabbab bin Al-Munzir lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, pemilihan tempat ini wahyu dari Allah ataukah taktik perang anda?” Beliau menjawab, “Ini taktik perang saya.” Khabbab lalu memberikan saranannya, “Wahai Rasulullah, posisi ini tidak bagus. Perintahkanlah pasukan untuk mengambil posisi dekat dengan air, lalu kita keringkan tempat-tempat air yang lain. Sehingga kita boleh berperang tanpa kehausan sementara musuh kita tak memiliki air minum.” Rasulullah menerima saranan ini sehingga menjadi salah satu sebab kemenangan kaum muslimin di perang Badar.

Sikap ini berulang kembali pada perang Ahzab (khandaq), ketika 10,000 pasukan musyrikin mengepung kota Madinah. Salman Al-Farisi mengusulkan kepada Rasulullah SAW untuk menggali parit (khandaq) di sekeliling kota agar pasukan musuh terhalang dari memasuki Madinah. Rasulullah SAW mendengarkan usulan tersebut dan melaksanakannya sehingga pasukan musuh benar-benar tak mampu melewati parit itu dan kembali dengan tangan kosong.

Sikap terbuka terhadap usulan dan kritik ini kemudian diwarisi oleh semua sahabat Nabi SAW. Mereka semuanya menyedari kekurangan dirinya dan berkeinginan kuat untuk memperbaikinya, sehingga mereka sangat berterima kasih jika seseorang menunjukkan kekurangan dirinya agar ia boleh perbaiki. Umar bin Al-Khattab berkata, “Orang yang paling saya cintai adalah seseorang yang menunjukkan kesalahan-kesalahan saya.”[4]  Pada suatu hari,Umar berniat melarang mempermahal mas kahwin demi meringankan biaya pernikahan dan memudahkan proses perkahwinan. Ia lalu menyampaikan niat itu di mimbar khutbah Jumaat dan mengemukakan berbagai alasan yang mendukung  pendapatnya. Tiba-tiba, seorang wanita berdiri dan memotong khutbahnya dengan berkata, “Kamu tidak berhak melakukan hal itu, wahai Umar. Sebab Allah SWT berfirman, “Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya barang sedikitpun.”[5] Mendengar ucapan itu, Umar segera berkata, “Wanita ini benar, Umar keliru.”

Strategi menerima kritikan dan nasihat

Menerima nasihat dan kritikan bukanlah sesuatu yang mudah. Seringkali ego kita tersinggung sehingga lahirlah reaksi negatif yang berakhir dengan permusuhan dan perpecahan. Untuk itu, di sini ada beberapa cara yang dapat kita terapkan dalam menerima nasihat atau kritikan agar dapat menjadi saranan pembangunan kemuliaan.[6]

Pertama: sedari kekurangan diri dan selalu bersedia memperbaikinya. Ketika mendengar nasihat atau kritikan, kita harus memposisikan diri seperti orang yang sedang melihat cermin agar penampilannya selalu bagus. Walaupun wajah yang ada dalam cermin adalah wajah yang sama juga, namun kita tidak pernah keberatan untuk merapikan rambut, manakala cermin memperlihatkan gambar rambut yang kusut masai. Kita pun tidak pernah marah kepada cermin bila di cermin kita melihat di mata kita ada kotoran. Reaksi kita adalah membuang kotoran itu dan bukan memecahkan cermin.

Ketahuilah, orang-orang di sekitar kita adalah cermin yang memberitahu apa kekurangan kita. Sepatutnyalah kita bergembira ketika ada yang memperlihatkan kekurangan kita, karena dengan demikian kita menjadi tahu dan dapat segera memperbaiki diri.

Kedua: cari dan tanya. Belajarlah bertanya kepada orang tentang kekurangan-kekurangan kita dan belajar pula untuk mendengar dan menerima kritikan. Milikilah teman yang mahu secara jujur memperbetulkan, tanya pula kepada isteri, suami, anak-anak dan lain-lain.

Orang-orang besar adalah orang-orang yang tidak merasa besar. Umar bin Al-Khattab sering kali bertanya kepada orang lain tentang keburukan dirinya. Ia bertanya kepada Huzaifah bin Al-Yaman, “Kamu adalah orang yang paling mengatahui sifat-sifat munafik. Adakah sifat-sifat itu di diri saya?” Ketika mengetahui bahwa Rasulullah SAW bersabda kepada Ummu Salamah tentang sebagian sahabatnya yang akan berpisah dengan beliau di akhirat, Umar segera mendatangi Ummu Salamah dan bertanya, “Adakah saya orang yang dimaksud oleh Nabi SAW?” Ummu Salamah menjawab, “Kamu bukan orang itu.”[7] Umar juga bertanya tentang keburukan dirinya kepada Salman, Ibn ‘Abbas dan sahabat-sahabat Nabi SAW lainnya.

Ketiga: syukuri. Adanya orang yang peduli dengan memberikan kritikan kepada kita merupakan kurnia yang patut disyukuri. Jangan lupa mengucapkan terima kasih. Bila kita berubah menjadi lebih baik melalui nasihat seseorang, jangan lupakan ia dalam doa kita dan sebutlah namanya ketika kita menyampaikan nasihat yang sama kepada orang lain. Nikmati kritikan itu sebagai kurnia Allah, karena seseorang tidak akan mati karena dikritik.

Bilal bin Sa’ad berkata, “Seorang saudara yang setiap kali berjumpa memberitahukan keburukanmu lebih baik daripada seorang saudara yang setiap kali berjumpa memberimu wang.”[8] Al-Ghazali berkata, “Akhlak tercela adalah ular dan kalajengking (scorpion) beracun. Andai seseorang memberitahu adanya kalajengking di dalam baju kita, kita akan berterima kasih kepadanya, dan sibuk menyingkirkan dan membunuh kalajengking itu.”[9]

Keempat: ubat memang pahit. Namun sabar sesaat merasakan kepahitan itu akan membuahkan kesembuhan bertahun-tahun. Persiapkan diri menghadapi kenyataan bahwa kritikan dan nasihat kadangkala menyakitkan hati karena kata-katanya yang kasar atau caranya yang tidak sopan. Namun semua ini tidak akan merugikan kita sedikitpun selama kita tahu bagaimana menerimanya dengan benar. Dengarkan kritikan dan nasihat itu dengan baik dan jangan memotong apalagi membantah.

Kelima: perbaiki diri. Lihatlah apakah benar ada kekurangan pada diri kita. Jawaban terbaik ketika diperbetul bukanlah membela diri tetapi memperbaiki diri. Sibukkan diri dengan mendengar kritikan dan iringi dengan memperbaiki diri. Memang orang yang lemah, orang yang sombong, orang-orang yang penuh kebencian, tidak pernah tahan terhadap kritikan. Jika ada yang menegur maka dirinya sibuk untuk membela diri, sibuk untuk berfikir dan sibuk untuk membalas, ketahuilah bahawa orang yang demikian itu tidak akan maju. Lalu bagaimana jika kita terus dihina? Jangan risau! Karena semua orang yang berjaya dan mulia itu pasti ada yang menghina. Tidak akan pernah didengki kecuali orang yang berprestasi.

Keenam: balas budi. Sebagai orang yang tahu terima kasih dan menghargai sebuah pemberian, sudah selayaknya kita membalas pemberian kritik itu sebagai pemberian hadiah pula. Kalau tidak mampu memberikan sesuatu yang berharga, paling tidak sebuah ucapan terima kasih yang tulus dan doa yang ikhlas.

Adab Memberi Nasihat

Selain harus mahir menerima nasihat, kita juga harus tahu adab kesopanan dalam memberi nasihat. Sebab nasihat yang baik jika tidak disampaikan dengan cara yang baik seringkali menghasilkan buah yang tidak baik. Adab memberi nasihat itu adalah:

Pertama: niat yang baik. Kalau sebuah nasihat didasari niat ingin menjatuhkan, ucapan itu hanya akan menjadi pisau atau panah beracun di hati pendengarnya. Sebuah nasihat, sesuai makna asalnya, seharusnya wujud dari kasih sayang dan ketulusan hati yang menghendaki kebaikan untuk orang yang dinasihati. Ibarat seseorang yang melihat saudaranya hampir jatuh ke lubang, ia mengambil tangannya agar tidak jatuh terperosok. Rasulullah bersabda, “Agama ini adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “(Nasihat) untuk siapa?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin orang-orang beriman dan masyarakat awam.”[10]

Jarir bin Abdillah berkata, “Aku berbaiat (berjanji) kepada Rasulullah SAW untuk selalu mendirikan solat, membayar zakat dan menasihati setiap muslim.”[11] Suatu hari seseorang menjual kudanya kepada Jarir. Ia bertanya, “Berapa harganya?” Orang itu menjawab, “Lima dirham.” Jarir berkata, “Harga kuda ini lebih mahal dari itu.” Jarir terus menambahkan harga kuda itu lalu memberikan wangnya kepada orang tersebut. Ketika ditanya mengapa ia melakukan hal tersebut, Jarir menjawab, “Saya berjanji kepada Rasulullah SAW untuk selalu menasihati kaum muslimin.”

Kedua: cara yang baik. Kalau niat sudah baik caranya juga harus benar. Nasihat yang disampaikan harus dihiasi dengan kata-kata terpilih yang tidak melukai diiringi dengan sikap yang tidak meragui, tidak mempermalukan, tidak memaksa, sehingga orang berubah bukan kerana ditekan oleh kata-kata kita melainkan tersentuh oleh kata-kata kita. Allah berfirman, Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”[12]

Para ulama berkata bahwa seorang da’i disyaratkan menguasai teknik-tehnik dakwah sebelum berdakwah agar dapat mengajak orang lain ke jalan Allah dengan mudah. Teknik itu bermacam-macam, misalnya dengan memberi hadiah, mengajak makan bersama, atau cara-cara lain yang dapat melembutkan hati orang yang hendak didakwahi.[13] Ini semua adalah hikmah yang Allah perintahkan.

Termasuk hikmah adalah tidak menyampaikan nasihat di hadapan orang ramai sehingga mempermalukan orang yang dinasihati. Imam Al-Syafii berkata, “Barang siapa yang menegurmu dengan sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihatimu. Dan barangsiapa yang menegurmu di depan umum, maka ia sedang menghinamu.”[14]

Ketiga: suri tauladan yang baik. Sebaik-baik nasihat adalah dengan suri tauladan, hancurnya orang-orang yang sibuk memberi nasihat adalah ketika apa yang dia katakan tidak sesuai dengan apa yang dia lakukan.

Keempat: jangan marah ketika nasihat itu tidak didengar atau tidak dilaksanakan. Barangsiapa yang menasihati ikhlas karena Allah tidak akan marah jika kata-katanya tidak diikuti. Sebaliknya ia akan memeriksa dirinya yang penuh dosa dan mengakui bahawa ucapannya memang tak layak didengari.

Seseorang bertanya kepada Syeikh Abdul Halim, “Seorang tetanggaku melakukan sesuatu yang haram, bolehkah aku menasihatinya?” Ia menjawab, “Bolehkah najis membersihkan najis?”

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku telah melanggar salah satu perintah Allah, aku boleh ketahui itu dari prilaku keldaiku, pelayanku dan isteriku. Maka keldaiku sulit dikendalikan, isteri dan pelayanku tidak lagi mentaati perintahku. Setelah aku memeriksa diri lalu bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubatku, mereka semua kembali mentaatiku.”

Syeikh Abu Naja Salim Marw selalu berkata kepada muridnya, “Ketahuilah, alam semesta memperlakukan kita sesuai amal ibadah yang kita lakukan. Maka perhatikanlah dirimu. Sebab lurus atau bengkok sebuah bayangan tergantung bendanya.”[15]


[1] Qs. Al-Ashr: 1-3.
[2] Qs. Al-Baqarah: 206.
[3] Hadits riwayat Al-Syafii.
[4] “Uyun al-Akhbar” Ibn Qutaibah 2/13. Juga di “Ihya Ulum al-Din” 3/62.
[5] Qs. Al-Nisa: 20.
[6]  Tulisan ini berhutang kepada tulisan KH. Abdullah Gymnastiar (Aa Gym).
[7] Hadits riwayat Al-Thabarani.
[8] “Uyun Al-Akhbar” 2/13.
[9] “Ihya Ulum al-Din” 3/63.
[10] Riwayat Muslim.
[11] Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
[12] Qs. Al-Nahl: 125.
[13] Lihat “Lathaif al-Minan Wa Al-Akhlaq” hal.241.
[14] “Akhlaquna al-Ijtima’iyyah” hal. 48.
[15] “Lathaif Al-Minan” hal. 331-332.


Monday, February 28, 2011

MUSLIM TERHEBAT DAN MENAKJUBKAN


                    Allah SWT berfirman dalam Surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad SAW) adalah sebaik-baik  umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”.
          Begitulah keistimewaan dan kemuliaan yang dijanjikan dan telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW selagi kita tetap setia melaksanakan tiga dasar Islam yang utama iaitu 1. Menyuruh berbuat kebaikan, 2. Melarang daripada kejahatan serta 3. Beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.
          Umat Islam juga adalah umat pilihan lagi adil sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai Muhammad SAW) satu umat yang pilihan dan adil (Ummatan Wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah, dan Rasulullah (Muhammad SAW) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. ……”
          ‘Ummatan Wasata’ juga bermakna umat yang pertengahan iaitu pertengahan ‘approach’nya, tidak melampau dan tidak keterlaluan. Semuanya berkeadaan di tengah-tengah dari sudut pandangannya, apa yang dipelajarinya dan yang diusahakannya baik mengenai urusan dunia mahupun soal akhirat. Dengan cara berada di pertengahan, seseorang muslim dapat melihat, mendalami, mempelajari dan mengambil berat keadaan sekelilingnya, maka pertimbangannya adalah adil, benar dan sah.
          Dalam sebuah hadith pula Rasulullah SAW menegaskan yang bermaksud “Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan berlaku melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan maka dia bersyukur dan itu baik baginya dan apabila ia mendapat kesusahan dia bersabar dan hal itu baik baginya”.

          Ringkasnya, wahai  anak-anak pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Profesional (ITAP) sekelian khususnya dan para pembaca budiman secara amnya, marilah, tidak kira senang ataupun susah, kita berpegang kepada prinsip dan asas ajaran Islam, mentaati Allah SWT dan RasulNya SAW, setia mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, sentiasa berbangga dengan Islam, menghindari diri dari terbabas dan akhir sekali mampu mengambil ruang dan peluang dari setiap keadaan agar melonjakkan diri, keimanan dan amalan menjadi muslim, mukmin professional yang terhebat dan menakjubkan.   Amin Ya Rabbal 'Alamin.